Sabtu, 16 Mei 2009

Guru pembina negara bangsa


16 Mei setiap tahun merupakan sambutan hari guru di negara ini. Ia disambut meriah di hampir semua institusi pengajian terutama di sekolah-sekolah yang menjalankan proses pendidikan secara formal seperti di sekolah kebangsaan atau sekolah menengah. Namun suasana sambutan hari guru agak suram terutama di institusi pengajian tinggi, kolej/politeknik, pondok, sekolah tahfiz al-Quran dan seumpamanya.

Jika dilihat kepada maksud perkataan guru dalam mana-mana kamus, ia membawa erti orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Jadi bolehlah disimpulkan bahawa makna guru ini amat luas. Ia tidak tertakluk kepada guru yang mengajar di sekolah sahaja. Tapi oleh kerana semua daripada kita mengalami proses pendidikan melalui alam persekolahan, jadi hari guru lebih banyak diraikan di sekolah berbanding institusi-institusi lain.

Walau apa-apa pun, semoga semua guru terus berbakti dengan ikhlas dalam usaha melahirkan anak didik yang seimbang amalan di dunia dan akhirat sebagai acuan dalam membina negara bangsa disamping berpeluang mendapat amal jariah apabila roh sudah berpindah alam.

Ahad, 3 Mei 2009

Tambak



Kawasan dalam gambar ini dahulunya adalah sebahagian daripada laut, tapi hari ini sudah berubah menjadi daratan. Ia juga turut mengubah keadaan peta dan keluasan negeri Melaka. Barangkali dahulunya ia merupakan tempat Hang Tuah dan kawan-kawannya bermain bola sepak pantai sambil mandi manda.

Bagi yang pernah sampai ke Melaka, pasti akan mendengar dan melawat Pulau Melaka dan Masjid Selat yang merupakan salah satu pulau buatan hasil kerja-kerja penambakan laut di negeri ini. Mahkota Parade di Melaka Raya juga adalah dibina di atas kawasan yang telah ditambak. Ambo tak nak ulas apa-apa mengenai isu penambakan laut ini. Kalau nak baca lebih lanjut, boleh cari kat 'google' tentang komen yang pelbagai tentang isu penambakan laut di Melaka.

Cuma ambo sekadar ingin berimaginasi, jika Sultan Iskandar Shah (Parameswara), Tun Perak, Hang Tuah dan lain-lain masih hidup, pasti mereka terkejut melihat perubahan yang telah berlaku di negeri Melaka ini. Tak tahulah sama ada mereka menyokong atau membantah usaha-usaha ini. Andaian ambo, Hang Tuah pasti menyokongnya, manakala Hang Jebat pula sudah tentu membangkang.

Sabtu, 2 Mei 2009

Pantai Kuala Linggi


Ramai yang mengambil peluang sempena cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu untuk berehat di tepi pantai atau hutan lipur. Salah satu tempat yang menjadi tumpuan ialah Pantai Kuala Linggi. Ia terletak di Daerah Alor Gajah. Manakala jaraknya dari Bandar Melaka pula ialah kira-kira 45 km. Pantai ini juga berada tidak jauh dari Akademi Laut Malaysia (ALAM) iaitu sebuah akademi yang melatih para pelatih yang akan berkecimpung dalam dunia maritim.

Pantai Kuala Linggi tidaklah begitu dikenali berbanding Pantai Klebang, Pantai Puteri, Pantai Tanjung Bidara, Pantai Pengkalan Balak (pernah heboh dengan isu kepala **** satu ketika dahulu) atau lain-lain. Namun sebagai alternatif, tempat ini boleh dikunjungi oleh mereka yang tidak suka dengan suasana pengunjung yang terlalu ramai atau berada terlalu hampir dengan jalan raya. Ini kerana, pengunjungnya tidaklah seperti pantai-pantai popular dan kedudukannya pula agak jauh dari jalan utama. Dari jalan utama, pengunjung perlu memasuki jalan kecil kira-kira 1 km jaraknya dari jalan utama tersebut.

Namun, tidak dapat dipastikan adakah suasana ini akan kekal begitu memandangkan Kerajaan Negeri telah memulakan usaha untuk mempromosikan tempat ini sebagai salah satu destinasi pelancongan baru di Melaka. Yang terbaru ialah pembinaan kompleks ikan bakar terapung yang dirasmikan pada bulan April yang lalu dan perancangan untuk membina chalet di kawasan tersebut. Setakat ini, hanya ada beberapa buah chalet yang dibina secara persendirian oleh orang-orang kampung di sebelah rumah mereka yang berdekatan dengan pantai.

Di Pantai Kuala Linggi, pengunjung boleh mandi manda atau berehat sambil berzikir merenung kebesaran Ilahi di atas tikar yang perlu dibawa sendiri. Kebanyakan pengunjung ke pantai ini adalah beragama Islam, jadi tidak perlu runsing tentang terserempak dengan ’buaya putih’ yang bergelimpangan di tepi-tepi pantai. Cuma kadang-kadang ada beberapa orang anak muda yang barangkali bosan merempit di jalan raya datang merempit di tepi pantai. Namun, perkara ini tidak menghalang untuk pengunjung meneruskan aktiviti masing-masing bersama keluarga dan rakan-rakan.