Jumaat, 30 Mei 2008

Hari Ilmuan Islam

Aktiviti untuk bulan Mei bertambah lagi. Semalam kerajaan mengistiharkan 29 Mei setiap tahun sebagai hari Seniman. Untung juga jadi seniman, dapat penghargaan daripada kerajaan. Semoga hari Ilmuan terutama untuk Ilmuan Islam dapat diwujudkan juga bagi mengiktiraf penglibatan ulama' dalam masyarakat. Bukan tidak mengakui peranan seniman dalam dunia dakwah, namun mereka yang lebih ahli dalam berpesan-berpesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran hanyalah golongan yang beriman dan beramal soleh, tidak lain tidak bukan iaitu mereka yang hanya takut kepada Allah iaitu ulama'.

Selasa, 27 Mei 2008

Masuk Islam


Semalam sewaktu nak ambil wuduk untuk solat asar, terpandang seorang perempuan sedang membaca akhbar dibilik bacaan. Ingatkan staf baru lapor diri, sebab tak pernah nampak sebelum ini. Selesai sahaja buka stokin, seorang rakan sepejabat memanggil dan bertanyakan satu perkara berkaitan hukum agama. Sejak dua menjak ni, ada sahaja soalan-soalan pelik yang ditanya dikalangan rakan-rakan, pantang bertemu tak kira tengah jalan, tepi jalan, bawah jalan mesti nak tanya soalan pasal hukum hakam. Ada yang tanya arah kiblat surau, padahal tiap-tiap hari sembahyang kat situ, ada yang tanya pasal ubat habbatus sauda' (ingat ambo ni pengedar), ada yang tanya pasal maksud disebalik nama dan macam-macam soalan.

Berbalik kepada cerita rakan ambo tadi, soalan yang ditanyanya adalah berkaitan dengan tatacara yang perlu dilakukan oleh seseorang yang baru memeluk Islam. Agak berat nak jawab, maklumlah ilmu hanya kat buku, bukan kat dada. Ambo cuba jawab berdasarkan apa yang ambo tahu lebih kurang kerana kes-kes macam ni jarang dialami. Kali terakhir melihat sendiri non-muslim memeluk Islam adalah semasa ditahun 2 pengajian apabila seorang rakan dari Fakulti Sastera yang berasal dari Sabah memeluk Islam dihadapan ambo dan rakan-rakan selepas solat Isyak. Lafaz syahadah dilafazkan dihadapan seorang rakan ambo dan dia kemudiannya dibawa ke Perkim untuk urusan pendaftaran.

Ambo kemudian bertanya kenapa beria sangat bertanyakan soalan demikian. Katanya, adik angkatnya yang datang dari KL baru sahaja memeluk Islam sebentar tadi di pejabat agama bersaksikan seorang rakan dan dia sebagai kakak angkat. Kemudian dia menunjukkan kepada seorang wanita yang sedang membaca akhbar yang ambo lihat tadi. Itulah orangnya, katanya. Agak terkejut juga. Ingatkan saje-saje nak tanya, rupa-rupanya memang ada depan mata. Memang besar cabaran memegang 'title' ustaz terutama dikalangan orang awam. Kalau semasa berada sekolompok rakan-rakan sekuliah dulu, tak ambil kisah sangat sebab ramai yang lebih ustaz dari ambo.

Dia bercerita secara ringkas biodata adik angkatnya itu, tapi tak sempat nak tulis resume, hanya secara lisan. Katanya adik angkatnya berasal dari Sarawak dan sekarang tinggal di KL. Dia pernah memohon untuk memeluk Islam di KL, tapi prosedurnya yang agak rumit, jadi dia datang ke Melaka untuk memudahkan lagi urusannya. Tambahnya lagi, adik angkatnya kini sedang berbadan dua walaupun belum mendirikan rumah tangga. Dia pun tengah pening macam mana nak jaga dan menguruskan hal-hal seterusnya memandang adik angkatnya tiada saudara mara di Semenanjung. Ambo suruh dia kahwinkan dengan lelaki yang bertanggungjawab menduakan badan adik angkatnya itu, tapi lelaki tersebut masih belum matang lagi untuk menerima tanggungjawab sebagai suami. Ambo agak hairan, dalam bab menduakan badan orang, dia matang pula.

