Khamis, 31 Disember 2009

Pangkat

Iklan

IKLAN DAN BORANG PERMOHONAN PEMANGKUAN / KENAIKAN PANGKAT JAWATAN PEGAWAI PENDIDIKAN PENGAJIAN TINGGI (PPPT) KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Iklan dan Borang Permohonan Pemangkuan / Kenaikan Pangkat Jawatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) Kementerian Pengajian Tinggi Bagi:

1) Gred DH51/52 ke Gred DH54
2) Gred DH47/48 ke Gred DH52
3) Gred DH43/44 ke Gred DH48
4) Gred DH41/42 ke Gred DH44

(Untuk muat turun iklan dan borang sila klik pada Gred yang berkenaan)

PERHATIAN : TARIKH TUTUP PERMOHONAN 1 MAC 2010

Sumber: http://www.portal.mohe.gov.my/portal/page/portal/ExtPortal/MOHE_MAIN_PAGE/NEWSEVENTS/ANNOUNCEMENT/Kenaikan_Pangkat

Jumaat, 18 Disember 2009

Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah

Tahun baru hijrah tiba lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Sudah pasti apabila setiap kali tiba tahun baru, maka pelbagai ucapan dan azam diluahkan hampir setiap daripada kita. Harapannya adalah akan berlaku suatu perubahan pada diri yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya. Tidak kurang juga yang berazam untuk berhijrah bagi memajukan diri agar lebih berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Walau apapun azam dan ucapan kita, pengertian hijrah perlu dihayati oleh setiap daripada kita agar ketibaan tahun baru setiap tahun tidak hanya tiba tanpa sebarang makna. Lebih bermakna lagi jika kita dapat merealisasikan tema Maal Hijrah tahun ini agar tali persaudaraan antara sesama Muslim benar-benar mantap sekaligus dapat memperkasakan umat Islam di samping meletakkan Islam agar berada di tempat yang sepatutnya.

Selasa, 15 Disember 2009

Tiga Politeknik Akan Dinaik Taraf

15 Disember, 2009 12:26 PM

Tiga Politeknik Akan Dinaik Taraf - Mohd Khaled

PUTRAJAYA, 15 Dis (Bernama) -- Tiga buah politeknik akan dinaik taraf mulai tahun depan bagi membolehkan politeknik berkenaan menyediakan kursus diploma lanjutan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata ia juga adalah satu pendekatan awal sebelum politeknik itu dinaik taraf menjadi universiti.

"Kalau kita lihat di luar negara sudah ada politeknik diikhtiraf dan menyediakan kursus di peringkat lebih tinggi daripada diploma. Ini memandangkan sistem politeknik penting untuk meningkatkan sektor teknikal dan vokasional di negara ini.

"Kementerian juga tidak mahu pendidikan di politeknik hanya tersekat sehingga di tahap diploma sahaja malah politeknik juga akan dijadikan sebagai pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan kementerian di sini Selasa.

Mohamed Khaled berkata senarai tiga politeknik yang terpilih daripada 27 politeknik yang sedia ada itu akan diumumkan awal tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) perlu menyediakan insuran berkelompok sebagai langkah melindungi keselamatan para pelajar.

"Perkara itu dianggap wajar walaupun setakat ini kementerian tidak berhasrat untuk menjadikan ia satu perkara wajib. Tetapi dengan adanya insuran ia serba sedikit dapat membantu keluarga pelajar yang dilanda musibah," katanya.

Terdahulu, Mohamed Khaled menyampaikan sumbangan wang insuran daripada Kolej Universiti Kesihatan Materskill kepada keluarga dua pelajar kolej itu, Siti Nuramira Shamsudin dan Siti Nurdiana Azman yang terkorban dalam tragedi di Kompleks beli-belah Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Turut menerima sumbangan seorang lagi pelajar Mazlizatul Akmar Muhammad, 23, yang terbunuh dalam satu kemalangan di Kilometer 39 Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang pada November lepas.

Pada majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan kementerian berjumlah RM184,000 kepada pelajar yang terbabit dalam kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia.

-- BERNAMA

Isnin, 9 November 2009

Kelate Kena Gomo


Episod Red Warrior ber'gomo' telah berakhir setelah di'hoben' oleh Negeri Sembilan 1-3 malam Ahad lepas. Ambo tak ke stadium Bukit Jalil. Cukuplah menontonnya melalui kaca tv sahaja. Daripada pemerhatian ambo, permainan Kelate pada malam itu tidak seperti perlawanan sebelumnya. Agaknya mungkin kerana gementar dapat bermain di peringkat akhir Piala Malaysia 2009.

Mengikut beberapa penganalisis bola dan ambo juga, bahagian pertahanan agak lemah. Dua gol dilepaskan kerana kesilapan pemain pertahanan. Selain itu, pertahanan Negeri Sembilan yang kuat tidak berjaya dibocori oleh penyerang Kelate yang diketuai oleh Indra Putra Mahyudin. Mungkin juga Negeri Sembilan bermain dalam keadaan tenang berbanding Kelate yang bermain dalam keadaan tertekan kerana sokongan penyokong yang lebih daripada 50,000 orang yang masing-masing inginkan Kelate menang dalam perlawanan itu.

Apa-pun, tahniah kepada pasukan Kelate kerana berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2009. Mungkin ini satu permulaan untuk kebangkitan pada masa akan datang. Cuma satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak iaitu tindakan penyokong fanatik yang bertindak terlalu ganas sehingga merosakkan harta benda awam (membakar kerusi stadium) dan lain-lain lagi. Perbuatan tidak bertamadun ini tak sepatutnya berlaku memandangkan Kelate dianggap sebagai negeri Serambi Mekah, tapi penyokong bola (segelintir) ibarat orang-orang jahiliah yang ada di Mekah ketika permulaan Islam dahulu. Tambahan pula, perbuatan ini dilakukan dihadapan orang kenamaan seperti Pemangku Raja Kelantan dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Mujurlah Tok Guru tiada kat stadium ketika itu.

Semoga semangat kesukanan akan mulai terpancar kepada setiap penyokong Kelate dalam apa jua perlawanan selepas mendapat teguran daripada Tok Guru. Jangan terus nak ber'gomo' walaupun kalah.

Ahad, 25 Oktober 2009

Lulusan politeknik ke universiti

Lulusan politeknik ke universiti


Oleh KHADIJAH IBRAHIM
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 24 Okt. - Lulusan politeknik berpeluang melanjutkan pengajian di empat buah universiti di bawah Program Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program MTUN dianggotai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Menurut beliau, empat universiti tersebut menawarkan slot pengajian sebanyak 20 peratus untuk lulusan politeknik.

"Di bawah program tersebut, proses pemindahan kredit lulusan politeknik akan dipermudahkan sekali gus membantu pelajar-pelajar berkenaan memilih kursus yang mereka inginkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Kecemerlangan Politeknik 2009 dan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Politeknik dengan institusi MTUN di Plaza Angsana di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Jabatan Politeknik akan bekerjasama dengan keempat-empat universiti berkenaan menerusi program tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Menurut beliau, kementeriannya juga akan menghantar kertas cadangan kepada Kabinet selewat-lewatnya dua minggu lagi bagi menaik taraf sistem pengajian politeknik.

"Antara yang terkandung dalam kertas cadangan itu termasuklah fokus dalam melahirkan lulusan yang menepati pasaran kerja semasa dalam pelbagai industri berdasarkan kelulusan masing-masing," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah memberi peruntukan sebanyak RM13 bilion bagi Bajet 2010.

Katanya, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membangunkan infrastruktur intelektual berbanding infrastruktur fizikal.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur intelektual lebih menjana kredibiliti pelajar yang lebih berkualiti sekali gus membantu meningkatkan sosioekonomi.

"Selain itu, keputusan kerajaan menukarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pemegang ijazah kelas pertama juga dilihat akan mendorong pelajar supaya cemerlang dalam pengajian," katanya.

Utusan Online

Sabtu, 24 Oktober 2009

Bajet 2010

Pihak kerajaan telah mengumumkan bajet untuk tahun 2010 semalam di parlimen. Pelbagai pihak memberi reaksi yang berbeza. Itu bajet untuk negara. Bagi ambo, bajet keluarga juga patut dibentang di ruang tamu setiap rumah agar perbelanjaan tahunan tidak akan tersasar daripada jumlah pendapatan tahunan.

