Ahad, 27 April 2008

Minggu Saham Amanah Malaysia


Setelah seminggu berlangsung, baru semalam ambo sempat menghadiri Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang diadakan di MITC, Ayer Keroh pada tahun ini. Dari Kompleks Belia dan Sukan, ambo singgah sekejap untuk melihat sambil meninjau apa yang menarik di sana.

Pengunjung agak ramai juga, tapi sesi pendaftaran tidak perlu beratur terlalu lama. Setiap pengunjung perlu mendaftar jika ingin mendapatkan cenderamata dan mengambil bahagian dalam e-Peraduan yang menawarkan hadiah yang agak menarik. Pengunjung perlu menjawab beberapa soalan dan jawapannya hanya ada di tapak pameran sahaja.

Kunjungan ambo kali ini amat bertuah, bukan kerana menang dalam e-Peraduan, tetapi berpeluang melihat anugerah yang ada pada adik Adi Putra di pentas utama. Sebelum ini ambo hanya membaca dan mendengar kisah Adi Putra di media semasa. Namun kali ini dapat melihat sendiri kehebatannya menghafal 31 angka dalam masa lebih kurang 2 hingga 3 minit. Ambo sempat menyalin nombor yang dihafal oleh Adi Putra. Jika sesiapa dapat mengingatinya, mungkin anda juga seorang yang memiliki bakat anugerah Ilahi seperti yang dimiliki Adi Putra. Ini nombornya: 2 5 3 8 7 2 1 0 9 5 6 4 3 1 6 1 0 8 9 7 6 3 1 8 5 8 2 7 8 1 5.

Sebelum itu, ayahnya memberi peluang kepada hadirin jika mampu mengingat nombor-nombor tersebut dalam masa 3 minit dengan hadiah sebanyak RM200. Tiada siapa berani mencuba termasuk ambo. Kemudian Adi Putra memperlihatkan bakatnya dengan menyebut nombor-nombor tersebut satu persatu tanpa ada sebarang kesalahan. Kemudian Adi Putra diminta untuk menyebutnya dari belakang pula. Seperti dijangkakan, Adi Putra dapat mengingatinya walaupun terdapat 2 kesalahan. Sebelum itu, Adi Putra meminta hadirin menegurnya dengan menyebut perkataan salah jika dia tersalah menyebut angka yang tertulis pada papan putih.

Sesi ini banyak dikendalikan oleh ayah Adi Putra. Cuma sekali sekala Adi Putra mencelah bila diminta ayahnya untuk mengulas. Adi Putra ada memberikan beberapa tips, antaranya cuba elakkan menggunakan mesin kira (kalkulator) kerana ianya boleh merosakkan urat pada otak (akibat kurang berfikir) dan elakkan daripada menaip sms kerana ianya boleh merosakkan bahasa.

Dalam sesi ini Adi Putra turut memberikan beberapa formula matematik ciptaannya. Ia berkenaan penggunaan sepuluh angka menggunakan otak kanan dan otak kiri serta kaedah penolakan angka. Hanya 2 formula yang diberikan untuk sesi yang terhad ini.

Pada ambo, pihak berwajib seharusnya menggunakan aset negara (seperti yang dinyatakan ayahnya) semanfaat mungkin kerana ianya adalah anugerah Ilahi untuk negara ini. Ambo khuatir kerana jika Allah nak tarik nikmat ini, sekejap sahaja Dia mampu berbuat demikian. Menurut ayah Adi Putra, banyak pihak memandang Adi Putra sebagai aset untuk mendapatkan keuntungan, sebagai contoh ada pihak ingin membukukan formula Adi Putra, tapi hanya sedikit sahaja yang ikhlas, jadi Adi Putra tidak mahu bekerjasama dengan mereka yang hanya nakkan keuntungan dunia untuk kepentingan diri sendiri. Adi Putra ingin kongsikan anugerah yang dimilikinya untuk seluruh ummah.

Pernah ayah Adi Putra meminta wartawan salah sebuah akhbar utama negara untuk diadakankan satu ruangan dalam mana-mana bahagian akhbar sekurang-kurangnya sekali seminggu, namun wartawan tersebut menyatakan tugasnya hanya menulis kisah Adi Putra. Untuk mewujudkan permintaan Adi Putra tersebut, wartawan itu meminta bertemu dengan bosnya. Bila jumpa bosnya, mestilah bosnya berbincang daripada aspek keuntungan. Lalu Adi Putra menolaknya.

Sama-samalah kita mengharapkan agar suatu hari nanti anak-anak indigo (Istilah yang digunakan oleh Faisal Tehrani dalam novel Detektif Indigo) diberi perhatian agar kemunculannya di Malaysia dapat dimanfaatkan untuk orang-orang Islam seluruh dunia.

