Sabtu, 10 Julai 2010

Himpunan plastik sampah terpanjang


MELAKA 9 Julai - Suasana di Politeknik Merlimau Melaka hari ini tidak sama seperti hari-hari lain apabila 5,200 warga pelajarnya berpusu-pusu ke padang ragbi kampus berkenaan. Namun ia bukan bagi meraikan hari sukan atau bersorak menyaksikan pertandingan Piala Dunia pada skrin layar. Sebaliknya mereka mempunyai aktiviti lebih besar dan bermakna kepada negara, iaitu misi untuk menyelamatkan dunia daripada ancaman ribuan bungkusan plastik yang mampu merosakkan bumi.

Hampir sebahagian rumput hijau di padang ragbi itu hari ini dilitupi ribuan bungkusan plastik berwarna warni sama ada yang digunakan sebagai bungkusan di pasar malam sehinggalah yang digunakan pasar raya besar, semuanya dikumpul di sini. Bagi mereka yang tidak tahu, pasti tertanya-tanya apakah yang sedang dilakukan warga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut terhadap himpunan plastik terpakai itu. Kelihatan ada kalangan mereka begitu bersungguh-sungguh mengikat dan menyambung plastik-plastik tersebut. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan merakam detik manis itu di telefon bimbit masing-masing sebagai kenang-kenangan.

Usaha tersebut merupakan sebahagian acara kempen kesedaran menyelamatkan bumi dikenali Politeknik Go Green-Cabaran Beg Plastik dengan mengumpulkan himpunan plastik sampah terbanyak oleh warga IPTA tersebut. Ketua Program Cabaran Beg Plastik, Armam Md. Said berkata, cabaran itu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu penghasilan sampah yang semakin banyak tetapi pada masa sama mempunyai pusat pelupusan yang terhad. Katanya, isu penggunaan plastik yang berlebihan dalam pembungkusan bukanlah perkara baru kerana sebelum ini pun, sudah terlalu banyak kempen kesedaran dilaksanakan oleh kerajaan, pihak swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Namun begitu masih ada antara kita yang menggunakan plastik secara berlebihan untuk membungkus sedangkan mereka sudah tahu plastik merupakan salah satu bahan yang tidak akan reput serta meninggalkan kesan buruk kepada bumi," katanya ketika ditemui pada kempen tersebut di sini hari ini.

Tambahnya, pada kempen tersebut, sebanyak 5,200 pelajar politeknik berkenaan berjaya mengumpulkan plastik bungkusan sepanjang lapan kilometer sekali gus mencatat rekod 'Himpunan Plastik Sampah Terpanjang' dalam Malaysia Book Of Records' (MBR). Menurut Armam, kempen yang dilancarkan sejak 27 April lalu itu telah mengumpulkan sejumlah 500,000 bungkusan plastik terpakai yang akan diserahkan kepada pusat kitar semula bagi tujuan pelupusan. "Paling penting, program sebegini akan memberi kesedaran kepada pelajar dan masyarakat sekeliling tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan menyelamatkan bumi. "Lihatlah saja hari ini, hanya dalam masa dua minggu ratusan bungkusan plastik berjaya dikutip," katanya. 

Tambahnya, cabaran tersebut juga menggalakkan pelajar berfikir dahulu sebelum menggunakan apa-apa bahan dalam kehidupan seharian. "Seperti yang giat dijalankan di pasar raya terkenal sewaktu ini dengan menggunakan beg yang boleh dipakai semula ketika membeli-belah, kami yakin Politeknik Merlimau Melaka juga mampu menjalankan amalan yang sama bagi memelihara bumi yang semakin terancam," katanya. Armam berkata, idea kempen cabaran plastik timbul setelah melihat kejayaan kempen cabaran sifar polisterina yang berlangsung pada 27 April lalu.