Walaupun tiada analisis khas terhadap pembentangan bajet keluarga, namun sekurang-kurangnya ianya menjadi panduan bagi kita untuk merancang perbelanjaan agar setiap wang yang diperolehi hasil titik peluh benar-benar dimanfaatkan.

Sekian, mohon mencadang...

Isnin, 19 Oktober 2009

Rihlah: Pangkor


Kali terakhir ambo ke Pulau Pangkor ialah pada tahun 2004 iaitu ketika menghadiri satu kursus selama 3 minggu. Kali ini ambo sekali lagi menyahut ‘panggilan pulau’ bersama anak dan isteri sempena cuti panjang yang diambil oleh sekolah isteri ambo sekali dengan cuti Deepavali. Jika sebelum ini beberapa aktiviti melancong ambo termasuk dalam pakej sewaktu menghadiri urusan rasmi ataupun singgah sewaktu perjalanan balik kampung, kali ini memang merupakan aktiviti melancong secara keseluruhannya.

Justify Full
Berbekalkan petrol RON95 sebanyak RM40 untuk Myvi 1.3 (Auto), ambo sampai di Lumut setelah melalui perjalanan lebih 5 jam dari Melaka. Untuk ke sana, ambo ikut laluan Melaka-KL-Tanjung Malim-Bidor-Teluk Intan dan akhirnya tiba di Lumut. Sampai di Lumut, perkara pertama ambo cari ialah tempat untuk meletak kenderaan. Banyak pilihan untuk meletak kenderaan. Ada yang berbumbung dan ada yang tidak. Jika berbumbung harganya adalah RM10 untuk sehari (24 jam). Jika tidak berbumbung, ada yang RM7 dan ada juga yang RM10. Tapi jika ingin selesa dan selamat (dari hujan dan panas), baik letak kat tempat letak kereta berbumbung. Untuk ini, ambo perlu keluarkan RM20 untuk tempoh 48 jam (Mula jam 2.30 petang hari Jumaat hingga 2.30 petang hari Ahad - bayar semasa keluar).


Untuk ke Pulau Pangkor, ambo menggunakan perkhidmatan feri yang mengenakan tambang sebanyak RM10 untuk dewasa bagi perjalanan pergi dan balik. Untuk itu, ambo telah keluarkan sebanyak RM20 untuk 2 orang dewasa. Untuk kanak-kanak bawah 5 tahun, tambang feri adalah percuma. Perjalanan feri adalah lebih kurang setengah jam dari jeti Lumut ke jeti Pangkor. Bagi yang belum pernah sampai ke Pulau Pangkor, feri akan berhenti di perhentian pertama bagi menurunkan penumpang yang membawa motosikal atau penduduk tempatan, manakala perhentian kedua adalah untuk jeti menurunkan pelancong.

Apabila tiba di jeti, teksi (van berwarna pink) sedia menanti para pelancong. Cakap sahaja ke mana ingin kita pergi, maka pemandu akan membawanya. Ambo tidak pasti adakah tambang untuk setiap destinasi di pulau ini adalah sama. Untuk ke tempat penginapan ambo iaitu di Teluk Nipah, kira-kira 6km dari pekan Pulau Pangkor, tambang yang dikenakan ialah RM12 untuk sebuah teksi. Jadi kalau naik ramai, untunglah. Jika naik seorang, harga yang sama juga yang mesti dibayar.

Jika kita tidak tahu di manakah hotel atau chalet yang kita akan sewa, kita tidak perlu risau kerana pemandu teksi akan membawa kita ke hotel atau chalet yang kita telah tempah. Ambo sebenarnya tidak menempah terlebih dahulu chalet yang ingin ambo sewa. Ambo beranggapan bahawa chalet akan penuh hanya waktu cuti sekolah atau cuti umum yang jatuh pada hari Jumaat atau Isnin. Nasib baiklah anggapan ambo ini tepat. Chalet sekitar Teluk Nipah masih banyak yang kosong. Jadi ambo boleh memilih chalet yang dikehendaki mengikut kesesuaian dengan bajet.

Ada banyak juga chalet sekitar Teluk Nipah. Ada yang dekat dengan pantai dan ada juga yang jauh dari pantai. Chalet yang ambo sewa (Intan Chalet) berharga RM70 untuk satu malam. Harga biasa ialah RM50, tapi oleh kerana hujung minggu, harganya dinaikkan sedikit. Walau bagaimanapun, bilik yang berharga sedemikian tidak menyediakan penghawa dingin dan tv. Hanya kipas dan lagu dari telefon bimbit jika inginkan hiburan. Tapi saya tiada masalah walaupun berkipas. Bagi mereka yang tak tahan panas, baik cari bilik yang ada penghawa dingin. Jika anda inginkan bilik yang berhawa dingin dan ada tv, harganya ialah RM95 untuk hujung minggu. Hari biasa hanyalah RM75 sahaja. Namun harganya akan naik RM100 lebih pada cuti umum.

Kedai makan banyak terdapat di tepi jalan dan tidak jauh dari chalet. Begitu juga dengan kedai menjual cenderamata dan pakaian. Tentang harga makanan, harganya tidaklah terlalu murah ataupun terlalu mahal. Yang istimewa, kita boleh merasa makanan laut yang segar berbanding dengan ikan, sotong atau udang yang kita beli kat pasaraya. Berbaloi untuk harga yang dibayar.


Banyak aktiviti yang boleh dilakukan selain mandi di pantai. Antaranya menaiki bot untuk melihat beberapa kawasan menarik sekitar Teluk Nipah dan aktiviti snorkelling. Untuk menaiki bot, RM10 seorang dikenakan. Jika nak buat aktiviti snorkelling, kita perlu tambah RM5. Aktiviti snorkelling dilakukan di sebuah pulau kecil berkekatan Teluk Nipah. Tak ingat pulak nama pulau tersebut. Kalau tak bersnorkelling pun, kita boleh melihat ikan-ikan dari atas bot. Jika nak mandi kat pulau itu pun boleh. Cuma bagitau pemandu bot berapa jam kita nak mandi dan apabila cukup masanya, dia akan datang ambil.

Ambo turut menyewa sebuah motosikal untuk membawa anak isteri bersiar-siar mengelilingi pulau. Bagi yang mempunyai anak ramai, tidak disyorkan anda menyewa motor. Mungkin boleh sewa kereta (Harga sewa kereta ambo tidak ambil maklum). Harga sewa motor ialah RM30 untuk sehari. Untuk mengisi petrol RON95, ambo keluarkan sebanyak RM3 untuk mengelilingi hampir keseluruhan pulau. Itupun ada lebih sedikit lagi. Pelbagai tempat boleh dilawati seperti Teluk Dalam, kawasan sejarah Kota Belanda, membeli belah di pekan Pangkor, mandi di Pantai Bogak dan lain-lain.

Setelah berada di Pulau Pangkor selama 3 hari 2 malam, ambo kembali semula ke Lumut untuk mengambil kereta dan balik ke Melaka. Sekali lagi ambo membayar RM12 untuk tambang teksi dari Teluk Nipah ke jeti pekan Pangkor. Setiba di Lumut, ambo mengeluarkan sedikit wang untuk menjana ekonomi warga Lumut. Untuk aktiviti membeli belah, kita boleh belanja wang kita sama ada di Pangkor atau di Lumut kerana di kedua-dua tempat menyediakan tempat membeli belah yang pelbagai. Beberapa helai t-shirt ambo beli di Pangkor. Tapi beberapa bungkus makanan laut ambo beli di Lumut. Berkaitan harga, ambo tidak dapat nyatakan perbezaannya. Ada pelbagai pendapat, ada yang kata harga lebih murah di Lumut dan sebaliknya. Hal ini terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing dalam urusan tawar menawar.


Setelah membayar RM20 untuk bayaran meletak kenderaan, ambo sekali lagi mengisi petrol RON95 sebanyak RM40. Untuk laluan balik, ambo ikuti jalan yang lain pula. Ini kerana isteri ambo ingin singgah mengambil gambar tempat dia membesar dan bersekolah sehingga darjah 5 di Sg. Sumum, Perak. Laluan ambo untuk balik ke Melaka ialah melalui Teluk Intan-Sabak Bernam-Tg. Karang-KL dan akhirnya tiba di Melaka setelah melalui lebuh raya PLUS.

