Isnin, 29 Jun 2009

Rihlah: Tanjung Malim


Semalam ambo ke Tanjung Malim, memberi sokongan moral kepada salah seorang adik ambo yang mendaftar pengajian di UPSI. UPSI adalah singkatan bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris, namun ada sesetengah pelajarnya mengubah singkatan UPSI kepada Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam. Alangkah indahnya jika maksud kedua bagi singkatan UPSI menjadi kenyataan.

Rihlah ambo kali ini adalah kali ketiga setelah empat tahun yang lepas ambo telah ke sini dengan tujuan yang sama iaitu menghantar dua orang adik ambo yang melanjutkan pengajian mereka di universiti pertarbiyahan ini. Sekarang, seorang sedang menunggu penempatan dan seorang lagi masih membuat latihan mengajar.

Urusan pendaftaran secara keseluruhannya berjalan lancar. Namun rasa sedikit kecewa dengan pihak pengurusan apabila tempat pendaftaran yang pada asalnya seperti dinyatakan dalam surat tawaran ialah di Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR) ditukarkan ke Kolej Kediaman Za’ba (KZ). Jika jaraknya dekat, rasa kecewa itu mungkin tidak timbul, tapi jarak antara KHAR dengan KZ lebih kurang 6 atau 7 km, jadi ia agak menyusahkan ambo dan keluarga. Nasib baiklah menggunakan kenderaan sendiri, kesusahannya tidaklah terasa sangat. Bayangkan kalau pelajar yang datang dengan kenderaan awam, mungkin lagi menyusahkan.

Sepatutnya pihak berkenaan memaklumkan pertukaran urusan pendaftaran lebih awal, bukannya sekadar menampal nama untuk disemak setelah tiba di sana. Rasanya tidaklah melibatkan kos yang tinggi kalau nak maklumkan tentang pertukaran tersebut. Dikhabarkan lebih kurang 300 orang pelajar baru yang terlibat dalam pertukaran tersebut. Kalau satu sms berharga 15 sen, baru RM45 UPSI perlu keluarkan belanja. Nampaknya pihak berkenaan terlalu berjimat cermat dalam semua urusan sehinggakan surat tawaran pun perlu dicetak sendiri melalui sistem atas talian selain borang-borang berkaitan seperti borang pemeriksaan kesihatan, borang panduan dan lain-lain.

Sepatutnya perkara begini tidak timbul selepas USM 'buat hal' tempoh hari. Nasib baik keluarga ambo belum buat kenduri selepas mengetahui keputusan adik ambo yang diterima memasuki USM sebelum dimaklumkan tentang kesilapan teknikal yang berlaku. Sepatutnya UPSI belajar dari kesilapan USM tersebut. Namun, apa2pun tahniah kepada para petugas dan semua pegawai UPSI kerana telah bertungkus lumus memastikan sesi pendaftaran ini tidak mempunyai kesilapan yang boleh dianggap 'major'. Semoga masalah 'minor' ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, ketika di UPSI ambo bertemu beberapa rakan lama yang turut menghantar sanak saudara masing-masing. Antaranya En. Hanafi yang kini bertugas di PERKESO dan Ustaz Nazri yang bertugas sebagai guru di Kepong. Sebelum itu, ambo turut berkunjung ke rumah seorang kenalan isteri di Taman Segar, Tanjung Malim yang kini bertugas sebagai Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UPSI iaitu Cik Naziroh Romli.

Buat adik ambo, selamat menempuh alam kampus. Semoga mendapat kejayaan cemerlang.

Rabu, 24 Jun 2009

Dedikasi II

Natijah untuk semester kedua baru saja di umumkan. Alhamdulillah, nampaknya semua dalam keadaan baik-baik belaka. Terima kasih buat para guru yang telah sudi mencurahkan ilmu mereka. Tiada apa yang dapat ambo balas selain menyebarkan kembali mutiara-mutiara ilmu tersebut untuk dijadikan amal jariah buat mereka dan buat ambo juga.

Dedikasi buat:

Prof. Dr. Abdul Halim Bin Hj. Mat Diah
Prof. Madya Dr. Ali Bin Mohammad
Dr. Mohd Roslan Bin Mohd Nor
Ustazah Norhayati Binti Hj. Hamzah

Ahad, 21 Jun 2009

Kursus Ijazah di Politeknik?

Berita 1:

Kajian Naik Taraf Politeknik Untuk Tawar Kursus Ijazah - Khaled

JOHOR BAHARU, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi telah mengarahkan Jabatan Pengajian Politeknik menjalankan kajian bagi tujuan menaik taraf kedudukan politeknik bagi membolehkan institusi itu menawarkan kursus peringkat ijazah.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha menaik taraf institusi itu dibuat berikutan institusi itu menjadi pilihan pelajar lelaki yang meminati jurusan kemahiran.

Kerajaan akan terus berusaha untuk menyediakan peluang untuk belajar di politeknik termasuk menaik taraf institusi itu bagi membolehkannya menawarkan kursus peringkat ijazah, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah kecemerlangan PMR, SPM dan STPM 2008 bagi kawasan Parlimen Pasir Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya di sini hari ini.

