Ahad, 28 Disember 2008

Tahun Baru Hijrah

Setiap tahun kita menyambut ketibaan tahun baru hijrah. Dari angka satu sehingga sekarang sudah menjangkau kepada angka 1430. Kebanyakan daripada kita apabila berbicara tentang tahun baru, masing-masing menyatakan azam yang tersemat dalam diri. Walau apa jua azam yang kita tetapkan, semestinya ianya adalah untuk menambah baik azam yang sedia ada. Tahun baru ini juga mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah yang telah berlaku kepada Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu. Hijrah dari Mekah ke Madinah yang penuh cabaran berakhir dengan kejayaan apabila Islam terus berkembang sehingga ke hari ini.

Walaupun peristiwa hijrah sudah menjadi lipatan sejarah, namun maksud tersirat daripada peristiwa tersebut perlu menjadi pegangan setiap umat Islam. Jika tidak, tiada guna mengira perubahan angka yang berlaku setiap tahun. Hari ini, hijrah lebih diertikan kepada perubahan daripada yang tidak baik kepada yang baik. Di samping itu, hijrah hari ini juga adalah untuk mengubah daripada yang sudah baik kepada yang lebih baik dan lebih cemerlang. Antara yang boleh menjadi agenda hijrah ialah berusaha untuk menjadikan iman kita agar sentiasa meningkat kerana iman yang ada pada kita tidak tetap, iaitu boleh bertambah dan berkurang. Alangkah untungnya jika iman kita bertambah tahun demi tahun dan begitu juga sebaliknya, amatlah rugi jika iman kita semakin lama, semakin berkurang.

Disamping itu, tahun baru masihi juga akan disambut tidak lama lagi. Ramai para pemikir dan penganalisis terutama dalam perkara berkaitan ekonomi menjangkakan bahawa tahun hadapan situasi ekonomi akan mengalami kegawatan ekoran keadaan global yang tidak menentu. Namun sebagai orang Islam, kita tidak boleh lupa bahawa kita ada Allah yang Maha Kuasa. Jangan pula apabila ekonomi Barat mengalami kelumpuhan, maka kita turut menjadikan alasan bahawa kehidupan kita akan turut lumpuh. Jika kita beranggapan demikian, seolah-olah kita menjadikan Barat sebagai kuasa yang boleh menentukan segala-galanya keatas kita. Kita harus ingat bahawa Allah yang memberikan rezeki dan berkuasa ke atas segala-galanya. Jika kebergantungan kita sudah berubah kepada kuasa selain Allah, maka ianya dikhuatari akan menjejaskan syahadah yang menjadi pegangan umat Islam sekian lama. Semoga kita terhindar daripada berada dalam kelompok demikian.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430.

Khamis, 11 Disember 2008

Zoom: Bukit Bakar


Terletak di Jajahan Machang dan tidak jauh dari Bandar Machang iaitu kira-kira 7 km sahaja, kawasan perkelahan Hutan Lipur Bukit Bakar antara salah satu kawasan rekseasi yang boleh dikunjungi oleh pengunjung dalam dan luar negeri Kelantan ini. Hutan lipur ini tidaklah setanding dengan Hutan Lipur Jeram Linang yang terletak di Jajahan Pasir Puteh. Walau bagaimanapun ia sesuai dikunjungi oleh keluarga sebagai tempat beristirehat.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan seperti Taman Kanak-Kanak, pondok rehat, kolam mandi, jambatan gantung, tandas awam di samping sungai yang mengalir, kehijauan hutan hujan tropika serta flora dan fauna. Jadi sebagai memenuhi aktiviti hujung minggu dan sempena cuti sekolah ini, tempat ini sesuai untuk dikunjungi untuk mandi manda serta berehat bersama sanak saudara.


Jika di Jeram Linang, pengunjungnya agak ramai terutama pada cuti hujung minggu, namun di Bukit Bakar ini, pengunjungnya agak kurang sedikit. Tempat ini agak sesuai bagi mereka yang inginkan kedamaian tanpa gangguan pengunjung-pengunjung yang lain. Bagi mereka yang ingin mandi-manda, terdapat banyak kawasan yang disediakan sama ada untuk kanak-kanak, dewasa dan keluarga.



Keadaan dan suanana di Bukit Bakar ini hampir sama dengan mana-mana air terjun yang ada di tempat-tempat lain, cuma yang berbeza hanyalah tiada air terjun yang tinggi seperti yang ada di Jeram Linang, Jeram Pasu, Lata Tembakah dan lain-lain. Bagi yang mempunyai anak-anak kecil, tempat ini agak sesuai untuk membawa mereka bermain-main, tetapi perhatian ibu bapa masih diperlukan agar sebarang kemalangan yang tidak diingini dapat dielakkan.


Namun di sebalik kesunyian kawasan perkelahan ini, ia diambil peluang oleh remaja dan pemuda pemudi harapan bangsa untuk membawa kekasih bermadu asmara di atas pondok-pondok yang disediakan. Pandangan ini mencemarkan suasana di samping sampah sarap yang dibuang sesuka hati oleh mereka yang tidak ada rasa tanggungjawab kepada alam sekitar.

Jadi, selamat berkunjung ke Pusat Perkelahan Bukit Bakar, Machang, Kelantan.