Rabu, 7 Oktober 2009

JPPKK dipisahkan

Selasa Oktober 6, 2009

Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti akan dipisahkan - Khaled

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memisahkan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam usaha penjenamaan semula dan mentransformasikan kedua-dua institusi berkenaan.

Cadangan tersebut diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan perasmian Dialog Industri Kebangsaan 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.

Menurut Khaled, kementeriannya akan membentangkan kertas Kabinet kepada jemaah menteri untuk maklum balas dan tindakan dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut.

“Salah satu langkah untuk maju kehadapan adalah dengan memisahkan pengurusan politeknik dan kolej komuniti kepada dua jabatan yang berbeza. Masing-masing akan dikenali sebagai Jabatan Politeknik dan Jabatan Kolej Komuniti.

“Struktur pentadbiran yang baru ini akan meningkatkan prestasi kedua-dua sektor terbabit,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Khaled yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu berkata, pemisahan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti tersebut mampu melahirkan modal insan dan meningkatkan ekonomi yang berasaskan kepada inovasi dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Sebagai latar belakang, JPPKK telah ditubuhkan pada 1 Januari 2005.

Jabatan ini bertanggungjawab ke atas 61 buah institusi yang terdiri daripada 24 buah politeknik dan 37 buah kolej komuniti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Jabatan ini terdiri daripada dua sektor utama dan tujuh Bahagian.

Sektor utama ini terdiri daripada Sektor Pengurusan Politeknik dan Sektor Pengurusan Kolej Komuniti serta Pusat Penyelidikan & Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti.

JPPKK diwujudkan untuk menjadi peneraju dalam pendidikan dan latihan di peringkat separa profesional yang berkualiti dan bertaraf dunia serta pemangkin pembelajaran sepanjang hayat yang berkesan bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan negara.

Jabatan ini juga komited untuk memartabatkan pendidikan dan latihan politeknik dan kolej komuniti bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan melalui:

i) pengurusan yang stategik

ii) kurikulum yang relevan dan dinamik

iii) program latihan dan kerjaya yang efektif iv) penjaminan kualiti yang berterusan

v) khidmat sokongan yang mantap

vi) berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu Khaled juga berkata, KPT akan mewujudkan ‘sistem rating’di semua politeknik di negara ini untuk melihat kekuatan dan peranannya dalam melaksanakan proses transformasi kepada institusi tersebut.

“Ia merupakan satu usaha untuk meningkatkan taraf politeknik supaya mereka turut terlibat dalam soal pembangunan dan penyelidikan (R&D),” katanya.

Jelas beliau, perkara ini bagi menunjukkan kepada pelajar bahawa politeknik adalah satu aliran dan pilihan yang kukuh serta mempunyai kekuatan yang tersendiri selain daripada bidang akademik.

“Kita boleh lihat, pelajar selepas mereka tamat pengajian diploma mereka perlu masuk ke universiti untuk menyambung pengajian.

“Sudah tiba masanya untuk kita memikirkan satu sistem yang lengkap dalam pendidikan politeknik kepada para pelajar,” jelas beliau.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kaedah yang sedang dirangka oleh kementeriannya.

Kata Khaled, beliau akan membentangkan perkara tersebut kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada semua pihak.

Pada ketika ini kira-kira 40 peratus daripada 85,000 pelajar sedang menuntut di politeknik di seluruh negara adalah di peringkat sijil.

“Dalam usaha transformasi politeknik kita akan cuba mengurangkan program pengajian di peringkat sijil supaya kita dapat meningkatkan tempat bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian di peringkat diploma dan diploma lanjutan.

“Kita merasakan sudah tiba masanya politeknik diangkat sebagai sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pengajian yang khusus dalam bidang kemahiran teknikal bagi memenuhi kehendak pasaran kerja. “Bagi pengajian berbentuk sijil dan kemahiran asas, saya lihat adalah lebih baik jika ianya diserahkan kepada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan Institut Kemahiran Mara (IKM),” katanya.

Mengenai penjenamaan semula Kolej Komuniti pula, Khaled berkata KPT akan memberi tumpuan kepada golongan belia yang tercicir daripada sistem pendidikan negara supaya mereka turut terlibat dalam industri kreatif.

“Dengan adanya pengurusan kolej komuniti yang kukuh kita dapat bangunkan potensi yang ada di kalangan anak-anak muda ini supaya mereka terlibat dalam bidang kreatif dan inovasi.

“Daripada mereka menjadi ‘Mat Rempit’, saya percaya ini merupakan satu peluang yang baik untuk mereka,” katanya.

Menurut beliau lagi, terdapat kira-kira 100,000 pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan negara pada setiap tahun.

“Dengan mereka mengikut kursus pendek selama dua atau tiga bulan mereka kemudiannya boleh membuka syarikat sendiri atau menyambung pengajian di peringkat diploma dan sebagainya...ini semua terpulang kepada mereka. Tapi kita (KPT) memberi peluang untuk mereka (golongan yang tercicir) ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah langkah penjenamaan semula dan transdformasi kedua-dua institusi tersebut akan merombak struktur sistem pendidikan sedia ada, Khaled berkata: “Ini satu perkembangan yang tidak dapat dielakkan. Bidang akademik perlu melihat ke hadapan dan kita perlu bersiap sedia untuk memenuhi kehendak pasaran kerja pada ketika ini.”

mStar Online

Ahad, 4 Oktober 2009

Hari Raya

Hari raya telah berlalu. Jika di tempat ambo iaitu Kelantan, sambutan Idul Fitri hanyalah sekitar empat atau lima hari sahaja. Selepas itu sudah tiada aktiviti berkaitan hari raya. Masing-masing kembali kepada aktiviti seperti sebelum Ramadan. Namun apabila balik ke tempat ambo mencari rezeki, sambutan raya sedikit berbeza. Kebanyakan masyarakat di sini menyambutnya sehingga sebulan. Malah pada 30 Syawal masih ada yang buat sambutan raya, katanya penutup raya.

Kunjungan jiran ke rumah dan kunjungan balas balik menjadi acara tetap setiap tahun. Hari minggu penuh dengan aktiviti rumah terbuka. Mungkin ini adalah adat masyarakat di sini apabila tibanya Syawal. Agaknya kalau tiada Syawal, tiadalah kunjungan dari rumah ke rumah mahupun rumah terbuka. Walhal dalam Islam tidak dihadkan untuk menziarahi saudara mara atau jiran dan sahabat hanya pada bulan Syawal sahaja.

Apa-apapun, semoga kita terhindar daripada menjadikan amalan ini sebagai adat semata-mata. Berkunjunglah ke rumah jiran dan sahabat sebagai niat untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam dan buatlah aktiviti rumah terbuka sebagai sebahagian cara untuk bersedekah serta mengenyangkan mereka yang lapar. Semoga amalan kita diterima sebagai ibadat baik dalam bulan Ramadan, Syawal atau bulan-bulan Islam yang lain.

Khamis, 17 September 2009

Ramadan Tahun Ini


Ramadan tinggal beberapa hari sahaja lagi. Ini bermakna, waktu-waktu untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Ramadan tahun ini sudah semakin menuju tempoh akhir. Jika kerja-kerja pejabat kita berkejaran kerana takut tibanya tempoh akhir, adakah Ramadan juga begitu? Atau sudah tidak sabar nak balik kampung untuk beraya? Atau memang kita adalah antara golongan yang sentiasa mengejar setiap kelebihan ketika berada dalam bulan yang mulia ini?

Sama-samalah kita mengukur prestasi Ramadan tahun ini agar segala pencapaian yang kurang memuaskan akan dapat diperbaiki jika diberi peluang sekali lagi untuk bertemu Ramadan pada tahun akan datang.

Peringatan ini dibawakan khas oleh ambo dan ditujukan untuk diri ambo dan mereka yang sewaktu dengannya.


Rabu, 9 September 2009

Mini Seminar Penyelidikan Politeknik & Kolej Komuniti Zon 5

Ambo hanya dapat tahu tentang mini seminar ini beberapa hari lalu melalui rakan-rakan sewaktu berjumpa dengan mereka ketika solat tarawih. Jadi peluang yang ada ini ambo menghadirkan diri ke mini seminar tersebut yang diadakan di Politeknik Merlimau bermula hari ini dan berakhir esok. Walaupun ianya hanyalah seminar yang hanya melibatkan zon Selatan sahaja, lebih baik ada dari tiada.