Kemudian ambo balik belek beberapa buah buku yang tak berapa banyak di perpustakaan mini rumah ambo. Tak banyak yang menyebut tentang hal ehwal dan perihal orang yang masuk Islam. Dalam Fiqh Sunnah, penerangannya berkisar kepada kewajipan mandi apabila memeluk Islam. Sebuah buku bertajuk "Fiqh Ibadah" dalam bahasa Indonesia ada menulis sedikit tentang hal ini. Dalam laman web pun tak jumpa banyak sangat. Rujuk laman web JAKIM atau PERKIM, tak jumpa apa-apa. Ada satu laman web dalam bahasa Indonesia yang menulis tentang hal ini. Sila klik di:http://mediabilhikmah.multiply.com/journal/item/41/. Laman web berbahasa Arab tak rujuk sebab tak nak tukar keyboard arabic. Ambo ke perpustakaan, agak lama mencari, baru terjumpa sebuah buku bertajuk "Membahas Kemusykilan Agama" oleh Prof. Dr. Hamka.

Dalam topik Syarat Orang Masuk Islam dan Ajaran Islam, dihuraikan satu pertanyaan berkenaan apakah yang wajib bagi seorang yang memeluk Islam lakukan. Untuk perkongsian bersama, buku ini menerangkan bahawa mualaf yang telah memeluk Islam tidak perlu dimandikan seperti yang dilakukan orang Kristian kerana dianggap seolah-olah meniru orang Kristian yang membaptiskan orang yang baru masuk Kristian. Maksudnya biarlah dia mandi sendiri. Dalam satu hadis riwayat Abu Daud dan Nasai, Rasulullah pernah menyuruh Qais bin ’Ashim yang datang kepada Rasulullah untuk memeluk Islam. Lalu Rasulullah menyuruhnya mandi dengan air yang dicampur dengan daun yang berbau harum. Dalam hal ini, ulamak berselisih pendapat, satu golongan mewajibkan mandi tanpa mengira mualaf tersebut dalam keadaan berjunub atau tidak dan satu lagi hanya mewajibkan mandi jika dalam keadaan berjunub, jika tidak hanya sunat untuk mandi.

Satu lagi ialah persoalan tentang berkhitan. Dalam sebuah hadis riwayat Khalal, berkhitan bagi lelaki adalah Sunah manakala bagi perempuan adalah satu kemuliaan. Jadi terpulang sama ada nak dikhitankan atau tidak. Namun perkara ini janganlah ditekankan sangat kerana para mualaf masih lagi mentah untuk menerima ajaran Islam secara sekaligus. Biarlah dia menerima perintah-perintah al-Quran dan Hadis satu persatu agar dia faham apa yang dibuatnya terutamanya bagi mereka yang kosong pengetahuannya tentang Islam sebelum ini. Jika sebelum peluk Islam mereka dah hafal Quran, itu lain pulak ceritanya. Bagi golongan ini, tak mustahil mereka akan lebih Islam daripada orang Islam apabila memeluk Islam.

Apa-apapun, cabaran dakwah amat besar. Belum lagi masuk hutan jumpa orang asli. Orang kat bandar pun macam-macam ragam...

Isnin, 26 Mei 2008

Tunggu surat


Alhamdulillah, setelah beberapa kali menyemak di laman web, pagi ini baru ambo rasa lega. Permohonan ambo untuk kemasukan Sesi Julai tahun ini sudah diterima. Sekarang hanya menunggu surat rasmi. Banyak lagi urusan belum selesai. Lepas ni kena buat pemeriksaan perubatan, hantar bermacam-macam borang ke bahagian biasiswa, urusan cuti dan lain-lain. Semoga dipermudahkan oleh Allah Taala.

