Khamis, 22 April 2010

Cukai

Seperti tahun-tahun lepas, tahun ini ambo sekali lagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pembayar cukai kepada negara. Tapi oleh kerana jumlah pendapatan ambo banyak yang ditolak, jadi tiada cukai dikenakan. Malah pihak terbabit perlu membayar kepada ambo kerana mereka telahpun memotongnya daripada ambo terlebih dahulu melalui Potongan Cukai Berjadual (PCB).

Walaupun ambo terlepas daripada membayar cukai pendapatan, beberapa cukai lain seperti cukai kenderaan, cukai tanah, cukai pintu dan cukai perkhidmatan telahpun ambo bayar. Semuanya ini dilakukan sebagai tanggungjawab seorang warganegara Malaysia dan ianya merupakan kewajipan setiap warganegara Malaysia tanpa mengira fahaman politik. Maksudnya mereka yang menyokong pembangkang juga membayar cukai kerana mereka adalah rakyat Malaysia, bukannya rakyat negara Brunei.

Jadi oleh kerana setiap warganegara membayar cukai, maka tidak patut bagi sesetengah pihak mendakwa bahawa kemajuan dan pembangunan yang berlaku adalah kerana ianya diperintah oleh sesebuah parti. Bayangkan jika parti yang memerintah tidak mendapat peruntukan melalui kutipan cukai daripada rakyat, sudah tentu sesuatu pembangunan itu terbantut.

Apa-apapun, ambo harap pihak LHDN dapat membayar balik dengan segera cukai terlebih bayar oleh ambo kerana dibimbangi duit tersebut dibelanjakan untuk tempat-tempat tertentu seperti membelanjakannya di Parlimen Hulu Selangor atau di Sibu sahaja walaupun Parlimen Pasir Mas turut memerlukan peruntukan hasil daripada cukai yang dibayar oleh setiap rakyat.