Ahad, 25 Oktober 2009

Lulusan politeknik ke universiti

Lulusan politeknik ke universiti


Oleh KHADIJAH IBRAHIM
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 24 Okt. - Lulusan politeknik berpeluang melanjutkan pengajian di empat buah universiti di bawah Program Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program MTUN dianggotai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Menurut beliau, empat universiti tersebut menawarkan slot pengajian sebanyak 20 peratus untuk lulusan politeknik.

"Di bawah program tersebut, proses pemindahan kredit lulusan politeknik akan dipermudahkan sekali gus membantu pelajar-pelajar berkenaan memilih kursus yang mereka inginkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Kecemerlangan Politeknik 2009 dan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Politeknik dengan institusi MTUN di Plaza Angsana di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Jabatan Politeknik akan bekerjasama dengan keempat-empat universiti berkenaan menerusi program tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Menurut beliau, kementeriannya juga akan menghantar kertas cadangan kepada Kabinet selewat-lewatnya dua minggu lagi bagi menaik taraf sistem pengajian politeknik.

"Antara yang terkandung dalam kertas cadangan itu termasuklah fokus dalam melahirkan lulusan yang menepati pasaran kerja semasa dalam pelbagai industri berdasarkan kelulusan masing-masing," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah memberi peruntukan sebanyak RM13 bilion bagi Bajet 2010.

Katanya, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membangunkan infrastruktur intelektual berbanding infrastruktur fizikal.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur intelektual lebih menjana kredibiliti pelajar yang lebih berkualiti sekali gus membantu meningkatkan sosioekonomi.

"Selain itu, keputusan kerajaan menukarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pemegang ijazah kelas pertama juga dilihat akan mendorong pelajar supaya cemerlang dalam pengajian," katanya.

Utusan Online

Sabtu, 24 Oktober 2009

Bajet 2010

Pihak kerajaan telah mengumumkan bajet untuk tahun 2010 semalam di parlimen. Pelbagai pihak memberi reaksi yang berbeza. Itu bajet untuk negara. Bagi ambo, bajet keluarga juga patut dibentang di ruang tamu setiap rumah agar perbelanjaan tahunan tidak akan tersasar daripada jumlah pendapatan tahunan.

Walaupun tiada analisis khas terhadap pembentangan bajet keluarga, namun sekurang-kurangnya ianya menjadi panduan bagi kita untuk merancang perbelanjaan agar setiap wang yang diperolehi hasil titik peluh benar-benar dimanfaatkan.

Sekian, mohon mencadang...

Isnin, 19 Oktober 2009

Rihlah: Pangkor


Kali terakhir ambo ke Pulau Pangkor ialah pada tahun 2004 iaitu ketika menghadiri satu kursus selama 3 minggu. Kali ini ambo sekali lagi menyahut ‘panggilan pulau’ bersama anak dan isteri sempena cuti panjang yang diambil oleh sekolah isteri ambo sekali dengan cuti Deepavali. Jika sebelum ini beberapa aktiviti melancong ambo termasuk dalam pakej sewaktu menghadiri urusan rasmi ataupun singgah sewaktu perjalanan balik kampung, kali ini memang merupakan aktiviti melancong secara keseluruhannya.

Justify Full
Berbekalkan petrol RON95 sebanyak RM40 untuk Myvi 1.3 (Auto), ambo sampai di Lumut setelah melalui perjalanan lebih 5 jam dari Melaka. Untuk ke sana, ambo ikut laluan Melaka-KL-Tanjung Malim-Bidor-Teluk Intan dan akhirnya tiba di Lumut. Sampai di Lumut, perkara pertama ambo cari ialah tempat untuk meletak kenderaan. Banyak pilihan untuk meletak kenderaan. Ada yang berbumbung dan ada yang tidak. Jika berbumbung harganya adalah RM10 untuk sehari (24 jam). Jika tidak berbumbung, ada yang RM7 dan ada juga yang RM10. Tapi jika ingin selesa dan selamat (dari hujan dan panas), baik letak kat tempat letak kereta berbumbung. Untuk ini, ambo perlu keluarkan RM20 untuk tempoh 48 jam (Mula jam 2.30 petang hari Jumaat hingga 2.30 petang hari Ahad - bayar semasa keluar).