Ahad, 25 Mei 2008

Naik rumah kawan

Semalam ambo ke Nilai memenuhi jemputan seorang kawan yang mengadakan majlis kesyukuran sempena menetap di rumah yang baru dibelinya berdekatan dengan tempat kerjanya. Dulu dia bekerja satu pejabat dengan ambo. Oleh kerana rezekinya agak baik, dia ditawarkan menjawat jawatan pensyarah di USIM (dulu KUIM) bersama-sama suaminya yang telahpun berkhidmat sebagai pensyarah di sana.

Agak besar rumahnya. Sebuah rumah teres 2 tingkat di lot yang paling hujung. Harga semasa dibeli ialah RM250,000. Itu belum ditambah dengan kos pengubahsuaian yang pada pengamatan ambo, rasanya dekat-dekat RM50,000.

Melihat kawan-kawan yang dah memiliki rumah sendiri, rasa teringin untuk turut membelinya. Namun oleh kerana rezeki ambo masih kat perantauan, niat untuk memiliki rumah idaman sendiri mungkin hanya akan dapat dipenuhi apabila usia dah hampir pencen. Itupun kalau dipanjangkan umur dan dapat balik berkhidmat di kampung sendiri atau sekurang-kurangnya di negeri sendiri. Buat masa ini, hanya berteduh di sebuah rumah sewa.

Khamis, 22 Mei 2008

Mesyuarat Tracer Study



Rasa-rasanya ini adalah mesyuarat terakhir yang ambo hadiri bersama-sama counterparts Tracer Study BPGA. Kali ini mesyuarat diadakan di Hotel Oriental Crystal, Kajang bermula Selasa hingga esok. Mesyuarat ini tidak seperti mesyuarat yang biasa dihadiri kerana hanya tajuk surat sahaja yang tertulis perkataan mesyuarat, namun isinya adalah sebuah bengkel yang berkait rapat dengan hasil kerja dalam BPGA.

Mesyuarat kali ini turut dihadiri hampir semua counterparts dari Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Kesemuanya hampir 60 orang. Sebelum ini hanya berjumpa dengan rakan-rakan dari politeknik, tapi apabila BPGA ditubuhkan, bilangan counterparts menjadi lebih besar kerana Kolej Komuniti seluruh Malaysia ada sebanyak 37 buah.

Sesi kali ini memfokuskan kepada bengkel untuk menyediakan sebuah penyelidikan yang lebih tersusun serta mengikut kaedah disiplin yang diguna pakai dalam sebuah penyelidikan. Sebelum ini kebanyakan counterparts hanya hentam keromo sahaja mengikut kaedah yang serasi dengan jiwa masing-masing. Mungkin disebabkan tidak ada kursus atau bengkel yang mengkhusus kepada kaedah penyelidikan yang sebenar, pihak BPGA menyusun bengkel-bengkel yang ada beberapa siri lagi agar gerak kerja selepas ini lebih baik daripada sebelumnya. Walau bagaimanapun, siri-siri seterusnya akan ambo hadiri jika berkesempatan.

Awal sesi dimulakan dengan pembentangan oleh Cik S yang mendedahkan beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh counterparts semasa menyediakan data kepada pihak KPTM. Katanya yang menguruskan lebih kurang 147 buah IPT seluruh Malaysia, jika nak melihat data secara teliti bagi setiap IPT, mungkin 'juling biji mata', jadi dia berkongsi cara bagaimana ingin melihat data sama ada betul atau salah menggunakan Microsoft Excel dan SPSS. Dia berharap agar selepas ini data yang diterimanya tidak banyak yang perlu diperbetulkan.

Sesi seterusnya ialah sesi bengkel kaedah penyelidikan dan asas SPSS yang disampaikan oleh Dr. R yang dijemput dari Fakulti Ekonomi, UM. Beliau dah beberapa kali hadir bersama-sama counterpart dalam mesyuarat sebelum ini. Beliau banyak terlibat dalam menjalankan kajian bersama KPT semasa Datuk M menjadi Menteri Pengajian Tinggi. Tugas tersebut masih dipegangnya walaupun Menteri Pengajian Tinggi sudah beralih kepada Datuk Seri MK. Banyak contoh yang beliau berikan terutama yang melibatkan kajiannya yang pernah dibuat yang tidak didedahkan dalam mana-mana penerbitan atau akhbar. Ambo akan cuba buat ulasan ringkas apa yang beliau sampaikan jika ada kesempatan masa dalam bahagian yang lain.