"Pada masa ini politeknik hanya menawarkan jurusan peringkat diploma sahaja dan apabila dilaksanakan kelak, tiga ke empat politeknik akan dipilih untuk menawarkan jurusan-jurusan peringkat ijazah," kata Mohamed Khaled yang juga anggota Parlimen Pasir Gudang.

Beliau berkata politeknik menerima 120,000 permohonan sedangkan jumlah tempat yang ditawarkan kepada pelajar hanya 20,000.

Katanya lulusan politeknik juga menjadi pilihan pihak industri kerana mereka memiliki kemahiran yang diperlukan.

Sumber: Bernama.com

-----------------------

Berita 2:

Politeknik tawar kursus ijazah dikaji

JOHOR BAHRU 20 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi sedang melakukan kajian terhadap politeknik di seluruh negara dalam usaha menaik taraf kedudukan institusi itu termasuk menawarkan kursus peringkat ijazah pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu dilihat mampu mengikis tanggapan bahawa politeknik tidak setaraf dengan universiti hingga menjadikan institusi tersebut sebagai pilihan kedua di kalangan lepasan pelajar sekolah.

Katanya, politeknik perlu memiliki kekuatannya sendiri dan kedudukan institusi itu mesti selari dengan universiti dan bukannya di bawah standard universiti.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Pengajian Politeknik untuk mengkaji bagaimana hendak menentukan institusi yang semakin menjadi tumpuan ini terutamanya di kalangan pelajar lelaki dapat ditingkatkan kedudukannya sebagai pilihan yang selari dengan universiti.

“Sekarang ini orang melihat politeknik sebagai kelas dua. Kita tidak mahu ada tanggapan begitu kerana apabila saya sebagai seorang pelajar sekolah, saya melihat kalau tidak dapat masuk universiti, saya hendak masuk politeknik,’’ ujarnya.

Sumber: Utusan Online

[Komen ambo: Satu cadangan yang baik, namun politeknik harus kekal dalam menyediakan pendidikan dalam bentuk yang asal iaitu pengajian peringkat sijil, diploma, diploma lanjutan dan seterusnya ijazah. Andai ianya hanya menumpukan kepada peringkat ijazah semata-mata, dikhuatiri hal ini akan meminggirkan pelajar-pelajar yang kurang berkelayakan untuk terus ke peringkat ijazah terutama mereka yang berada di kelas pertengahan dan tercorot semasa di sekolah menengah. Tidak mengapa politeknik dianggap kelas kedua dan tidak setanding universiti, tetapi berjaya menjadikan pelajar-pelajar yang dapat 5B,3C,2D atau 1B,7C,3D semasa SPM setanding dengan pelajar yang dapat 10A atau 20A. Walaupun tidak berjaya menjadi seorang doktor atau arkitek, sekurang-kurangnya mereka berjaya menjalankan tugas sebagai seorang juruteknik yang mungkin tidak boleh dibuat oleh seorang doktor.]

Isnin, 8 Jun 2009

Rihlah: Patani


Jaraknya tidaklah jauh sangat. Namun disebabkan beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum melangkah keluar seperti menyediakan pas sempadan, mendapatkan kebenaran membawa kenderaan sendiri, membeli insuran dan sebagainya, yang senang jadi sedikit susah. Inilah antara kesan daripada kedatangan penjajah suatu ketika dahulu. Hasilnya mereka berjaya membuat garisan sempadan antara negara. Itu tidaklah dirasakan sangat. Yang paling terasa apabila sistem khalifah terus runtuh sehingga ke hari ini dan dunia Islam terus tertindas. Begitu juga dengan Selatan Thai yang majoritinya adalah umat Islam, terus bergolak sehingga sekarang ibarat Palestin dengan Israel.


Walau apapun, ikatan silaturrahim masih terus subur tanpa mengira pemisah sempadan negara, isu pejuang puak pemisah dan lain-lain. Semoga saudara mara seagama kita di sana terus tabah menghadapi perjuangan yang sekejap bagi menghadapi alam kekal 'di dunia' satu lagi.

Selasa, 2 Jun 2009

Cuti


Apabila tiba waktu cuti, yang tinggal jauh dengan kampung halaman akan balik menjenguk sanak saudara dan sahabat handai. Tidak ketinggalan ambo sekeluarga. Namun setiap kali balik kampung, jalan yang sesak sudah menjadi perkara biasa. Ini baru waktu cuti sekolah, belum lagi cuti hari raya. Mungkin sudah tiba masanya dibina jalan bertingkat terutama di Kota Bharu, Pasir Mas dan beberapa tempat lagi agar perjalanan menjadi lebih selesa. Lebih elok juga jika dibina jalan yang dapat memendekkan jarak antara Kuala Lumpur ke Kelantan dari 7 jam kepada 4 atau 5 jam. Tapi siapa yang nak buat semua tu...?