Usaha ini adalah sebagai perintis untuk mewujudkan budaya penyelidikan di kalangan warga politeknik dan kolej komuniti yang agak ketinggalan dalam pembangunan penyelidikan berbanding warga IPTA dan Institusi Perguruan. Walaupun telah ada beberapa siri seminar sebelum ini di peringkat politeknik, namun ia banyak melibatkan penyertaan para penyelidik dari IPTA. Tidak ramai warga politeknik dan kolej komuniti yang terlibat. Mungkin ianya disebabkan oleh kekurangan pendedahan di peringkat politeknik atau kolej komuniti itu sendiri.

Semoga usaha ini dapat diteruskan dengan lebih kerap agar program ini dapat membina keyakinan warga politeknik dan kolej komuniti sebelum mereka melibatkan diri untuk program yang lebih besar atau di peringkat antarabangsa.


Sabtu, 5 September 2009

Pindah Turun

Setelah beberapa hari mencuba, baru hari ini ambo dapat memindah turun program SPSS versi 17 yang bersaiz 800MB dari 4shared.com. Keadaan talian yang selalu putus-putus melambatkan proses pindah turun. Nak beli yang original, tak cukup modal, jadi alternatif yang ada adalah bertanya khabar kat Pakcik Google.

Sebelum ini ambo telah guna program SPSS versi 15 yang berlesen. Itu pun ihsan dari jabatan tempat ambo bekerja. Namun setelah setahun berlalu, lesennya tidak diperbaharui, maka tidak dapatlah lagi ambo meneruskan aktiviti bersamanya. Jadi ambo guna pula versi yang sama dengan mencari lesen yang disediakan oleh para ‘lanun’, sekali lagi dengan bantuan Pakcik Google.

Kesetiaan ambo bersama SPSS 15 tidak lama, ambo mencuba pula SPSS versi 16. Versi ini boleh guna untuk tempoh yang pendek sahaja memandangkan lesen yang diambil dengan para ‘lanun’ tidak begitu berkesan. Lalu ambo mencari pula SPSS versi 17. Ada dua jenis SPSS bagi versi ini. Jenis pertama yang sudah di ‘crack’ oleh para lanun yang bersaiz 350MB, hanya perlu pasang sahaja tanpa perlu memasukkan apa-apa nombor siri dan jenis satu lagi ialah selepas dipasang baru boleh melesenkannya dengan lesen ‘lanun’. Setelah memasang dengan jenis yang pertama, ambo dapati bentuk yang pertama tidak begitu sesuai terutama apabila ingin membuka fail versi yang lama. Lalu ambo mencari bentuk yang kedua dan hasilnya agak memuaskan.

Harapannya agar versi ini boleh digunakan dalam tempoh yang lama tanpa sebarang masalah. Jika ada yang bertanya apa hukum menggunakan versi ‘lanun’ ini, ambo tak dapat nak jawab. Kena tanya mufti. Ambo bukannya nak buat urusniaga, cuma nak analisis beberapa data sahaja. Adakah ambo perlu meminta izin daripada pihak terbabit bagi mendapatkan analisis yang ‘halal’. Namun timbul satu lagi persoalan, adakah mereka akan mengizinkannya tanpa sebarang bayaran? Hmm...

Jumaat, 21 Ogos 2009

Politeknik dinaik taraf pusat pengajian terpilih


PULAU PINANG 20 Ogos - Beberapa politeknik bakal dinaik taraf menjadi pusat pengajian terpilih dalam bidang teknikal selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kualiti institusi pendidikan di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, politeknik berkenaan akan menawarkan program peringkat diploma dan pelajar yang dipilih pula perlu melalui syarat kemasukan yang lebih ketat.

Langkah itu, katanya, bagi memperbetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan politeknik adalah pilihan kedua selepas gagal memasuki universiti.

''Sekolah menengah ada menawarkan jurusan teknikal dan kita mahu pelajar terlibat menyambung pelajaran di politeknik juga, tidak hanya tertumpu pada universiti.

''Kita ada 27 politeknik di seluruh negara. Sudah sampai masanya kita ambil beberapa politeknik menjadi politeknik terpilih yang pelajarnya adalah 100 peratus pelajar terbaik dalam bidang teknikal,'' ujarnya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan empat perjanjian kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan empat syarikat dalam mengkomersialkan produk penyelidikan universiti itu di sini hari ini.

Kerjasama dengan syarikat Cool Returns Sdn. Bhd untuk mengkomersialkan Komuniti Bestari Digital Sistem Radio Frequency Identification (RFID) manakala Bioterials Ventures Sdn. Bhd. pula bagi mengkomersialkan tepung pisang sebagai bahan inovatif dalam pengeluaran makanan.

Perjanjian dengan Scientige Sdn. Bhd. pula untuk mengkomersialkan Tatania Nanotube Array iaitu produk mengatasi masalah pencemaran manakala dengan Myaerospace. Com. Sdn. Bhd. dalam bidang pembangunan teknologi.

Menurut Mohamed Khaled, golongan profesional dalam bidang teknikal amat diperlukan negara dan dengan adanya politeknik terpilih, ia diyakini mampu memberi impak yang baik.

''Sebelum ini ada sedikit kecelaruan mengenai cadangan ini yang mengandaikan ia akan dilaksanakan seperti kita memberi USM taraf Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex). Kedua-duanya sebenarnya tidak sama dan berbeza," katanya.

Utusan Online


Isnin, 17 Ogos 2009

Kementerian Pengajian Tinggi Pilih Politeknik Bagi Program Apex

17 Ogos, 2009 19:36 PM

Kementerian Pengajian Tinggi Pilih Politeknik Bagi Program Apex

IPOH, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi akan memilih tiga atau empat politeknik daripada 27 politeknik sedia ada di negara ini untuk dijadikan Politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) yang dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata satu daripada Politeknik Apex itu kemudiannya akan dicadangkan dinaiktaraf kepada universiti yang berasaskan kemahiran pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Politeknik Apex akan lebih memberi tumpuan dan pengkhususan kepada bidang teknologi strategik, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sudah tentu menerima lebih banyak peruntukan (berbanding politeknik lain).

"Syarat kemasukan pelajar ke politeknik berkenaan juga menjadi lebih ketat berbanding politeknik biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan 40 Tahun Kecemerlangan Politeknik di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini Isnin.

Pada majlis itu Pengarah PUO pertama, Tan Sri Dr Othman Merican, 79, yang kini menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat PUO dipilih sebagai penerima pertama anugerah Tokoh Pengarah Politeknik.

Saifuddin berkata sejak politeknik pertama iaitu PUO ditubuhkan di negara ini pada 1969, negara kini mempunyai 27 politeknik di setiap negeri dengan membabitkan enam bidang pengajian serta 49 jenis kursus atau program dan telah melahirkan 274,462 graduan separa profesional yang mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor industri.

Katanya kementerian itu kini berusaha untuk mengubah tanggapan orang ramai terhadap politeknik yang melabel institusi itu sebagai pilihan kedua selepas institusi pengajian tinggi (IPT) lain dalam menawarkan pengajian akademik.

"Hakikatnya masalah pengangguran di kalangan graduan politeknik sebenaranya lebih rendah berbanding graduan IPT awam," katanya.

Beliau berkata Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti kini berusaha untuk menganggotai majlis akreditasi 'Dublin Accord' iaitu perjanjian pengiktirafan antarabangsa terhadap kelayakan juruteknik dalam bidang kejuruteraan untuk dijadikan penanda aras serta menaiktaraf kedudukan politeknik di negara ini di peringkat antarabangsa.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kementerian turut bercadang membenarkan pilihan raya kampus di semua politeknik diadakan berbanding hanya beberapa politeknik yang dibenarkan berbuat demikian ketika ini, supaya ia dapat membuka peluang bagi semua untuk terbabit secara langsung dalam proses pilihan raya kampus.

-- BERNAMA

Takziah

Dua minggu lepas ambo menemuinya untuk meminta semakan bagi cadangan penyelidikan yang telah ambo siapkan. Beliau memaklumkan agar dilakukan beberapa pembetulan dalam cadangan tersebut. Beliau juga memberitahu ambo agar meneruskan penulisan untuk bab seterusnya dan datang menemuinya dalam tempoh sebulan lagi.