Berkenaan dengan software SPSS, ia adalah sebuah perisian yang digunakan untuk menjalankan penyelidikan yang melibatkan data yang besar dan untuk menghasilkan analisis yang mendalam terhadap sesuatu kajian. Walaupun dah beberapa kali mengikuti kursus seperti ini, penggunaan perisian ini yang amat jarang menyebabkan banyak langkah-langkah yang terlupa terutama apabila nak buat T-Test, Anova Test, Chi Square dan macam-macam lagi istilah dalam SPSS ini.

Walau bagaimanapun, penglibatan dengan dunia penyelidikan ini sedikit sebanyak mendedahkan ambo kepada ruang lingkup yang lebih besar apabila melihat sesuatu isu terutama yang melibatkan Kajian Pengesanan Graduan IPT. Tapi bagi mereka yang tiada minat, mungkin hal ini merupakan suatu yang boleh menyebabkan seseorang menghadapi 'migrain' kerana data yang dianalisis adalah melibatkan hampir semua graduan politeknik yang jumlahnya melebihi 20,000 orang.

Pn SJ selaku Pengarah BPGA yang turut hadir dalam bengkel ini banyak menyarankan agar semua counterparts menjadikan tugas sebagai pegawai pengesanan graduan sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang penyelidikan ini. Beliau mengharapkan satu hari nanti budaya penyelidikan ini menjadi kerja rutin setiap warga politeknik dan kolej komuniti selain mengajar dan menjalankan beberapa kerja sampingan yang lain.

Selamat maju jaya.

Selasa, 20 Mei 2008

Balik kampung

Alhamdulillah, perjalanan pergi dan balik dari Melaka-Kelate-Melaka dipermudahkan Allah Taala. Sepanjang 576km yang memakan masa lebih kurang 10 jam melalui lebuhraya PLUS-KL-Gua Musang, perjalanan agak memenatkan juga. Tapi kalau ikut Gemencih-Muadzam Shah-Bukit Besi rasanya lagi jauh. Mengikut perhitungan ambo jaraknya lebih kurang 612km. Namun dengan bantuan 'co-pilot' yang tersayang, sendi-sendi dapat direhatkan seketika. Sebelum itu, ambo singgah di UKM menjemput adik kepada 'co-pilot' yang ingin bersama-sama menyambut hari ibunya yang juga merupakan ibu mertua ambo.

Keadaan kampung sama seperti waktu ambo sebelum ini. Kali terakhir ambo balik adalah sewaktu PRU12 bulan Mac yang lalu. Ambo sempat menziarahi Tuan Imam kampung yang mengidap penyakit paru-paru berair kat hospital. Berduyun-duyun anak mukim datang melawat Tuan Imam yang mesra rakyat ini. Maklumlah, apa jua program terutama tentang nikah kahwin, kematian dan kenduri kendara, Tuan Imamlah tempat rujukan. Nasib baik kat kampung ambo tu ramai pelapis, tak de masalah nak cari pengganti untuk baca khutbah hari Jumaat. Hafiz al-Quran ada 4 orang, lulusan al-Azhar semuanya. Boleh gilir-gilir jadi imam dan baca khutbah. Semoga Pak Imam cepat sembuh.

Dalam masa yang sama, ambo menerima berita yang agak menyayat hati apabila seorang kawan sekelas semasa tadika meninggal dunia akibat penyakit yang ditakuti ramai. Dia terlibat dengan gejala yang tak mengenal siapa termasuk golongan profesional, artis, pelajar, penganggur dan orang biasa. Mula-mula cuba ' try test' ubat batuk, lama-lama dah menjadi 'pegawai perubatan tidak bertauliah' yang akhirnya membawa ke 'tiang dua'. Semoga penyakit yang diterimanya menjadi kaffarah segala dosa-dosanya semasa hidup.