Untuk ke Pulau Pangkor, ambo menggunakan perkhidmatan feri yang mengenakan tambang sebanyak RM10 untuk dewasa bagi perjalanan pergi dan balik. Untuk itu, ambo telah keluarkan sebanyak RM20 untuk 2 orang dewasa. Untuk kanak-kanak bawah 5 tahun, tambang feri adalah percuma. Perjalanan feri adalah lebih kurang setengah jam dari jeti Lumut ke jeti Pangkor. Bagi yang belum pernah sampai ke Pulau Pangkor, feri akan berhenti di perhentian pertama bagi menurunkan penumpang yang membawa motosikal atau penduduk tempatan, manakala perhentian kedua adalah untuk jeti menurunkan pelancong.

Apabila tiba di jeti, teksi (van berwarna pink) sedia menanti para pelancong. Cakap sahaja ke mana ingin kita pergi, maka pemandu akan membawanya. Ambo tidak pasti adakah tambang untuk setiap destinasi di pulau ini adalah sama. Untuk ke tempat penginapan ambo iaitu di Teluk Nipah, kira-kira 6km dari pekan Pulau Pangkor, tambang yang dikenakan ialah RM12 untuk sebuah teksi. Jadi kalau naik ramai, untunglah. Jika naik seorang, harga yang sama juga yang mesti dibayar.

Jika kita tidak tahu di manakah hotel atau chalet yang kita akan sewa, kita tidak perlu risau kerana pemandu teksi akan membawa kita ke hotel atau chalet yang kita telah tempah. Ambo sebenarnya tidak menempah terlebih dahulu chalet yang ingin ambo sewa. Ambo beranggapan bahawa chalet akan penuh hanya waktu cuti sekolah atau cuti umum yang jatuh pada hari Jumaat atau Isnin. Nasib baiklah anggapan ambo ini tepat. Chalet sekitar Teluk Nipah masih banyak yang kosong. Jadi ambo boleh memilih chalet yang dikehendaki mengikut kesesuaian dengan bajet.

Ada banyak juga chalet sekitar Teluk Nipah. Ada yang dekat dengan pantai dan ada juga yang jauh dari pantai. Chalet yang ambo sewa (Intan Chalet) berharga RM70 untuk satu malam. Harga biasa ialah RM50, tapi oleh kerana hujung minggu, harganya dinaikkan sedikit. Walau bagaimanapun, bilik yang berharga sedemikian tidak menyediakan penghawa dingin dan tv. Hanya kipas dan lagu dari telefon bimbit jika inginkan hiburan. Tapi saya tiada masalah walaupun berkipas. Bagi mereka yang tak tahan panas, baik cari bilik yang ada penghawa dingin. Jika anda inginkan bilik yang berhawa dingin dan ada tv, harganya ialah RM95 untuk hujung minggu. Hari biasa hanyalah RM75 sahaja. Namun harganya akan naik RM100 lebih pada cuti umum.

Kedai makan banyak terdapat di tepi jalan dan tidak jauh dari chalet. Begitu juga dengan kedai menjual cenderamata dan pakaian. Tentang harga makanan, harganya tidaklah terlalu murah ataupun terlalu mahal. Yang istimewa, kita boleh merasa makanan laut yang segar berbanding dengan ikan, sotong atau udang yang kita beli kat pasaraya. Berbaloi untuk harga yang dibayar.


Banyak aktiviti yang boleh dilakukan selain mandi di pantai. Antaranya menaiki bot untuk melihat beberapa kawasan menarik sekitar Teluk Nipah dan aktiviti snorkelling. Untuk menaiki bot, RM10 seorang dikenakan. Jika nak buat aktiviti snorkelling, kita perlu tambah RM5. Aktiviti snorkelling dilakukan di sebuah pulau kecil berkekatan Teluk Nipah. Tak ingat pulak nama pulau tersebut. Kalau tak bersnorkelling pun, kita boleh melihat ikan-ikan dari atas bot. Jika nak mandi kat pulau itu pun boleh. Cuma bagitau pemandu bot berapa jam kita nak mandi dan apabila cukup masanya, dia akan datang ambil.

Ambo turut menyewa sebuah motosikal untuk membawa anak isteri bersiar-siar mengelilingi pulau. Bagi yang mempunyai anak ramai, tidak disyorkan anda menyewa motor. Mungkin boleh sewa kereta (Harga sewa kereta ambo tidak ambil maklum). Harga sewa motor ialah RM30 untuk sehari. Untuk mengisi petrol RON95, ambo keluarkan sebanyak RM3 untuk mengelilingi hampir keseluruhan pulau. Itupun ada lebih sedikit lagi. Pelbagai tempat boleh dilawati seperti Teluk Dalam, kawasan sejarah Kota Belanda, membeli belah di pekan Pangkor, mandi di Pantai Bogak dan lain-lain.