Nampaknya hajat ambo untuk menyiapkan penulisan disertasi bersama Allahyarham Prof. Dr Abdul Halim Mat Diah tidak kesampaian kerana ambo diberitahu oleh beberapa rakan melalui sms bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat keredaan Allah di alam barzakh nanti.

Konvo UKM

Cerita tentang konvokesyen masih belum tamat lagi. Kali ini ambo ke UKM bersama keluarga sebelah mertua bagi meraikan majlis konvokesyen adik kepada isteri ambo yang telah menamatkan pengajiannya dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.

Tiada apa-apa yang ingin dikongsi mengenai kisah graduan kali ini. Cukuplah sekadar memuat naik beberapa gambar yang diambil sewaktu ambo, sanak saudara dan orang yang diraikan berada di sana.



Ahad, 16 Ogos 2009

Seminar Isu Dunia Islam Semasa

Bertempat di ILSAS, Uniten telah diadakan Seminar Dunia Islam Kontemporari : Cabaran dan Halatuju pada 15-16 Ogos 2009. Ambo hanya sempat menghadiri seminar ini satu hari sahaja memandangkan pada kedua iaitu hari ini ambo telah ke UKM bagi meraikan majlis konvokesyen adik ipar ambo yang menerima ijazah sarjana mudanya.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B.’ Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Haji Jamil Khair bin Haji Baharom. Pengisian seminar menjurus kepada keadaan dunia Islam semasa yang merangkumi pelbagai topik perbicangan sama ada keadaan umat Islam dalam negara mahupun pun luar negara. Para pembentang kertas kerja juga terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuan yang terkenal dan berpengalaman dalam pertubuhan NGO dan dunia akademik.

Program anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ini dihadiri oleh para hadirin seluruh negara. Pada malamnya turut diadakan mesyuarat perwakilan tahunan PUM kali ke 30. Walau bagaimanapun, ambo tak hadiri mesyuarat perwakilan tersebut kerana masih belum menjadi ahli PUM.

Kepada yang berminat tentang program anjuran PUM, boleh lawati blog PUM di http://ulamadaily.blogspot.com untuk program terkini.

Khamis, 13 Ogos 2009

Rihlah: Tanjung Malim II


Bertemu lagi dalam siri rihlah ambo yang kesekian kalinya. Kali ini sekali lagi ambo ke Tanjung Malim. Pengembaraan kali ini adalah bagi meraikan majlis konvokesyen adik ambo yang telah tamat pengajian Mei lalu. Terharu juga melihat adik ambo yang akhirnya berjaya mendapatkan segulung ijazah walaupun sepanjang pengajian empat tahun di sini, pelbagai cabaran dihadapi memandangkan kesihatannya yang sering terganggu. Kesakitan yang dia alami sejak dari sekolah rendah hingga kini masih ditanggungnya walaupun sudah berbotol-botol ubat diambil dari hospital dan berpuluh-puluh bomoh ditemui. Tidak diketahui apakah hikmah disebalik penyakitnya itu memandangkan pelbagai usaha dilakukan namun Allah masih tidak mengizinkan ianya sembuh. Semoga dia terus bersabar atas ujian yang diberikan Allah.

Bercerita sedikit mengenai kisah penyakitnya, pelbagai ujian dan eksperimen dilakukan sehingga ada seorang doktor mencadangkan diambil air tulang belakang untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihadapinya, namun keluarga tidak bersetuju memandangkan pendapat beberapa individu yang mengatakan perkara tersebut agak membahayakan. Bermalam di hospital sudah menjadi perkara biasa. Ibu ambolah menjadi teman setianya setiap kali ditahan di wad.

Hampir seluruh Kelantan menjelajah apabila ada individu yang mengesyorkan untuk berjumpa bomoh yang dikatakan boleh menyembuh penyakit yang seakan-akannya. Pernah suatu hari arwah ayah ambo membawanya bertemu seorang bomoh yang hanya boleh berurusan pada waktu malam kerana menjelang fajar, ia akan ke suatu tempat dan ghaib, namun tiada apa-apa perubahan berlaku. Ada seorang bomoh lagi yang hanya boleh ditemui pada hari-hari tertentu kerana hari lain pergi bertapa di kaki bukit. Pelbagai jenis akar kayu, air tawar, minyak urut, makanan tambahan (MLM), bekam dan lain-lain dicuba, namun setakat ini masih belum menampakkan kesan.

Dia mengambil peperiksaan STPM secara persendirian di sekolah swasta kerana tidak layak memasuki sekolah kerajaan memandangkan keputusan peperiksaan SPM yang dimilikinya hanyalah sekadar cukup syarat untuk mendapatkan sijil sahaja. Berbekalkan keputusan SPTM yang sederhana, dia berjaya mendapat tawaran Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) secara rayuan setelah gagal dalam kemasukan melalui panggilan pertama. Seminggu selepas menghantar seorang lagi adik ambo yang juga mendapat tawaran di UPSI (akan konvo bulan 3 tahun depan kerana tangguh pengajian), sekali lagi ambo ke UPSI bagi menguruskan pendaftarannya di sana.

Ketika sesi pengajian, dia hampir-hampir tidak dapat menghadiri peperiksaan kerana demam yang agak kuat dan pernah bercadang untuk menangguh pengajian, namun atas dorongan dan semangat yang diberikan keluarga, semuanya itu berjaya dihadapi. Dia pernah ditahan di wad Hospital Slim River kerana kesakitannya yang dihadapi menyebabkan dia mengalami demam yang agak kuat sehingga memaksa ibu ambo ke sana menemaninya.

Inilah sedikit kisah keluarga ambo yang tak pernah ambo kongsi dengan orang lain. Cerita ini hanyalah sebagai selingan dalam blog ini selain untuk memberikan semangat kepada sesiapa jua yang menghadapi hidup yang penuh dugaan dan lebih hebat dari dugaan yang dihadapi adik ambo.

Ahad, 9 Ogos 2009

JPPKK jadi JPP?

08 Ogos, 2009 16:24 PM

Kolej Komuniti Mungkin Diasing Dari Jabatan Politeknik - Khaled Nordin

JOHOR BAHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk mengasingkan Kolej Komuniti daripada kelolaan Jabatan Politeknik bagi membolehkan kolej terseut yang semakin penting peranannya dapat bergerak secara bebas dan boleh mengadakan pelbagai program yang membangunkan masyarakat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia termasuk untuk membolehkan kolej berkenaan mengadakan program jangka pendek selama tiga bulan kepada belia untuk memasuki pasaran kerja.

"Kebanyakan program adalah jangka panjang iaitu memakan masa selama dua tahun, sedangkan sekurang-kurangnya 100,000 golongan belia didapati tercicir daripada sistem pendidikan kebangsaan dan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Pasir Gudang, di sini pada hari Sabtu.

Lebih 300 peserta jangka pendek seperti kursus pembuatan roti canai, cendol dan dandanan rambut menerima sijil pada majlis tersebut.

Mohamed Khaled juga berkata 10 lagi cawangan Kolej Komuniti akan dibuka di seluruh negara tahun ini, tambahan kepada 58 buah yang sedia ada.

-- BERNAMA

Rabu, 22 Julai 2009

Politeknik bertaraf Apex menjelang 2020

IPOH 21 Julai - Kerajaan merancang untuk melahirkan sekurang-kurangnya sebuah politeknik bertaraf Apex (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan) menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Politeknik, Mohlis Jaafar berkata, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini yang bakal memperkenalkan kursus ijazah pertama dua tahun lagi dijangka menjadi politeknik terawal mencapai status Apex.

Katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan di Kementerian Pengajian Tinggi dan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

''Kita memang mempunyai hasrat ini selepas sistem Apex ini diperkenalkan di kalangan universiti tempatan dan bagi mencapai matlamat itu, usaha berterusan dibuat bagi menambah baik kualiti akademik, kokurikulum, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta tenaga pengajar di politeknik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis sambutan ulang tahun ke-40 PUO di sini hari ini.

Menurut Mohlis, pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai dengan adanya sokongan kerajaan serta sistem pengurusan dan pendidikan yang berkualiti di politeknik.

''Politeknik memainkan peranan penting melahirkan modal insan kepada negara dan sejak tempoh 40 tahun lalu, ia berjaya mengeluarkan lebih 290,000 graduan berkualiti dalam bidang profesional dan bukan profesional,'' katanya.

