Ahad, 28 Disember 2008

Tahun Baru Hijrah

Setiap tahun kita menyambut ketibaan tahun baru hijrah. Dari angka satu sehingga sekarang sudah menjangkau kepada angka 1430. Kebanyakan daripada kita apabila berbicara tentang tahun baru, masing-masing menyatakan azam yang tersemat dalam diri. Walau apa jua azam yang kita tetapkan, semestinya ianya adalah untuk menambah baik azam yang sedia ada. Tahun baru ini juga mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah yang telah berlaku kepada Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu. Hijrah dari Mekah ke Madinah yang penuh cabaran berakhir dengan kejayaan apabila Islam terus berkembang sehingga ke hari ini.

Walaupun peristiwa hijrah sudah menjadi lipatan sejarah, namun maksud tersirat daripada peristiwa tersebut perlu menjadi pegangan setiap umat Islam. Jika tidak, tiada guna mengira perubahan angka yang berlaku setiap tahun. Hari ini, hijrah lebih diertikan kepada perubahan daripada yang tidak baik kepada yang baik. Di samping itu, hijrah hari ini juga adalah untuk mengubah daripada yang sudah baik kepada yang lebih baik dan lebih cemerlang. Antara yang boleh menjadi agenda hijrah ialah berusaha untuk menjadikan iman kita agar sentiasa meningkat kerana iman yang ada pada kita tidak tetap, iaitu boleh bertambah dan berkurang. Alangkah untungnya jika iman kita bertambah tahun demi tahun dan begitu juga sebaliknya, amatlah rugi jika iman kita semakin lama, semakin berkurang.

Disamping itu, tahun baru masihi juga akan disambut tidak lama lagi. Ramai para pemikir dan penganalisis terutama dalam perkara berkaitan ekonomi menjangkakan bahawa tahun hadapan situasi ekonomi akan mengalami kegawatan ekoran keadaan global yang tidak menentu. Namun sebagai orang Islam, kita tidak boleh lupa bahawa kita ada Allah yang Maha Kuasa. Jangan pula apabila ekonomi Barat mengalami kelumpuhan, maka kita turut menjadikan alasan bahawa kehidupan kita akan turut lumpuh. Jika kita beranggapan demikian, seolah-olah kita menjadikan Barat sebagai kuasa yang boleh menentukan segala-galanya keatas kita. Kita harus ingat bahawa Allah yang memberikan rezeki dan berkuasa ke atas segala-galanya. Jika kebergantungan kita sudah berubah kepada kuasa selain Allah, maka ianya dikhuatari akan menjejaskan syahadah yang menjadi pegangan umat Islam sekian lama. Semoga kita terhindar daripada berada dalam kelompok demikian.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430.

Khamis, 11 Disember 2008

Zoom: Bukit Bakar


Terletak di Jajahan Machang dan tidak jauh dari Bandar Machang iaitu kira-kira 7 km sahaja, kawasan perkelahan Hutan Lipur Bukit Bakar antara salah satu kawasan rekseasi yang boleh dikunjungi oleh pengunjung dalam dan luar negeri Kelantan ini. Hutan lipur ini tidaklah setanding dengan Hutan Lipur Jeram Linang yang terletak di Jajahan Pasir Puteh. Walau bagaimanapun ia sesuai dikunjungi oleh keluarga sebagai tempat beristirehat.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan seperti Taman Kanak-Kanak, pondok rehat, kolam mandi, jambatan gantung, tandas awam di samping sungai yang mengalir, kehijauan hutan hujan tropika serta flora dan fauna. Jadi sebagai memenuhi aktiviti hujung minggu dan sempena cuti sekolah ini, tempat ini sesuai untuk dikunjungi untuk mandi manda serta berehat bersama sanak saudara.


Jika di Jeram Linang, pengunjungnya agak ramai terutama pada cuti hujung minggu, namun di Bukit Bakar ini, pengunjungnya agak kurang sedikit. Tempat ini agak sesuai bagi mereka yang inginkan kedamaian tanpa gangguan pengunjung-pengunjung yang lain. Bagi mereka yang ingin mandi-manda, terdapat banyak kawasan yang disediakan sama ada untuk kanak-kanak, dewasa dan keluarga.