Jumaat, 16 Mei 2008

Untungnya jadi cikgu

Macam-macam insentif untuk guru diumumkan PM sempena hari guru tahun ini. Nasib ambo sebagai PPPT bergred DH41 belum tau lagi. Kalau kat sekolah, mungkin berbungkus-bungkus hadiah diterima daripada pelajar, tapi kat politeknik hanya sms diterima. Tak pe lah, asalkan semua pelajar mengamalkan segala ajaran yang sahih serta dipanjangkan pula kepada orang lain, itu juga adalah hadiah buat ambo, bukan setakat masa hidup sahaja dapat hadiah, dah tak de kat dunia pun hadiah ini tetap diterima. Harap-harap beribu-ribu anak didik ambo tetap amal apa-apa yang baik.

Selasa, 13 Mei 2008

13 Mei

Kalau mengikut tarikh hijrah, dah lama berlalu, tapi kalau mengikut tarikh masihi, hari ini baru tiba waktunya. Semua insan mengharapkan dalam doa mereka agar diberikan kesihatan serta dipanjangkan umur untuk mempertingkatkan lagi kualiti amalan serta koleksi pahala untuk bekal akhirat nanti. Selain itu, ada juga yang memohon agar dikurniakan rezeki yang melimpah ruah oleh Allah S.W.T.

Walaupun demikian, dalam pertambahan usia ini, suatu perkara yang tidak harus dilupakan ialah kematian juga semakin hampir hari demi hari. Cuma waktu dan ketika yang sebenar dirahsiakan Allah untuk menguji siapakah antara hambanya yang benar-benar taat dan patuh serta istiqamah dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang hamba dan khalifah.

Ahad, 11 Mei 2008

Ibu Bapa


Bab Berbuat Baik Terhadap Kedua Orang Tua:

1) Al-Quran
Maksudnya:

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.
(Surah al-Isra', ayat 24)

2) Al-Hadis

حدثنا ‏ ‏قتيبة بن سعيد بن جميل بن طريف الثقفي ‏ ‏وزهير بن حرب ‏ ‏قالا حدثنا ‏ ‏جرير ‏ ‏عن ‏ ‏عمارة بن القعقاع ‏ ‏عن ‏ ‏أبي زرعة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏قال ‏
‏جاء ‏ ‏رجل ‏ ‏إلى رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فقال من أحق الناس بحسن صحابتي قال ‏ ‏أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أبوك.

‏وفي حديث ‏ ‏قتيبة ‏ ‏من أحق بحسن صحابتي ولم يذكر الناس

Maksudnya:

Hadis ABu Hurairah r.a katanya:

Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W. lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik mungkin? Rasulullah S.A.W. bersabda: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah S.A.W. bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya lagi. Kemudian siapa? Rasulullah S.A.W. bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya lagi. Kemudian siapa? Rasulullah S.A.W. bersabda: Kemudian ayahmu.

Hadis dalam Sahih Muslim, nombor 4621.

______________________________________

“Ya Allah, ampunilah dosa ambo, dan dosa kedua ibu bapa ambo, dan kasihanilah mereka berdua sepertimana mereka telah mengasuh ambo sejak kecil lagi”

Sabtu, 10 Mei 2008

Hari Falak/Astronomi Negeri Melaka 2008


Kalau tengok pada tentatif program, pukul 9.30 pagi ada ceramah oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, tapi beliau tak dapat hadir dan diganti dengan Kapten Dr. Faiz Khaleed dan sesi ini ditunda pada pukul 2 petang. Sampai je, masuk dewan untuk sesi perasmian oleh Ketua Menteri Melaka.

Masa tengok surat dan pamplet yang diterima, nampak macam hebat. Tapi bila dah sampai, hanya ada beberapa pemamer sahaja. Bahan pameran pun tidaklah secanggih mana. Kalau nak banding dengan Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam yang pernah ambo hadiri kat KLCC tahun lalu, amat jauh sekali bezanya. Apapun, satu usaha yang baik dilakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam mendekatkan masyarakat kepada ilmu falak yang menjadi rujukan terutama dalam bab penentuan beberapa ibadah dalam Islam.