Hari Politeknik

Semalam, 26 April 2008 ambo menghadiri sambutan Hari Politeknik peringkat Politeknik Kota, Melaka yang disambut di Dataran Sejarah Ayer Keroh. Sambutan ini dibuat setiap tahun bersempena tarikh perletakan batu asas penubuhan politeknik pertama iaitu Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak.

Seperti biasa, Pengarah dijemput untuk merasmikan sambutan kali ini. Pengarah turut membacakan teks perutusan Timbalan Ketua Pengarah SPP yang menjadi amalan setiap tahun. Agak panjang juga teks yang dibaca. Seperti biasa, isinya adalah berkaitan dengan visi dan misi serta perancangan dan harapan JPPKK kepada politeknik dalam melahirkan modal insan untuk kerancakan pembangunan dan kemajuan negara.

Namun sedikit kekesalan timbul kerana perhatian para pendengar tidak ke arah teks yang dibaca. Pelajar dan hadirin bercakap sesama sendiri dan ada yang membelek-belek telefon, mungkin membaca sms yang baru diterima dari rakan bertanyakan khabar di penghujung minggu.

Mungkin pendekatan lain perlu difikirkan agar apa jua sambutan dan program yang dilaksanakan tidak membazirkan wang dan masa serta dapat memberikan impak positif selaras dengan penggunaaan begitu banyak wang rakyat terutama oleh agensi-agensi kerajaan yang bermodalkan cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat dan pendapatan hasil bumi dalam negara.

Selesai upacara perasmian, program diteruskan dengan acara sukan di Komleks Belia dan Sukan yang berada tidak jauh dari Dataran Sejarah. Ambo sempat menghabiskan 2 perlawanan bola tamparmewakili staf PKM melawan pelajar. Sakit segala urat saraf kerana sudah lama tidak aktif bersukan. Hari ini semakin terasa ketegangan urat saraf kerana tak buat apa-apa aktiviti regangan otot sebelum atau selepas bermain.

Khamis, 24 April 2008

Kursus Persediaan


Bertempat di Hotel Summit, Subang, ambo telah menghadiri Kursus Persediaan Bagi Tenaga Pengajar Politeknik dan Kolej Komuniti yang akan menyambung pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah tahun 2008 bermula 21 April dan berakhir hari ini.

Kursus ini merangkumi perkara-perkara seperti persediaan untuk mengikuti kursus, taklimat biasiswa, kaedah penyelidikan, taklimat memohon tempat, forum berkenaan pengalaman mereka yang pernah menambung pengajian dan amanat Dato' KP.

Dato' KP dalam amanatnya mengharapkan agar bila tamat nanti, semua penerima HLP akan terus menyumbang kepada pembangunan dan masa depan JPPKK agar satu hari ini JPPKK berada tinggi rendah sama dengan IPT yang ada di negara ini. Jangan pula nak lari dan menumpahkan sumbangan di universiti tanpa membalas jasa kepada JPPKK.

Bila beliau mengatakan bahawa duit biasiswa yang diberikan adalah duit yang kerajaan terima daripada rakyat, terasa beratnya tanggungjawab yang perlu digalas terutama selepas tamat belajar nanti. Mungkin seronok dapat biasiswa ni, gaji penuh, dapat elaun lagi dan tak perlu fikir soal nak masuk kelas atau nak buat kerja-kerja pengurusan, tapi bila ingat ianya adalah duit rakyat, baik buat pakai duit sendiri. Tapi kalau nak pakai duit sendiri, entah bila boleh buat ditambah dengan tugas-tugas sampingan yang tidak habis-habis (selagi belum pencen).

Sendiri mau ingat la...

Ahad, 20 April 2008

Program Bersama JKA


Semalam dan hari ini ambo ke Pantai Padang Kamunting, Pengkalan Balak daerah Masjid Tanah bersama dengan JKA untuk program motivasi dan Hari Keluarga JKA. Kuliah Maghrib berjalan dengan selamat, namun kuliah subuh terpaksa di'cut' kerana angin yang kuat dan hujan renyai-renyai membasahi ambo dan para jamaah lain.

Beberapa buah khemah turut diterbangkan oleh angin, namun tiada sebarang musibah yang agak membahayakan. Seronok juga sekali sekala berjamaah menghadap laut yang seluas mata memandang. Betapa kerdilnya diri bila melihat luasnya laut ciptaanNya dan betapa banyaknya ilmuNya bila melihat air laut yang tak pernah-pernah surut.

Sabtu, 19 April 2008

Bersama YADIM


Malam tadi ambo dengan seorang kawan telah ke Lakeview Training Center, Rawang, tak jauh dari Universiti Industri Selangor kat Batang Berjuntai mengiringi pelajar yang menyertai kem kepimpinan anjuran YADIM. Bertolak dari Melaka jam 5.30 petang dan tiba semula di Melaka jam 2.00 pagi (pergi sekejap je, hari ni ada program lagi).