Keadaan dan suanana di Bukit Bakar ini hampir sama dengan mana-mana air terjun yang ada di tempat-tempat lain, cuma yang berbeza hanyalah tiada air terjun yang tinggi seperti yang ada di Jeram Linang, Jeram Pasu, Lata Tembakah dan lain-lain. Bagi yang mempunyai anak-anak kecil, tempat ini agak sesuai untuk membawa mereka bermain-main, tetapi perhatian ibu bapa masih diperlukan agar sebarang kemalangan yang tidak diingini dapat dielakkan.


Namun di sebalik kesunyian kawasan perkelahan ini, ia diambil peluang oleh remaja dan pemuda pemudi harapan bangsa untuk membawa kekasih bermadu asmara di atas pondok-pondok yang disediakan. Pandangan ini mencemarkan suasana di samping sampah sarap yang dibuang sesuka hati oleh mereka yang tidak ada rasa tanggungjawab kepada alam sekitar.

Jadi, selamat berkunjung ke Pusat Perkelahan Bukit Bakar, Machang, Kelantan.

Isnin, 8 Disember 2008

Hari Raya Haji


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillah al-Hamd. Takbir raya terus bergema sepanjang hari-hari tasyrik ini. Berbeza dengan sambutan Hari Raya Fitri, takbir raya hanya sehari sahaja walaupun sambutannya (oleh sesetengah pihak) sampai sebulan. Itulah kefahaman yang masih dan perlu disebarkan kepada masyarakat agar dapat menilai sesuatu ibadat mengikut nilai yang sebenar mengikut kacamata Islam.

Sempena dengan sambutan Hari Raya Adha ini, ramai yang terlibat dalam penyembelihan binatang-binatang korban seperti lembu, unta dan kambing. Walaupun sekadar berkorban haiwan ternakan, ia merupakan suatu pendidikan yang Islam ajar agar melihat pengorbanan lebih besar daripada itu. Nilai pengorbanan sebahagian daripada tujuh bahagian daripada seekor lembu atau seumpamanya tidaklah sebesar pengorbanan nabi Ibrahim ketika mengorbankan anaknya suatu waktu dahulu. Tapi apa yang perlu diambil perhatian ialah supaya nilai pengorbanan itu perlu disebarluaskan dalam bentuk-bentuk aktiviti kehidupan dan ibadah yang lain agar ianya benar-benar dapat dihayati.

Banyak contoh yang boleh diperhatikan dalam menilai makna pengorbanan ini tanpa mengira ianya kecil atau besar. Apa yang penting ialah nilai pengorbanan itu mestilah lahir dari hati yang ikhlas agar dinilai di sisi Allah sebagai suatu yang besar untuk bekalan di akhirat nanti. Lihat sahaja pengorbanan mereka yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh dan banglo ranap di Bukit Antarabangsa. Dalam waktu orang lain menyambut hari raya, para petugas bertungkus lumus berusaha bagi memastikan keadaan terkawal dan mereka yang ditimpa bencana mendapat bantuan. Ini memerlukan pengorbanan yang besar dalam menghadapi situasi demikian tatkala orang lain berada dalam keadaan senang lenang.

Pengorbanan juga akan lebih bermakna jika apa yang kita korbankan itu adalah datang daripada perkara yang kita sayang. Inilah yang benar-benar menguji seseorang dalam menjadikan erti pengorbanan itu sesuatu yang tinggi nilainya di sisi Allah. Tidak ramai yang mampu mengorbankan perkara yang disayangi untuk agama. Hanya mereka yang tebal imannya sahaja yang mampu berbuat demikian. Bagi yang nipis iman, cukuplah menyedekahkan pakaian yang dah lama, wang seringgit dua, makanan yang sayang untuk dibuang atau suruh orang lain berkorban sedangkan diri sendiri tidak berbuat demikian.

Namun, ianya terpulang kepada tahap dan kedudukan masing-masing. Cubalah yang terbaik dalam sebarang pengorbanan yang dilakukan. Kita boleh berkorban wang ringgit, masa, harta, buah fikiran, tenaga dan pelbagai macam lagi bentuk pengorbanan yang jika disenaraikan disini mungkin tidak cukup ruang. Persoalan utama adalah sejauh manakah kita bertindak dalam memastikan setiap perkara yang kita korbankan itu benar-benar untuk agama, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Mudah-mudahan kita menjadi yang terbaik sempena hari raya korban ini.