Jumaat, 21 Ogos 2009

Politeknik dinaik taraf pusat pengajian terpilih


PULAU PINANG 20 Ogos - Beberapa politeknik bakal dinaik taraf menjadi pusat pengajian terpilih dalam bidang teknikal selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kualiti institusi pendidikan di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, politeknik berkenaan akan menawarkan program peringkat diploma dan pelajar yang dipilih pula perlu melalui syarat kemasukan yang lebih ketat.

Langkah itu, katanya, bagi memperbetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan politeknik adalah pilihan kedua selepas gagal memasuki universiti.

''Sekolah menengah ada menawarkan jurusan teknikal dan kita mahu pelajar terlibat menyambung pelajaran di politeknik juga, tidak hanya tertumpu pada universiti.

''Kita ada 27 politeknik di seluruh negara. Sudah sampai masanya kita ambil beberapa politeknik menjadi politeknik terpilih yang pelajarnya adalah 100 peratus pelajar terbaik dalam bidang teknikal,'' ujarnya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan empat perjanjian kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan empat syarikat dalam mengkomersialkan produk penyelidikan universiti itu di sini hari ini.

Kerjasama dengan syarikat Cool Returns Sdn. Bhd untuk mengkomersialkan Komuniti Bestari Digital Sistem Radio Frequency Identification (RFID) manakala Bioterials Ventures Sdn. Bhd. pula bagi mengkomersialkan tepung pisang sebagai bahan inovatif dalam pengeluaran makanan.

Perjanjian dengan Scientige Sdn. Bhd. pula untuk mengkomersialkan Tatania Nanotube Array iaitu produk mengatasi masalah pencemaran manakala dengan Myaerospace. Com. Sdn. Bhd. dalam bidang pembangunan teknologi.

Menurut Mohamed Khaled, golongan profesional dalam bidang teknikal amat diperlukan negara dan dengan adanya politeknik terpilih, ia diyakini mampu memberi impak yang baik.

''Sebelum ini ada sedikit kecelaruan mengenai cadangan ini yang mengandaikan ia akan dilaksanakan seperti kita memberi USM taraf Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex). Kedua-duanya sebenarnya tidak sama dan berbeza," katanya.

Utusan Online


Isnin, 17 Ogos 2009

Kementerian Pengajian Tinggi Pilih Politeknik Bagi Program Apex

17 Ogos, 2009 19:36 PM

Kementerian Pengajian Tinggi Pilih Politeknik Bagi Program Apex

IPOH, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengajian Tinggi akan memilih tiga atau empat politeknik daripada 27 politeknik sedia ada di negara ini untuk dijadikan Politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) yang dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata satu daripada Politeknik Apex itu kemudiannya akan dicadangkan dinaiktaraf kepada universiti yang berasaskan kemahiran pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Politeknik Apex akan lebih memberi tumpuan dan pengkhususan kepada bidang teknologi strategik, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta sudah tentu menerima lebih banyak peruntukan (berbanding politeknik lain).

"Syarat kemasukan pelajar ke politeknik berkenaan juga menjadi lebih ketat berbanding politeknik biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan 40 Tahun Kecemerlangan Politeknik di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini Isnin.

Pada majlis itu Pengarah PUO pertama, Tan Sri Dr Othman Merican, 79, yang kini menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat PUO dipilih sebagai penerima pertama anugerah Tokoh Pengarah Politeknik.

Saifuddin berkata sejak politeknik pertama iaitu PUO ditubuhkan di negara ini pada 1969, negara kini mempunyai 27 politeknik di setiap negeri dengan membabitkan enam bidang pengajian serta 49 jenis kursus atau program dan telah melahirkan 274,462 graduan separa profesional yang mendapat permintaan tinggi daripada pelbagai sektor industri.

Katanya kementerian itu kini berusaha untuk mengubah tanggapan orang ramai terhadap politeknik yang melabel institusi itu sebagai pilihan kedua selepas institusi pengajian tinggi (IPT) lain dalam menawarkan pengajian akademik.

"Hakikatnya masalah pengangguran di kalangan graduan politeknik sebenaranya lebih rendah berbanding graduan IPT awam," katanya.