Politeknik tertua negara yang ditubuhkan pada 1969 itu mengadakan pelbagai program menarik selama sebulan mulai hari ini hingga 20 Ogos ini bagi meraikan ulang tahunnya.

Antara program yang disediakan ialah sukaneka, pameran lukisan dan foto nostalgia, ceramah perdana, malam kebudayaan, seminar kerjaya dan pertandingan melukis dan deklamasi sajak.

Sumber: Utusan Online

Isnin, 29 Jun 2009

Rihlah: Tanjung Malim


Semalam ambo ke Tanjung Malim, memberi sokongan moral kepada salah seorang adik ambo yang mendaftar pengajian di UPSI. UPSI adalah singkatan bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris, namun ada sesetengah pelajarnya mengubah singkatan UPSI kepada Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam. Alangkah indahnya jika maksud kedua bagi singkatan UPSI menjadi kenyataan.

Rihlah ambo kali ini adalah kali ketiga setelah empat tahun yang lepas ambo telah ke sini dengan tujuan yang sama iaitu menghantar dua orang adik ambo yang melanjutkan pengajian mereka di universiti pertarbiyahan ini. Sekarang, seorang sedang menunggu penempatan dan seorang lagi masih membuat latihan mengajar.

Urusan pendaftaran secara keseluruhannya berjalan lancar. Namun rasa sedikit kecewa dengan pihak pengurusan apabila tempat pendaftaran yang pada asalnya seperti dinyatakan dalam surat tawaran ialah di Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR) ditukarkan ke Kolej Kediaman Za’ba (KZ). Jika jaraknya dekat, rasa kecewa itu mungkin tidak timbul, tapi jarak antara KHAR dengan KZ lebih kurang 6 atau 7 km, jadi ia agak menyusahkan ambo dan keluarga. Nasib baiklah menggunakan kenderaan sendiri, kesusahannya tidaklah terasa sangat. Bayangkan kalau pelajar yang datang dengan kenderaan awam, mungkin lagi menyusahkan.

Sepatutnya pihak berkenaan memaklumkan pertukaran urusan pendaftaran lebih awal, bukannya sekadar menampal nama untuk disemak setelah tiba di sana. Rasanya tidaklah melibatkan kos yang tinggi kalau nak maklumkan tentang pertukaran tersebut. Dikhabarkan lebih kurang 300 orang pelajar baru yang terlibat dalam pertukaran tersebut. Kalau satu sms berharga 15 sen, baru RM45 UPSI perlu keluarkan belanja. Nampaknya pihak berkenaan terlalu berjimat cermat dalam semua urusan sehinggakan surat tawaran pun perlu dicetak sendiri melalui sistem atas talian selain borang-borang berkaitan seperti borang pemeriksaan kesihatan, borang panduan dan lain-lain.

Sepatutnya perkara begini tidak timbul selepas USM 'buat hal' tempoh hari. Nasib baik keluarga ambo belum buat kenduri selepas mengetahui keputusan adik ambo yang diterima memasuki USM sebelum dimaklumkan tentang kesilapan teknikal yang berlaku. Sepatutnya UPSI belajar dari kesilapan USM tersebut. Namun, apa2pun tahniah kepada para petugas dan semua pegawai UPSI kerana telah bertungkus lumus memastikan sesi pendaftaran ini tidak mempunyai kesilapan yang boleh dianggap 'major'. Semoga masalah 'minor' ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, ketika di UPSI ambo bertemu beberapa rakan lama yang turut menghantar sanak saudara masing-masing. Antaranya En. Hanafi yang kini bertugas di PERKESO dan Ustaz Nazri yang bertugas sebagai guru di Kepong. Sebelum itu, ambo turut berkunjung ke rumah seorang kenalan isteri di Taman Segar, Tanjung Malim yang kini bertugas sebagai Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UPSI iaitu Cik Naziroh Romli.

Buat adik ambo, selamat menempuh alam kampus. Semoga mendapat kejayaan cemerlang.

Rabu, 24 Jun 2009

Dedikasi II

Natijah untuk semester kedua baru saja di umumkan. Alhamdulillah, nampaknya semua dalam keadaan baik-baik belaka. Terima kasih buat para guru yang telah sudi mencurahkan ilmu mereka. Tiada apa yang dapat ambo balas selain menyebarkan kembali mutiara-mutiara ilmu tersebut untuk dijadikan amal jariah buat mereka dan buat ambo juga.

Dedikasi buat:

Prof. Dr. Abdul Halim Bin Hj. Mat Diah
Prof. Madya Dr. Ali Bin Mohammad
Dr. Mohd Roslan Bin Mohd Nor
Ustazah Norhayati Binti Hj. Hamzah

Ahad, 21 Jun 2009

Kursus Ijazah di Politeknik?

Berita 1:

Kajian Naik Taraf Politeknik Untuk Tawar Kursus Ijazah - Khaled

JOHOR BAHARU, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi telah mengarahkan Jabatan Pengajian Politeknik menjalankan kajian bagi tujuan menaik taraf kedudukan politeknik bagi membolehkan institusi itu menawarkan kursus peringkat ijazah.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha menaik taraf institusi itu dibuat berikutan institusi itu menjadi pilihan pelajar lelaki yang meminati jurusan kemahiran.

Kerajaan akan terus berusaha untuk menyediakan peluang untuk belajar di politeknik termasuk menaik taraf institusi itu bagi membolehkannya menawarkan kursus peringkat ijazah, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah kecemerlangan PMR, SPM dan STPM 2008 bagi kawasan Parlimen Pasir Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya di sini hari ini.

"Pada masa ini politeknik hanya menawarkan jurusan peringkat diploma sahaja dan apabila dilaksanakan kelak, tiga ke empat politeknik akan dipilih untuk menawarkan jurusan-jurusan peringkat ijazah," kata Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang.

Beliau berkata politeknik menerima 120,000 permohonan sedangkan jumlah tempat yang ditawarkan kepada pelajar hanya 20,000.

Katanya lulusan politeknik juga menjadi pilihan pihak industri kerana mereka memiliki kemahiran yang diperlukan.

Sumber: Bernama.com

-----------------------

Berita 2:

Politeknik tawar kursus ijazah dikaji

JOHOR BAHRU 20 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi sedang melakukan kajian terhadap politeknik di seluruh negara dalam usaha menaik taraf kedudukan institusi itu termasuk menawarkan kursus peringkat ijazah pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu dilihat mampu mengikis tanggapan bahawa politeknik tidak setaraf dengan universiti hingga menjadikan institusi tersebut sebagai pilihan kedua di kalangan lepasan pelajar sekolah.

Katanya, politeknik perlu memiliki kekuatannya sendiri dan kedudukan institusi itu mesti selari dengan universiti dan bukannya di bawah standard universiti.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Pengajian Politeknik untuk mengkaji bagaimana hendak menentukan institusi yang semakin menjadi tumpuan ini terutamanya di kalangan pelajar lelaki dapat ditingkatkan kedudukannya sebagai pilihan yang selari dengan universiti.

“Sekarang ini orang melihat politeknik sebagai kelas dua. Kita tidak mahu ada tanggapan begitu kerana apabila saya sebagai seorang pelajar sekolah, saya melihat kalau tidak dapat masuk universiti, saya hendak masuk politeknik,’’ ujarnya.

Sumber: Utusan Online

[Komen ambo: Satu cadangan yang baik, namun politeknik harus kekal dalam menyediakan pendidikan dalam bentuk yang asal iaitu pengajian peringkat sijil, diploma, diploma lanjutan dan seterusnya ijazah. Andai ianya hanya menumpukan kepada peringkat ijazah semata-mata, dikhuatiri hal ini akan meminggirkan pelajar-pelajar yang kurang berkelayakan untuk terus ke peringkat ijazah terutama mereka yang berada di kelas pertengahan dan tercorot semasa di sekolah menengah. Tidak mengapa politeknik dianggap kelas kedua dan tidak setanding universiti, tetapi berjaya menjadikan pelajar-pelajar yang dapat 5B,3C,2D atau 1B,7C,3D semasa SPM setanding dengan pelajar yang dapat 10A atau 20A. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang doktor atau arkitek, sekurang-kurangnya mereka berjaya menjalankan tugas sebagai seorang juruteknik yang mungkin tidak boleh dibuat oleh seorang doktor.]