Perjalanan ke kem memakan masa hampir 4 jam kerana pekena 'buah langsat' dan sedikit 'roti disapu jem strawberry'. Program ini adalah tawaran pihak YADIM kepada para pelajar dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh YADIM kecuali pengangkutan. Hasil perbincangan dengan beberapa sukarelawan al-Falah, program ini akan diteruskan lagi dengan penubuhan sahabat sukarelawan al-Falah di tempat pengajian masing-masing.

Pelbagai pendapat berkenaan YADIM diutarakan oleh sesetengah pihak, namun bagi ambo, asalkan pelajar-pelajar yang tamat program ini dapat penuhkan lima waktu solat setiap hari adalah satu yang amat bermakna memandangkan pelajar-pelajar tempat ambo ni amat liat terutama bab-bab solat apatah lagi solat jamaah..

Selasa, 15 April 2008

Melaka Kini

15 April, negeri Melaka cuti umum sempena Hari Pengistiharan Melaka Bandaraya Bersejarah. Tahun ini sudah masuk ulang tahun yang kelima. Sudah hampir enam tahun ambo tinggal kat Melaka ni. Entah bila ambo dapat balik negeri sendiri. Mungkin orang lain tak kisah tinggal lama-lama kat negeri orang, tapi ambo kalau boleh hari ini juga nak balik ke kampung halaman atau sekurang-kurangnya ada dalam negeri sendiri.

Bukannya apa, semua tahu bila ada kat tempat orang, ianya tidak sama dengan tempat kita. Hebat macam mana sekalipun tempat itu, tempat asal juga menjadi pujaan. Itu pendapat ambo, pendapat orang lain mungkin tidak sedemikian.

Walau apa pun, pengalaman tinggal di Melaka ini suatu yang berharga kerana jika nak dibeli, memang tak ada orang jual.

Ahad, 13 April 2008

Pesta Buku Antarabangsa KL 2008


Semalam ambo sempat melalui beberapa buah gerai di Pesta Buku Antarabangsa KL. Namun sesi kali ini tidak dapat disempurnakan sepenuhnya kerana hanya sempat membeli beberapa buah buku sahaja. Membawa bersama sikecil adalah untuk mendidik budaya cintakan tempat-tempat demikian. Tapi kerana dia masih belum faham apa-apa, asyik nak berlari sana sini, sekejap nak didukung, kemudian nak sambung berlari lagi dan macam-macam lagi. Pengunjung pula sesak sehingga terpaksa beratur panjang untuk membayar hanya sebuah majalah.

Tahun depan kena buat strategi lain pula. Tahun depan kena tambah lagi kuantiti buku. Tahun depan lambat lagi. Ada 12 bulan lagi untuk jualan murah buku musim 2009.

Jumaat, 11 April 2008

Dutch Lady


Anak ambo minum susu Dutch Lady. Ambo nak tukar kepada susu lain secara serta merta, nanti perut sikecil meragam. Perut sikecil bukan macam perut ayahnya, bukan boleh minum susu sebarangan. Jadi ambo tak dapat nak boikot barang-barang keluaran Belanda terutama susu Dutch Lady 123. Namun demikian, pada ambo, umat Islam sendiri perlu kuat pegangannya kerana yahudi akan sentiasa buat hal kat Islam selagi Islam tak tunduk kepada mereka. Entah apa lagi mereka nak buat lepas ni...

Khamis, 10 April 2008

Bercuti

Hari ni masih lagi menikmati cuti pertengahan semester. Belum terhasil apa-apa lagi yang bermanfaat. Harap-harap perancangan yang dirancang siap sebelum cuti berakhir.

Isnin, 7 April 2008

Ke Terengganu lagi


Sabtu lalu, ambo 'out station' lagi. Kali ini ambo ke Terengganu, melihat dengan mata sendiri Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Walaupun pelbagai spekulasi timbul mengenai jumlah sebenar kos pembinaannya, namun ianya telah terbina. Takkan kita nak robohkan pulak.

Jadi ambo berserta beberapa rakan dan 70 orang pelajar ke sana sambil beli keropok lekor... Ambo juga sempat menunaikan solat zohor kat Masjid Kristal.

Rabu, 2 April 2008

Maulidur Rasul


Perarakan Maulid Rasul 1429H Peringkat Negeri Melaka


Tiap-tiap tahun kena paksa 'join'. Tahun depan rasa tak nak 'join' lagi. Disebalik hal ini semua, pelbagai pendapat dikemukakan mengenai sambutan Maulid (kelahiran) Rasulullah S.A.W. Walau apa pun, sama-sama kita perbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, moga-moga kita tergolong dalam golongan yang akan mendapat syafaatnya nanti.

Saje nak 'post'...

Sekitar lawatan Kelab Nasyid...

Di Raihan Group Of Companies


Di Rabbani Productions


Di Hijjaz Productions Sdn. Bhd