Isnin, 24 November 2008

Nikmat sihat sebelum sakit

(Gambar hiasan)

Petang semalam ambo sempat menziarahi seorang jiran, Pok Yok yang sedang uzur kerana diserang strok. Umur beliau sekarang sudah menjangkau 89 tahun. Sudah lama ambo tidak menziarahinya disebabkan masa yang terbatas setiap kali balik ke kampung. Oleh kerana berpeluang untuk cuti bagi tempoh yang panjang (lepas ni entah dapat atau tidak lagi) jadi inilah kesempatan untuk ambo ziarah dan jenguk jiran-jiran serta saudara mara terdekat.

Sewaktu Pok Yok masih sihat, beliau berbasikal ke masjid setiap waktu. Jarang sekali beliau solat di rumah kerana setiap waktu termasuk waktu subuh, beliau tetap mengayuh basikalnya ke masjid. Semenjak beliau uzur, beliau tidak lagi menunaikan solatnya di masjid. Sehingga hari ini, hanya ada beberapa orang yang masih berbasikal ke masjid terutama yang tinggal agak jauh dari masjid, antaranya Pok Leh, Jali Doyoh dan Pok Yeh. Dulu ada seorang lagi yang selalu mengayuh basikal depan rumah ambo untuk ke masjid iaitu Tok Bilal Pok Ya, tapi setelah beliau meninggal, tinggallah Pok Leh seorang yang ambo nampak masih laju mengayuh basikal ke masjid.

Sewaktu ambo kecil-kecil dahulu, bila terseliuh sendi atau urat akibat bermain bola, Pok Yoklah antara tempat ambo pergi berurut selain Pok Kar. Tapi kini, nak bersalam dengan ambopun beliau tak dapat buat. Begitulah kitaran hidup yang akan berlaku kepada setiap manusia, sewaktu sihat macam-macam kita boleh buat. Bila dah uzur, segala-galanya terbatas. Masa muda macam-macam boleh makan, tapi bila dah tua dan uzur, hanya boleh makan benda-benda lembut sahaja. Isteri Pok Yok menceritakan, beliau hanya boleh makan nasi air, itu pun disuap secara perlahan-perlahan. Minum air pun kena suap seteguk-seteguk, tak boleh minum dalam gelas ataupun pakai straw.

Ketika ambo menziarahi Pok Yok petang semalam, beliau tidak boleh bercakap atau bergerak, hanya diam dan berbaring di atas katil. Sebenarnya beliau baru sahaja mendapat rawatan dari hospital dan setelah keadaannya agak baik, beliau dibenarkan pulang oleh doktor.

Sebelum ini ada beberapa orang yang ambo tak sempat nak ziarah. Antaranya arwah Tok Wan Deris, Pak Chu Kob, Tok Haji Junoh, Pok Soh Lori, Tok Bilal Pok Ya, Pakcik Hamat Pisah, Pakcik Daud Tukang Cat dan beberapa orang lagi. Hanya beberapa orang yang sempat ambo ziarah seperti arwah Cikgu Chekwen, Pak Do Ali dan Tok Imam Hj. Ibrahim. Semoga roh mereka berada bersama-sama para solihin. Buat Pok Yok, ambo doakan agar beliau cepat sembuh dan dapat menunaikan ibadat seperti biasa.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

aslkum,kawe dok ingat ko dia mati doh. demo ada maklumat mengenai buku mengenai solat yang saintifik hasil kajian oleh penyelidik um. buku tu masih baru. kawe tak pasti penerbit um keluar doh ko dok, cuba demo tanya sapo2. dok kg. sapa raya hj ko.dari ilias

Ibnu 'Uthman berkata...

Kawe pernah dengar buku tu. Mgkn ada kat pekan buku kot. Nati kawe tengok. Balik melaka lepas raya haji insyaAllah...