Isnin, 8 Jun 2009

Rihlah: Patani


Jaraknya tidaklah jauh sangat. Namun disebabkan beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum melangkah keluar seperti menyediakan pas sempadan, mendapatkan kebenaran membawa kenderaan sendiri, membeli insuran dan sebagainya, yang senang jadi sedikit susah. Inilah antara kesan daripada kedatangan penjajah suatu ketika dahulu. Hasilnya mereka berjaya membuat garisan sempadan antara negara. Itu tidaklah dirasakan sangat. Yang paling terasa apabila sistem khalifah terus runtuh sehingga ke hari ini dan dunia Islam terus tertindas. Begitu juga dengan Selatan Thai yang majoritinya adalah umat Islam, terus bergolak sehingga sekarang ibarat Palestin dengan Israel.


Walau apapun, ikatan silaturrahim masih terus subur tanpa mengira pemisah sempadan negara, isu pejuang puak pemisah dan lain-lain. Semoga saudara mara seagama kita di sana terus tabah menghadapi perjuangan yang sekejap bagi menghadapi alam kekal 'di dunia' satu lagi.

Selasa, 2 Jun 2009

Cuti


Apabila tiba waktu cuti, yang tinggal jauh dengan kampung halaman akan balik menjenguk sanak saudara dan sahabat handai. Tidak ketinggalan ambo sekeluarga. Namun setiap kali balik kampung, jalan yang sesak sudah menjadi perkara biasa. Ini baru waktu cuti sekolah, belum lagi cuti hari raya. Mungkin sudah tiba masanya dibina jalan bertingkat terutama di Kota Bharu, Pasir Mas dan beberapa tempat lagi agar perjalanan menjadi lebih selesa. Lebih elok juga jika dibina jalan yang dapat memendekkan jarak antara Kuala Lumpur ke Kelantan dari 7 jam kepada 4 atau 5 jam. Tapi siapa yang nak buat semua tu...?

Sabtu, 16 Mei 2009

Guru pembina negara bangsa


16 Mei setiap tahun merupakan sambutan hari guru di negara ini. Ia disambut meriah di hampir semua institusi pengajian terutama di sekolah-sekolah yang menjalankan proses pendidikan secara formal seperti di sekolah kebangsaan atau sekolah menengah. Namun suasana sambutan hari guru agak suram terutama di institusi pengajian tinggi, kolej/politeknik, pondok, sekolah tahfiz al-Quran dan seumpamanya.

Jika dilihat kepada maksud perkataan guru dalam mana-mana kamus, ia membawa erti orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Jadi bolehlah disimpulkan bahawa makna guru ini amat luas. Ia tidak tertakluk kepada guru yang mengajar di sekolah sahaja. Tapi oleh kerana semua daripada kita mengalami proses pendidikan melalui alam persekolahan, jadi hari guru lebih banyak diraikan di sekolah berbanding institusi-institusi lain.

Walau apa-apa pun, semoga semua guru terus berbakti dengan ikhlas dalam usaha melahirkan anak didik yang seimbang amalan di dunia dan akhirat sebagai acuan dalam membina negara bangsa disamping berpeluang mendapat amal jariah apabila roh sudah berpindah alam.

Ahad, 3 Mei 2009

Tambak



Kawasan dalam gambar ini dahulunya adalah sebahagian daripada laut, tapi hari ini sudah berubah menjadi daratan. Ia juga turut mengubah keadaan peta dan keluasan negeri Melaka. Barangkali dahulunya ia merupakan tempat Hang Tuah dan kawan-kawannya bermain bola sepak pantai sambil mandi manda.

Bagi yang pernah sampai ke Melaka, pasti akan mendengar dan melawat Pulau Melaka dan Masjid Selat yang merupakan salah satu pulau buatan hasil kerja-kerja penambakan laut di negeri ini. Mahkota Parade di Melaka Raya juga adalah dibina di atas kawasan yang telah ditambak. Ambo tak nak ulas apa-apa mengenai isu penambakan laut ini. Kalau nak baca lebih lanjut, boleh cari kat 'google' tentang komen yang pelbagai tentang isu penambakan laut di Melaka.

Cuma ambo sekadar ingin berimaginasi, jika Sultan Iskandar Shah (Parameswara), Tun Perak, Hang Tuah dan lain-lain masih hidup, pasti mereka terkejut melihat perubahan yang telah berlaku di negeri Melaka ini. Tak tahulah sama ada mereka menyokong atau membantah usaha-usaha ini. Andaian ambo, Hang Tuah pasti menyokongnya, manakala Hang Jebat pula sudah tentu membangkang.

Sabtu, 2 Mei 2009

Pantai Kuala Linggi


Ramai yang mengambil peluang sempena cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu untuk berehat di tepi pantai atau hutan lipur. Salah satu tempat yang menjadi tumpuan ialah Pantai Kuala Linggi. Ia terletak di Daerah Alor Gajah. Manakala jaraknya dari Bandar Melaka pula ialah kira-kira 45 km. Pantai ini juga berada tidak jauh dari Akademi Laut Malaysia (ALAM) iaitu sebuah akademi yang melatih para pelatih yang akan berkecimpung dalam dunia maritim.

Pantai Kuala Linggi tidaklah begitu dikenali berbanding Pantai Klebang, Pantai Puteri, Pantai Tanjung Bidara, Pantai Pengkalan Balak (pernah heboh dengan isu kepala **** satu ketika dahulu) atau lain-lain. Namun sebagai alternatif, tempat ini boleh dikunjungi oleh mereka yang tidak suka dengan suasana pengunjung yang terlalu ramai atau berada terlalu hampir dengan jalan raya. Ini kerana, pengunjungnya tidaklah seperti pantai-pantai popular dan kedudukannya pula agak jauh dari jalan utama. Dari jalan utama, pengunjung perlu memasuki jalan kecil kira-kira 1 km jaraknya dari jalan utama tersebut.

Namun, tidak dapat dipastikan adakah suasana ini akan kekal begitu memandangkan Kerajaan Negeri telah memulakan usaha untuk mempromosikan tempat ini sebagai salah satu destinasi pelancongan baru di Melaka. Yang terbaru ialah pembinaan kompleks ikan bakar terapung yang dirasmikan pada bulan April yang lalu dan perancangan untuk membina chalet di kawasan tersebut. Setakat ini, hanya ada beberapa buah chalet yang dibina secara persendirian oleh orang-orang kampung di sebelah rumah mereka yang berdekatan dengan pantai.

Di Pantai Kuala Linggi, pengunjung boleh mandi manda atau berehat sambil berzikir merenung kebesaran Ilahi di atas tikar yang perlu dibawa sendiri. Kebanyakan pengunjung ke pantai ini adalah beragama Islam, jadi tidak perlu runsing tentang terserempak dengan ’buaya putih’ yang bergelimpangan di tepi-tepi pantai. Cuma kadang-kadang ada beberapa orang anak muda yang barangkali bosan merempit di jalan raya datang merempit di tepi pantai. Namun, perkara ini tidak menghalang untuk pengunjung meneruskan aktiviti masing-masing bersama keluarga dan rakan-rakan.

Selasa, 21 April 2009

Warisan


Sewaktu ambo kecil-kecil dahulu, ambo pernah mengalami pendarahan di hidung terutama apabila ambo bermain tak ingat dunia dalam keadaan cuaca panas terik. Lalu emak ambo menggunakan daun sirih dan meletakkannya dihidung bagi menghentikan pendarahan. Perkara yang sama turut berlaku pada anak ambo. Sebelum ini pernah berlaku, cuma sekejap sahaja dan ia tidak berlarutan lama. Tapi kali ini ia berlaku dua kali dalam satu hari, maka disebabkan tiada daun sirih kat rumah, maka bergegaslah ambo dan isteri menuju ke klinik berdekatan nak mencari daun sirih (rawatan la...). Alhamdulillah, setelah diperiksa, tiada simpton yang agak bahaya dari kejadian itu. Cuma ambo masih ragu-ragu sama ada ia berpunca dari ambo yang pernah mengalaminya (warisan) atau ada sebab lain. Semoga dijauhkanlah segala perkara bahaya yang memudaratkan.

Ahad, 19 April 2009

Jom beli buku


Alhamdulillah, setelah dua jam memandu dari Melaka, ambo sekeluarga selamat sampai sekali lagi ke tapak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL 2009) bertempat di PWTC petang semalam. Kunjungan kali ini seperti tahun-tahun lepas, tidak dapat 'tawaf' satu pusingan lengkap. Kalau tahun lepas mengejar si kecil ke sana ke mari, tahun ni masih demikian. Kalau ada peluang rasanya nak pergi sekali lagi untuk sempurnakan 'tawaf'.