Beliau berkata Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti kini berusaha untuk menganggotai majlis akreditasi 'Dublin Accord' iaitu perjanjian pengiktirafan antarabangsa terhadap kelayakan juruteknik dalam bidang kejuruteraan untuk dijadikan penanda aras serta menaiktaraf kedudukan politeknik di negara ini di peringkat antarabangsa.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kementerian turut bercadang membenarkan pilihan raya kampus di semua politeknik diadakan berbanding hanya beberapa politeknik yang dibenarkan berbuat demikian ketika ini, supaya ia dapat membuka peluang bagi semua untuk terbabit secara langsung dalam proses pilihan raya kampus.

-- BERNAMA

Takziah

Dua minggu lepas ambo menemuinya untuk meminta semakan bagi cadangan penyelidikan yang telah ambo siapkan. Beliau memaklumkan agar dilakukan beberapa pembetulan dalam cadangan tersebut. Beliau juga memberitahu ambo agar meneruskan penulisan untuk bab seterusnya dan datang menemuinya dalam tempoh sebulan lagi.

Nampaknya hajat ambo untuk menyiapkan penulisan disertasi bersama Allahyarham Prof. Dr Abdul Halim Mat Diah tidak kesampaian kerana ambo diberitahu oleh beberapa rakan melalui sms bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat keredaan Allah di alam barzakh nanti.

Konvo UKM

Cerita tentang konvokesyen masih belum tamat lagi. Kali ini ambo ke UKM bersama keluarga sebelah mertua bagi meraikan majlis konvokesyen adik kepada isteri ambo yang telah menamatkan pengajiannya dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia.

Tiada apa-apa yang ingin dikongsi mengenai kisah graduan kali ini. Cukuplah sekadar memuat naik beberapa gambar yang diambil sewaktu ambo, sanak saudara dan orang yang diraikan berada di sana.



Ahad, 16 Ogos 2009

Seminar Isu Dunia Islam Semasa

Bertempat di ILSAS, Uniten telah diadakan Seminar Dunia Islam Kontemporari : Cabaran dan Halatuju pada 15-16 Ogos 2009. Ambo hanya sempat menghadiri seminar ini satu hari sahaja memandangkan pada kedua iaitu hari ini ambo telah ke UKM bagi meraikan majlis konvokesyen adik ipar ambo yang menerima ijazah sarjana mudanya.

Seminar ini telah dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B.’ Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Haji Jamil Khair bin Haji Baharom. Pengisian seminar menjurus kepada keadaan dunia Islam semasa yang merangkumi pelbagai topik perbicangan sama ada keadaan umat Islam dalam negara mahupun pun luar negara. Para pembentang kertas kerja juga terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuan yang terkenal dan berpengalaman dalam pertubuhan NGO dan dunia akademik.

Program anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ini dihadiri oleh para hadirin seluruh negara. Pada malamnya turut diadakan mesyuarat perwakilan tahunan PUM kali ke 30. Walau bagaimanapun, ambo tak hadiri mesyuarat perwakilan tersebut kerana masih belum menjadi ahli PUM.

Kepada yang berminat tentang program anjuran PUM, boleh lawati blog PUM di http://ulamadaily.blogspot.com untuk program terkini.

Khamis, 13 Ogos 2009

Rihlah: Tanjung Malim II


Bertemu lagi dalam siri rihlah ambo yang kesekian kalinya. Kali ini sekali lagi ambo ke Tanjung Malim. Pengembaraan kali ini adalah bagi meraikan majlis konvokesyen adik ambo yang telah tamat pengajian Mei lalu. Terharu juga melihat adik ambo yang akhirnya berjaya mendapatkan segulung ijazah walaupun sepanjang pengajian empat tahun di sini, pelbagai cabaran dihadapi memandangkan kesihatannya yang sering terganggu. Kesakitan yang dia alami sejak dari sekolah rendah hingga kini masih ditanggungnya walaupun sudah berbotol-botol ubat diambil dari hospital dan berpuluh-puluh bomoh ditemui. Tidak diketahui apakah hikmah disebalik penyakitnya itu memandangkan pelbagai usaha dilakukan namun Allah masih tidak mengizinkan ianya sembuh. Semoga dia terus bersabar atas ujian yang diberikan Allah.