Setelah berada di Pulau Pangkor selama 3 hari 2 malam, ambo kembali semula ke Lumut untuk mengambil kereta dan balik ke Melaka. Sekali lagi ambo membayar RM12 untuk tambang teksi dari Teluk Nipah ke jeti pekan Pangkor. Setiba di Lumut, ambo mengeluarkan sedikit wang untuk menjana ekonomi warga Lumut. Untuk aktiviti membeli belah, kita boleh belanja wang kita sama ada di Pangkor atau di Lumut kerana di kedua-dua tempat menyediakan tempat membeli belah yang pelbagai. Beberapa helai t-shirt ambo beli di Pangkor. Tapi beberapa bungkus makanan laut ambo beli di Lumut. Berkaitan harga, ambo tidak dapat nyatakan perbezaannya. Ada pelbagai pendapat, ada yang kata harga lebih murah di Lumut dan sebaliknya. Hal ini terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing dalam urusan tawar menawar.


Setelah membayar RM20 untuk bayaran meletak kenderaan, ambo sekali lagi mengisi petrol RON95 sebanyak RM40. Untuk laluan balik, ambo ikuti jalan yang lain pula. Ini kerana isteri ambo ingin singgah mengambil gambar tempat dia membesar dan bersekolah sehingga darjah 5 di Sg. Sumum, Perak. Laluan ambo untuk balik ke Melaka ialah melalui Teluk Intan-Sabak Bernam-Tg. Karang-KL dan akhirnya tiba di Melaka setelah melalui lebuh raya PLUS.

Rabu, 7 Oktober 2009

JPPKK dipisahkan

Selasa Oktober 6, 2009

Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti akan dipisahkan - Khaled

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memisahkan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam usaha penjenamaan semula dan mentransformasikan kedua-dua institusi berkenaan.

Cadangan tersebut diumumkan oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan perasmian Dialog Industri Kebangsaan 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.

Menurut Khaled, kementeriannya akan membentangkan kertas Kabinet kepada jemaah menteri untuk maklum balas dan tindakan dalam masa terdekat berhubung perkara tersebut.

“Salah satu langkah untuk maju kehadapan adalah dengan memisahkan pengurusan politeknik dan kolej komuniti kepada dua jabatan yang berbeza. Masing-masing akan dikenali sebagai Jabatan Politeknik dan Jabatan Kolej Komuniti.

“Struktur pentadbiran yang baru ini akan meningkatkan prestasi kedua-dua sektor terbabit,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Khaled yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu berkata, pemisahan Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti tersebut mampu melahirkan modal insan dan meningkatkan ekonomi yang berasaskan kepada inovasi dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat.

Sebagai latar belakang, JPPKK telah ditubuhkan pada 1 Januari 2005.

Jabatan ini bertanggungjawab ke atas 61 buah institusi yang terdiri daripada 24 buah politeknik dan 37 buah kolej komuniti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Jabatan ini terdiri daripada dua sektor utama dan tujuh Bahagian.

Sektor utama ini terdiri daripada Sektor Pengurusan Politeknik dan Sektor Pengurusan Kolej Komuniti serta Pusat Penyelidikan & Pembangunan Politeknik dan Kolej Komuniti.

JPPKK diwujudkan untuk menjadi peneraju dalam pendidikan dan latihan di peringkat separa profesional yang berkualiti dan bertaraf dunia serta pemangkin pembelajaran sepanjang hayat yang berkesan bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan negara.

Jabatan ini juga komited untuk memartabatkan pendidikan dan latihan politeknik dan kolej komuniti bagi memenuhi keperluan pembangunan modal insan melalui:

i) pengurusan yang stategik

ii) kurikulum yang relevan dan dinamik

iii) program latihan dan kerjaya yang efektif iv) penjaminan kualiti yang berterusan

v) khidmat sokongan yang mantap

vi) berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu Khaled juga berkata, KPT akan mewujudkan ‘sistem rating’di semua politeknik di negara ini untuk melihat kekuatan dan peranannya dalam melaksanakan proses transformasi kepada institusi tersebut.

“Ia merupakan satu usaha untuk meningkatkan taraf politeknik supaya mereka turut terlibat dalam soal pembangunan dan penyelidikan (R&D),” katanya.

