Rabu, 23 November 2016

Tin berbuah


Alhamdulillah, pokok tin yang sama tanam dah berbuah. Setakat ni baru sebiji yang keluar. Putik-putik buah yang lain masih kecil... Semoga ia terus membesar dan dapat merasa buah pertama yang ditanam ini.

Ahad, 13 November 2016

Anggur berbuah


Ini adalah buah anggur yang mula menampakkan diri setelah pokoknya ditanam lebih kurang setahun. Lepas buat prunning 2 minggu lepas, minggu ni agak teruja apabila melihat beberapa pucuk yang keluar terdapat buah selain daun-daun yang baru. Ini adalah kali pertama saya menanam pokok anggur dan pengalaman melihat buah anggur yang ditanam sendiri memang memberikan kepuasan tersendiri. Sekarang sedang mencari langkah-langkah untuk menjadikan buah anggur tersebut manis apabila dipetik kelak...

Khamis, 14 Julai 2016

Pokok Tin




Inilah pokok tin pertama dalam koleksi yang saya beli di Kolej Vokasional Rembau dari seorang kawan. Harganya RM35 untuk sepokok anak yang disemai melalui keratan batang. Pokok tin jenis ini adalah dari varieti Masui Dauphine (MD).


Ini adalah keadaan anak pokok yang dah berusia lebih kurang sebulan dari tarikh pembelian. Dari bekas semaian (bekas minuman) dipindahkan ke polybag. Belum diletakkan di bawah pancaran matahari lagi memandangkan anak pokok ini masih kecil.


Ini pula 2 lagi anak pokok yang baru dibeli di Seremban. Setiap satu bernilai RM50. Varietinya adalah Red Khutmani (RK) dan Masui Dauphine A (MDA). Dah dipindahkan ke dalam pasu. Sekarang tengah berkira-kira untuk menambah lagi beberapa varieti yang mudah dijaga dan cepat berbuah. Semoga pokok tin ini terus hidup dan mengeluarkan hasilnya.


Selasa, 17 Mei 2016

Politeknik Melaka

Setelah hampir 6 tahun berkhidmat di Politeknik Merlimau, kini saya kembali semula ke Politeknik Melaka yang menjadi tempat pertama saya menjawat jawatan sebagai kakitangan perkhidmatan awam. Dahulu namanya adalah Politeknik Kota Melaka, tapi sudah diubah menjadi Politeknik Melaka berikutan penjenamaan semula politeknik ini. Begitu juga Politeknik Kota Kuala Terengganu yang kini menjadi Politeknik Kuala Terengganu. 

Terbit rasa sedih semasa nak meninggalkan Politeknik Merlimau setelah 6 enam tahun bersama-sama sahabat di Jabatan Pengajian Am dan juga rakan-rakan di jabatan dan unit lain. Paling terasa adalah sahabat-sahabat di Pusat Islam yang selalu berjemaah terutama waktu zohor dan asar. Juga pelajar-pelajar Jawatankuasa Pelajar Pusat Islam yang banyak membantu dalam usaha dakwah menyemarakkan lagi syiar Islam di Politeknik Merlimau. Semoga kehadiran saya di Politeknik Melaka kali ini lebih bermakna untuk agama, negara dan bangsa.

Isnin, 29 Februari 2016

29 Februari



Alhamdulillah, dapat kembali meneruskan penulisan di blog ini setelah hampir setahun tiada sebarang tajuk yang tertulis. Hari ini adalah 29 Februari 2016. Tarikh pada hari ini hanya ada sekali untuk tempoh setiap 4 tahun. Istilahnya ialah tahun lompat. Bagi yang menyambut hari jadi pada 29 Februari, mereka hanya menyambutnya sekali sahaja untuk tempoh 4 tahun. Nak sambut hari jadi seterusnya tunggulah 4 tahun akan datang.

Jika dilihat kepada taqwim tahun Hijrah, tiada istilah tahun lompat. Tahun lompat hanyalah wujud dalam taqwim tahun Masihi. Mengikut taqwim ini satu tahun mengandungi 365 hari bagi tahun biasa dan 366 hari bagi tahun lompat. Taqwim ini berdasarkan kepada pergerakan Bumi mengelilingi Matahari. Tempoh satu peredaran lengkap Bumi mengelilingi Matahari adalah hampir 365.25 hari. Ia juga dinamakan satu tahun Suria. Dalam masa 4 tahun iaitu 4 kali peredaran lengkap Bumi mengelilingi Matahari, lebihan 0.25 hari akan menjadi 1 hari pada tahun ke 4 dan hari tersebut dimasukkan ke dalam bulan Februari dan menjadikan bulan Februari pada tahun lompat menjadi 29 hari. 

Walaupun seseorang yang lahir pada 29 Februari dapat menyambut hari jadinya hanya sekali untuk tempoh 4 tahun, tapi dalam takwim tahun Hijrah, dia masih boleh menyambutnya setiap tahun. Maka eloklah sekiranya kita beralih menyambut hari jadi atau bagi yang tidak ingin menyambut hari jadi, tapi sekadar untuk mengira pertambahan umur dari satu angka ke satu angka menggunakan tahun Hijrah sesuai dengan tuntutan Islam untuk menggunakan tahun Hijrah dalam setiap urusan kita, Sedangkan Maulid Rasulullah s.a.w (bagi yang berpandangan mengharuskan menyambut maulid) kita sambut berdasarkan tahun hijrah, jadi tiada salahnya kita menyambut hari jadi kita dengan tahun Hijrah.