Bercerita sedikit mengenai kisah penyakitnya, pelbagai ujian dan eksperimen dilakukan sehingga ada seorang doktor mencadangkan diambil air tulang belakang untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihadapinya, namun keluarga tidak bersetuju memandangkan pendapat beberapa individu yang mengatakan perkara tersebut agak membahayakan. Bermalam di hospital sudah menjadi perkara biasa. Ibu ambolah menjadi teman setianya setiap kali ditahan di wad.

Hampir seluruh Kelantan menjelajah apabila ada individu yang mengesyorkan untuk berjumpa bomoh yang dikatakan boleh menyembuh penyakit yang seakan-akannya. Pernah suatu hari arwah ayah ambo membawanya bertemu seorang bomoh yang hanya boleh berurusan pada waktu malam kerana menjelang fajar, ia akan ke suatu tempat dan ghaib, namun tiada apa-apa perubahan berlaku. Ada seorang bomoh lagi yang hanya boleh ditemui pada hari-hari tertentu kerana hari lain pergi bertapa di kaki bukit. Pelbagai jenis akar kayu, air tawar, minyak urut, makanan tambahan (MLM), bekam dan lain-lain dicuba, namun setakat ini masih belum menampakkan kesan.

Dia mengambil peperiksaan STPM secara persendirian di sekolah swasta kerana tidak layak memasuki sekolah kerajaan memandangkan keputusan peperiksaan SPM yang dimilikinya hanyalah sekadar cukup syarat untuk mendapatkan sijil sahaja. Berbekalkan keputusan SPTM yang sederhana, dia berjaya mendapat tawaran Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) secara rayuan setelah gagal dalam kemasukan melalui panggilan pertama. Seminggu selepas menghantar seorang lagi adik ambo yang juga mendapat tawaran di UPSI (akan konvo bulan 3 tahun depan kerana tangguh pengajian), sekali lagi ambo ke UPSI bagi menguruskan pendaftarannya di sana.

Ketika sesi pengajian, dia hampir-hampir tidak dapat menghadiri peperiksaan kerana demam yang agak kuat dan pernah bercadang untuk menangguh pengajian, namun atas dorongan dan semangat yang diberikan keluarga, semuanya itu berjaya dihadapi. Dia pernah ditahan di wad Hospital Slim River kerana kesakitannya yang dihadapi menyebabkan dia mengalami demam yang agak kuat sehingga memaksa ibu ambo ke sana menemaninya.

Inilah sedikit kisah keluarga ambo yang tak pernah ambo kongsi dengan orang lain. Cerita ini hanyalah sebagai selingan dalam blog ini selain untuk memberikan semangat kepada sesiapa jua yang menghadapi hidup yang penuh dugaan dan lebih hebat dari dugaan yang dihadapi adik ambo.

Ahad, 9 Ogos 2009

JPPKK jadi JPP?

08 Ogos, 2009 16:24 PM

Kolej Komuniti Mungkin Diasing Dari Jabatan Politeknik - Khaled Nordin

JOHOR BAHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk mengasingkan Kolej Komuniti daripada kelolaan Jabatan Politeknik bagi membolehkan kolej terseut yang semakin penting peranannya dapat bergerak secara bebas dan boleh mengadakan pelbagai program yang membangunkan masyarakat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia termasuk untuk membolehkan kolej berkenaan mengadakan program jangka pendek selama tiga bulan kepada belia untuk memasuki pasaran kerja.

"Kebanyakan program adalah jangka panjang iaitu memakan masa selama dua tahun, sedangkan sekurang-kurangnya 100,000 golongan belia didapati tercicir daripada sistem pendidikan kebangsaan dan tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Pasir Gudang, di sini pada hari Sabtu.

Lebih 300 peserta jangka pendek seperti kursus pembuatan roti canai, cendol dan dandanan rambut menerima sijil pada majlis tersebut.

Mohamed Khaled juga berkata 10 lagi cawangan Kolej Komuniti akan dibuka di seluruh negara tahun ini, tambahan kepada 58 buah yang sedia ada.

-- BERNAMA