Rabu, 26 November 2008

Pergi tak kembali


Pok Yok yang ambo ziarah 3 hari lepas telah meninggalkan dunia yang fana ini lewat petang semalam. Jenazahnya dikebumikan pada hari ini. Semoga roh Pok Yok berada di tempat yang mulia di alam barzakh sana.

Selasa, 25 November 2008

Kajian Pengesanan Graduan Susulan

Cadangan untuk mewujudkan Kajian Pengesanan Graduan Susulan telah lama dikemukakan. Akhirnya ianya terlaksana juga pada tahun ini. Semoga objektifnya tercapai dalam mendapatkan maklumat graduan seluruh negara dan memastikan graduan yang dihasilkan oleh IPT dalam dan luar negara benar-benar berguna untuk negara umumnya dan diri graduan itu sendiri khususnya.

Isnin, 24 November 2008

Nikmat sihat sebelum sakit

(Gambar hiasan)

Petang semalam ambo sempat menziarahi seorang jiran, Pok Yok yang sedang uzur kerana diserang strok. Umur beliau sekarang sudah menjangkau 89 tahun. Sudah lama ambo tidak menziarahinya disebabkan masa yang terbatas setiap kali balik ke kampung. Oleh kerana berpeluang untuk cuti bagi tempoh yang panjang (lepas ni entah dapat atau tidak lagi) jadi inilah kesempatan untuk ambo ziarah dan jenguk jiran-jiran serta saudara mara terdekat.

Sewaktu Pok Yok masih sihat, beliau berbasikal ke masjid setiap waktu. Jarang sekali beliau solat di rumah kerana setiap waktu termasuk waktu subuh, beliau tetap mengayuh basikalnya ke masjid. Semenjak beliau uzur, beliau tidak lagi menunaikan solatnya di masjid. Sehingga hari ini, hanya ada beberapa orang yang masih berbasikal ke masjid terutama yang tinggal agak jauh dari masjid, antaranya Pok Leh, Jali Doyoh dan Pok Yeh. Dulu ada seorang lagi yang selalu mengayuh basikal depan rumah ambo untuk ke masjid iaitu Tok Bilal Pok Ya, tapi setelah beliau meninggal, tinggallah Pok Leh seorang yang ambo nampak masih laju mengayuh basikal ke masjid.

Sewaktu ambo kecil-kecil dahulu, bila terseliuh sendi atau urat akibat bermain bola, Pok Yoklah antara tempat ambo pergi berurut selain Pok Kar. Tapi kini, nak bersalam dengan ambopun beliau tak dapat buat. Begitulah kitaran hidup yang akan berlaku kepada setiap manusia, sewaktu sihat macam-macam kita boleh buat. Bila dah uzur, segala-galanya terbatas. Masa muda macam-macam boleh makan, tapi bila dah tua dan uzur, hanya boleh makan benda-benda lembut sahaja. Isteri Pok Yok menceritakan, beliau hanya boleh makan nasi air, itu pun disuap secara perlahan-perlahan. Minum air pun kena suap seteguk-seteguk, tak boleh minum dalam gelas ataupun pakai straw.

Ketika ambo menziarahi Pok Yok petang semalam, beliau tidak boleh bercakap atau bergerak, hanya diam dan berbaring di atas katil. Sebenarnya beliau baru sahaja mendapat rawatan dari hospital dan setelah keadaannya agak baik, beliau dibenarkan pulang oleh doktor.

Sebelum ini ada beberapa orang yang ambo tak sempat nak ziarah. Antaranya arwah Tok Wan Deris, Pak Chu Kob, Tok Haji Junoh, Pok Soh Lori, Tok Bilal Pok Ya, Pakcik Hamat Pisah, Pakcik Daud Tukang Cat dan beberapa orang lagi. Hanya beberapa orang yang sempat ambo ziarah seperti arwah Cikgu Chekwen, Pak Do Ali dan Tok Imam Hj. Ibrahim. Semoga roh mereka berada bersama-sama para solihin. Buat Pok Yok, ambo doakan agar beliau cepat sembuh dan dapat menunaikan ibadat seperti biasa.

Sabtu, 22 November 2008

Semoga mendapat haji mabrur



Musim haji tiba lagi. Sudah lama tidak menghantar sanak saudara yang nak berangkat ke Mekah. Kali terakhir sewaktu nenek ambo ke Tanah Suci kira-kira berbelas-belas tahun yang lalu (sudah lupa berapa tahun). Kali ini ambo sekali lagi ke lapangan terbang Pengkalan Chepa kerana menghantar kedua-dua mertua ambo yang akan menunaikan fardhu haji tahun ini. Ambo harap diberikan rezeki yang melimpah agar ambo pun dapat sama-sama untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Buat semua jemaah haji tahun ini dan juga kedua-dua mertua ambo, semoga mendapat haji yang mabrur.

Rabu, 19 November 2008

Konvokesyen j-QAF


Tahniah kepada semua lulusan Kursus Perguruan Lepasan Siswazah KPLI j-QAF ambilan tahun 2007 yang telah dan sedang meraikannya dalam majlis konvokesyen yang sedang berlangsung dari 17 hingga 20 November 2008 di Putrajaya.

Buat isteri ambo yang berkursus di IPPM, Melaka, syabas dan tahniah kerana berjaya mendapat anugerah cemerlang kokurikulum dan cemerlang keseluruhan dalam kursus ini. Semoga khidmatmu kelak sebagai pendidik terhadap anak-anak bangsa akan sentiasa bersinar demi menggalas harapan masyarakat.

Juga buat adik ambo dari IPSM, Besut, Terengganu, tahniah kerana mendapat anugerah cemerlang akademik. Semoga dapat melahirkan pelajar yang cemerlang hasil dari keringat guru yang gemilang.