Dalam majlis perasmian, KM Melaka memaklumkan bahawa di Melaka akan dibina satu lagi kompleks seumpama Kompleks Falak al-Khawarizmi yang bertempat di Ayer Keroh. Selain itu juga, beliau mengalu-alukan kepada sesiapa yang mempunyai kepakaran dalam membuat animasi untuk menghasilkan sama ada filem atau dokumentari di pusat animasi yang dibuka secara percuma berdekatan MITC, Ayer Keroh.

Ambo balik sebelum sempat mendengar dan berjumpa dengan angkasawan negara. Semoga lain kali peluang ini tiba lagi.


Jumaat, 9 Mei 2008

Hari-hari di bulan Mei

Bulan Mei dah masuk beberapa hari. Sudah banyak aktiviti dan majlis yang telah dilaksanakan. Antara tarikh-tarikh yang menjadi sambutan tahunan pada bulan Mei tahun 2008:

01 Mei - Hari Pekerja (Cuti umum)
03 Mei - Hari Kebebasan Akhbar
04 Mei - Hari Bomba
08 Mei - Hari Bulan Sabit Merah
09 Mei - Hari Belia Negara
11 Mei - Hari Ibu (Hari Ahad ke dua Bulan Mei Tahun 2008)
11 Mei - Hari Ibu ambo dilahirkan
12 Mei - Hari Jururawat
13 Mei - Hari Ibu ambo melahirkan ambo
16 Mei - Hari Guru
15 Mei - Hari Keluarga Kebangsaan
16 Mei - Hari Guru
17 Mei - Hari Telekom
19 Mei - Hari Wesak (Cuti umum lagi)
22 Mei - Hari Bio-Diversity
29 Mei - Hari Seniman
31 Mei - Hari Tanpa Tembakau Sedunia

Dan beberapa lagi peristiwa yang tak termasuk dalam senarai di atas. Selain itu, bulan Mei juga menjadi Bulan Perpaduan yang akan disambut pada 25 Mei 2008 nanti.


Rabu, 7 Mei 2008

Konvokesyen


Hari ini, 7 Mei 2008 Konvokesyen ke tujuh Politeknik Kota Melaka. Pagi-pagi lagi semua staf berkumpul di MITC, masing-masing menjalankan tugas yang diamanahkan. Ambo tidak terkecuali daripada kerja-kerja tersebut. Cumanya kali ini tugas ambo agak ringan berbanding tahun-tahun lepas.

Kajian Pengesanan Graduan 2008 juga semakin meningkatkan peratusnya berbanding semalam. Sehingga hari ini, sebanyak 73% graduan yang menyertai kajian ini. Meningkat 2 peratus daripada tahun lepas. Walaupun tidak banyak, kira ok la tu. Sahabat-sahabat ambo di tempat lain ada yang sampai 91%. Entah ilmu apa yang dipakai sehingga boleh mencapai ke angka itu. Kena banyak belajar lagi ni...

Ahad, 4 Mei 2008

Tak ke mana-mana

Alhamdulillah, minggu ni ambo dapat merehatkan diri daripada terkejar sana sini setelah minggu-minggu sebelumnya agak sibuk sedikit. Walaupun minggu ni tak ke mana-mana, tugasan dan kuiz masih banyak yang belum bertanda dengan dakwat merah.

Soalan ujian akhir pun belum siap-siap lagi. Minggu depan agak sibuk juga. Majlis konvokesyen yang ke tujuh dah nak tiba. Tinggal 2 hari saja lagi. Persiapan bahagian ambo masih belum sepenuhnya disempurnakan. Harap-harap semuanya berjalan lancar.

Setakat ini, Kajian Pengesanan Graduan baru menunjukkan 59% penyertaan daripada graduan yang menjawab soal selidik tersebut. Walhal dah diumpan dengan cabutan bertuah namun peratusnya masih rendah.

Sekadar inilah dulu, lebih-lebih pun bukannya kerja semakin berkurang, malah banyak yang tertangguh gara-gara nak 'update' blog.