Rabu, 15 April 2009

Jawatan Kumpulan

Ura-ura penempatan ke jawatan ‘pool’ atau jawatan kumpulan untuk pegawai yang cuti belajar telah kedengaran sejak akhir tahun lepas lagi. Maka masuk tahun ini, tertunggu-tunggulah sekalian pegawai yang berkenaan tentang perkhabaran berita tersebut. Beberapa bulan berlalu, tiada apa-apa berlaku. Lega seketika kerana nama masih ada di tempat asal. Namun kelegaan tersebut hanya sementara apabila ambo menerima sekeping surat dari kementerian beberapa hari lepas.

Dalam surat tersebut ambo telah ditempatkan di jawatan kumpulan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia. Dengan ini sudah sahlah nama ambo tiada lagi di tempat lama. Nampaknya lepas ni kena bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan terutama apabila tiba masa penempatan semula setelah tamat pengajian nanti.


Selasa, 31 Mac 2009

Dato'


Sekalung tahniah diucapkan kepada Profesor Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff atas pengurniaan bagi darjah kebesaran Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) yang membawa gelaran Dato’ oleh KDYMM al-Sultan Kelantan sempena Hari Keputeraan baginda yang ke 59 pada 30 Mac 2009 yang lalu.


Isnin, 9 Mac 2009

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah


Setiap tahun temanya berbeza. Tahun ini “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” dipilih sebagai tema sambutan Maulid al-Rasul 1430H. Melihat kepada situasi dalam negara hari ini, ia bagaikan satu cabaran untuk dilaksanakan. Moga-moga tema ini dapat dicapai sekurang-kurangnya untuk peringkat keluarga. Namun adalah lebih baik lagi jika ia dapat dicapai di peringkat nasional apatah lagi di peringkat antarabangsa. Ini kerana kesatuan adalah syarat penting untuk umat Islam mencapai kejayaan seperti yang telah berlaku pada zaman Baginda s.a.w dan para sahabatnya. Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin pada waktu itu memainkan peranannya dalam memimpin kesatuan umat Islam agar bersatu sehingga berjaya menjadikan Yathrib sebagai sebuah “bandar yang bercahaya” dengan cahaya Islam.

Ia diteruskan lagi oleh para khalifah seterusnya sebagai pengganti Baginda s.a.w dalam usaha untuk mewujudkan projek “Kesatuan Islam” di bawah pimpinan seorang khalifah dan meluaskan ajaran Islam ke seluruh dunia. Namun usaha ini tergendala apabila sistem khalifah dimusnahkan setelah jatuhnya Kerajaan Islam Uthmaniyyah pada tahun 1924M. Perpecahan demi perpecahan berlaku di kalangan umat Islam selepas itu sehingga ke hari ini. Ia terus berlaku di mana-mana negara umat Islam termasuk negara kita. Kolonialisme Barat berjaya menyekat kemaraan Islam.

Jadi, projek “Kesatuan Islam” mesti ditegak dan diteruskan semula serta berusaha untuk mengembalikan sistem khalifah agar Islam bangkit meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w yang ditinggalkan kepada umatnya. Sama-sama kita berusaha ke arah itu.


Khamis, 19 Februari 2009

Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris?

Kelahiran ramai tokoh ilmuan Islam suatu masa dahulu terutama pada zaman Kerajaan Abbasiah masih dikenang dan disebut sehingga ke hari ini. Selain itu, ia turut melonjak nama Islam sehingga ke dunia Barat. Baghdad telah menjadi pusat pergerakan ilmiah terpenting di dunia pada masa itu sehinggakan ianya menjadi tempat tumpuan kepada para penuntut ilmu yang ingin menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.

Banyak faktor yang menjadikan kegiatan keilmuan berkembang pesat pada zaman itu. Antaranya pelaksanaan aktiviti penterjemahan karya-karya falsafah, astronomi, kimia, fizik, biologi dan perubatan daripada bahasa asing ke bahasa ibunda. Pemimpin ketika itu tidak melaksanakan dasar mempelajari karya falsafah dan sains dalam bahasa asal sebaliknya menggiatkan aktiviti penterjemahan karya-karya tersebut dari bahasa Yunani, Parsi dan lain-lain ke bahasa Arab. Baitul hikmah sebagai pusat intelektual dan keilmuan ketika itu turut menjadi tempat untuk aktiviti penterjemahan bahasa ini.

Begitu juga dengan Barat, apabila mereka membawa balik karya falsafah dan sains dari negara Islam ke negara mereka sewaktu era penjajahan dan perang salib dahulu, mereka menterjemahkannya ke dalam bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Inggeris, bukannya mengajarkannya dalam asal ilmu tersebut iaitu bahasa Arab. Malah, nama tokoh ilmuan Islam yang asal seperti Ibn Sina turut dikenali di Barat dengan nama Avicenna. Bahasa Arab dipelajari hanyalah sebagai alat untuk menterjemahkan karya-karya tersebut ke bahasa Inggeris. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Hari ini, semua karya tersebut telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris seolah-olah ilmu tersebut berasal daripada mereka. Identiti asalnya telah berubah.

Jadi apakah kaedah terbaik untuk mempelajari ilmu terutama sains dan teknologi di Malaysia, adakah dengan mempelajarinya dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda iaitu bahasa Malaysia? Jawapannya boleh fikir sendiri...

Jumaat, 23 Januari 2009

Isu sejagat, bukan Islam sahaja...

Disebalik isu Palestin-Israel ini, mari sama-sama kita selidik beberapa perkara berkaitan.

Israel menyerang rakyat Gaza hanya kerana dua isu kecil iaitu:

1. Roket pihak Hamas yang dibuat sendiri menggunakan bahan kitar semula yang setakat ini hanya membunuh tidak sampai 10 orang wagra Israel.

2. Terowong bawah tanah yang dibina di Gaza. Terowong ini dibina untuk membawa makanan dan ubatan yang dikatakan terowong rahsia oleh pihak Israel. 

Mungkin ada yang tertanya kenapa pihak rakyat Palestin bertindak demikian. Puncanya ialah kerana Gaza dikepung dari seluruh arah oleh Israel sama ada dari darat, laut, udara dan sempadan Mesir-Palestin. Mereka susah untuk mendapat bekalan makanan dan ubatan sehingga mereka terpaksa bertindak demikian. 

Disebalik resolusi pelbagai yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu, satupun tidak bermakna buat Palestin. Genjatan senjata, perdamaian, resolusi dan pelbagai lagi perbincangan dibuat, tapi hanya bertahan beberapa waktu. Jadi, jalan terbaik bagi mereka ialah jihad melawan kuffar yang mana hanya jalan ini sahajalah boleh membuatkan Israel lenyap dari bumi Palestin. Inilah juga jalan untuk mereka syahid setelah tiada lagi peperangan besar seperti yang berlaku pada zaman khalifah terdahulu. 

Semoga mereka berjaya.



Sabtu, 10 Januari 2009

Pindah

Perpustakaan Akademi Pengajian Islam yang ditimpa tanah runtuh tempoh hari telah berpindah ke Perpustakaan Peringatan Zaaba di tingkat 3. Tempat baru ini agak luas juga berbanding yang lama. Namun jaraknya yang jauh dari akademi agak menyulitkan sedikit untuk selalu berada di sana.

Alhamdulillah, banyak kitab-kitab Arab dapat diselamatkan, namun ada beberapa buah yang rosak teruk dan yang tertanggal kulitnya. Apapun, semoga kejadian yang telah berlaku tempoh hari tidak lagi berulang.

Khamis, 1 Januari 2009

Dedikasi

Natijah sudahpun keluar. Semuanya dalam keadaan baik. Terima kasih buat para guru yang telah berkongsi ilmu mereka. Semoga ilmu itu akan menjadi amal jariah buat mereka.

Dedikasi buat:

Prof. Dr. Abdul Halim Bin Mat Diah
Prof. Dr. Ab. Aziz Bin Mohd Zin
Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Bin Berahim@Ibrahim
Prof. Madya Dr Idris Bin Awang
Prof. Madya Mohamad Kamil Bin Ab. Majid
Dr. Asmak Ab Rahman
Dr. Fatmawati Ibrahim