Jelas beliau, perkara ini bagi menunjukkan kepada pelajar bahawa politeknik adalah satu aliran dan pilihan yang kukuh serta mempunyai kekuatan yang tersendiri selain daripada bidang akademik.

“Kita boleh lihat, pelajar selepas mereka tamat pengajian diploma mereka perlu masuk ke universiti untuk menyambung pengajian.

“Sudah tiba masanya untuk kita memikirkan satu sistem yang lengkap dalam pendidikan politeknik kepada para pelajar,” jelas beliau.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai kaedah yang sedang dirangka oleh kementeriannya.

Kata Khaled, beliau akan membentangkan perkara tersebut kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada semua pihak.

Pada ketika ini kira-kira 40 peratus daripada 85,000 pelajar sedang menuntut di politeknik di seluruh negara adalah di peringkat sijil.

“Dalam usaha transformasi politeknik kita akan cuba mengurangkan program pengajian di peringkat sijil supaya kita dapat meningkatkan tempat bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian di peringkat diploma dan diploma lanjutan.

“Kita merasakan sudah tiba masanya politeknik diangkat sebagai sebuah institusi yang memberi tumpuan kepada pengajian yang khusus dalam bidang kemahiran teknikal bagi memenuhi kehendak pasaran kerja. “Bagi pengajian berbentuk sijil dan kemahiran asas, saya lihat adalah lebih baik jika ianya diserahkan kepada Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dan Institut Kemahiran Mara (IKM),” katanya.

Mengenai penjenamaan semula Kolej Komuniti pula, Khaled berkata KPT akan memberi tumpuan kepada golongan belia yang tercicir daripada sistem pendidikan negara supaya mereka turut terlibat dalam industri kreatif.

“Dengan adanya pengurusan kolej komuniti yang kukuh kita dapat bangunkan potensi yang ada di kalangan anak-anak muda ini supaya mereka terlibat dalam bidang kreatif dan inovasi.

“Daripada mereka menjadi ‘Mat Rempit’, saya percaya ini merupakan satu peluang yang baik untuk mereka,” katanya.

Menurut beliau lagi, terdapat kira-kira 100,000 pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan negara pada setiap tahun.

“Dengan mereka mengikut kursus pendek selama dua atau tiga bulan mereka kemudiannya boleh membuka syarikat sendiri atau menyambung pengajian di peringkat diploma dan sebagainya...ini semua terpulang kepada mereka. Tapi kita (KPT) memberi peluang untuk mereka (golongan yang tercicir) ini,” katanya.

Ketika ditanya adakah langkah penjenamaan semula dan transdformasi kedua-dua institusi tersebut akan merombak struktur sistem pendidikan sedia ada, Khaled berkata: “Ini satu perkembangan yang tidak dapat dielakkan. Bidang akademik perlu melihat ke hadapan dan kita perlu bersiap sedia untuk memenuhi kehendak pasaran kerja pada ketika ini.”

mStar Online

Ahad, 4 Oktober 2009

Hari Raya

Hari raya telah berlalu. Jika di tempat ambo iaitu Kelantan, sambutan Idul Fitri hanyalah sekitar empat atau lima hari sahaja. Selepas itu sudah tiada aktiviti berkaitan hari raya. Masing-masing kembali kepada aktiviti seperti sebelum Ramadan. Namun apabila balik ke tempat ambo mencari rezeki, sambutan raya sedikit berbeza. Kebanyakan masyarakat di sini menyambutnya sehingga sebulan. Malah pada 30 Syawal masih ada yang buat sambutan raya, katanya penutup raya.

Kunjungan jiran ke rumah dan kunjungan balas balik menjadi acara tetap setiap tahun. Hari minggu penuh dengan aktiviti rumah terbuka. Mungkin ini adalah adat masyarakat di sini apabila tibanya Syawal. Agaknya kalau tiada Syawal, tiadalah kunjungan dari rumah ke rumah mahupun rumah terbuka. Walhal dalam Islam tidak dihadkan untuk menziarahi saudara mara atau jiran dan sahabat hanya pada bulan Syawal sahaja.

Apa-apapun, semoga kita terhindar daripada menjadikan amalan ini sebagai adat semata-mata. Berkunjunglah ke rumah jiran dan sahabat sebagai niat untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam dan buatlah aktiviti rumah terbuka sebagai sebahagian cara untuk bersedekah serta mengenyangkan mereka yang lapar. Semoga amalan kita diterima sebagai ibadat baik dalam bulan Ramadan, Syawal atau bulan-bulan Islam yang lain.