Isnin, 8 Disember 2008

Hari Raya Haji


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillah al-Hamd. Takbir raya terus bergema sepanjang hari-hari tasyrik ini. Berbeza dengan sambutan Hari Raya Fitri, takbir raya hanya sehari sahaja walaupun sambutannya (oleh sesetengah pihak) sampai sebulan. Itulah kefahaman yang masih dan perlu disebarkan kepada masyarakat agar dapat menilai sesuatu ibadat mengikut nilai yang sebenar mengikut kacamata Islam.

Sempena dengan sambutan Hari Raya Adha ini, ramai yang terlibat dalam penyembelihan binatang-binatang korban seperti lembu, unta dan kambing. Walaupun sekadar berkorban haiwan ternakan, ia merupakan suatu pendidikan yang Islam ajar agar melihat pengorbanan lebih besar daripada itu. Nilai pengorbanan sebahagian daripada tujuh bahagian daripada seekor lembu atau seumpamanya tidaklah sebesar pengorbanan nabi Ibrahim ketika mengorbankan anaknya suatu waktu dahulu. Tapi apa yang perlu diambil perhatian ialah supaya nilai pengorbanan itu perlu disebarluaskan dalam bentuk-bentuk aktiviti kehidupan dan ibadah yang lain agar ianya benar-benar dapat dihayati.

Banyak contoh yang boleh diperhatikan dalam menilai makna pengorbanan ini tanpa mengira ianya kecil atau besar. Apa yang penting ialah nilai pengorbanan itu mestilah lahir dari hati yang ikhlas agar dinilai di sisi Allah sebagai suatu yang besar untuk bekalan di akhirat nanti. Lihat sahaja pengorbanan mereka yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh dan banglo ranap di Bukit Antarabangsa. Dalam waktu orang lain menyambut hari raya, para petugas bertungkus lumus berusaha bagi memastikan keadaan terkawal dan mereka yang ditimpa bencana mendapat bantuan. Ini memerlukan pengorbanan yang besar dalam menghadapi situasi demikian tatkala orang lain berada dalam keadaan senang lenang.

Pengorbanan juga akan lebih bermakna jika apa yang kita korbankan itu adalah datang daripada perkara yang kita sayang. Inilah yang benar-benar menguji seseorang dalam menjadikan erti pengorbanan itu sesuatu yang tinggi nilainya di sisi Allah. Tidak ramai yang mampu mengorbankan perkara yang disayangi untuk agama. Hanya mereka yang tebal imannya sahaja yang mampu berbuat demikian. Bagi yang nipis iman, cukuplah menyedekahkan pakaian yang dah lama, wang seringgit dua, makanan yang sayang untuk dibuang atau suruh orang lain berkorban sedangkan diri sendiri tidak berbuat demikian.

Namun, ianya terpulang kepada tahap dan kedudukan masing-masing. Cubalah yang terbaik dalam sebarang pengorbanan yang dilakukan. Kita boleh berkorban wang ringgit, masa, harta, buah fikiran, tenaga dan pelbagai macam lagi bentuk pengorbanan yang jika disenaraikan disini mungkin tidak cukup ruang. Persoalan utama adalah sejauh manakah kita bertindak dalam memastikan setiap perkara yang kita korbankan itu benar-benar untuk agama, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

Mudah-mudahan kita menjadi yang terbaik sempena hari raya korban ini.


Rabu, 26 November 2008

Pergi tak kembali


Pok Yok yang ambo ziarah 3 hari lepas telah meninggalkan dunia yang fana ini lewat petang semalam. Jenazahnya dikebumikan pada hari ini. Semoga roh Pok Yok berada di tempat yang mulia di alam barzakh sana.

Selasa, 25 November 2008

Kajian Pengesanan Graduan Susulan

Cadangan untuk mewujudkan Kajian Pengesanan Graduan Susulan telah lama dikemukakan. Akhirnya ianya terlaksana juga pada tahun ini. Semoga objektifnya tercapai dalam mendapatkan maklumat graduan seluruh negara dan memastikan graduan yang dihasilkan oleh IPT dalam dan luar negara benar-benar berguna untuk negara umumnya dan diri graduan itu sendiri khususnya.

Isnin, 24 November 2008

Nikmat sihat sebelum sakit

(Gambar hiasan)

Petang semalam ambo sempat menziarahi seorang jiran, Pok Yok yang sedang uzur kerana diserang strok. Umur beliau sekarang sudah menjangkau 89 tahun. Sudah lama ambo tidak menziarahinya disebabkan masa yang terbatas setiap kali balik ke kampung. Oleh kerana berpeluang untuk cuti bagi tempoh yang panjang (lepas ni entah dapat atau tidak lagi) jadi inilah kesempatan untuk ambo ziarah dan jenguk jiran-jiran serta saudara mara terdekat.

Sewaktu Pok Yok masih sihat, beliau berbasikal ke masjid setiap waktu. Jarang sekali beliau solat di rumah kerana setiap waktu termasuk waktu subuh, beliau tetap mengayuh basikalnya ke masjid. Semenjak beliau uzur, beliau tidak lagi menunaikan solatnya di masjid. Sehingga hari ini, hanya ada beberapa orang yang masih berbasikal ke masjid terutama yang tinggal agak jauh dari masjid, antaranya Pok Leh, Jali Doyoh dan Pok Yeh. Dulu ada seorang lagi yang selalu mengayuh basikal depan rumah ambo untuk ke masjid iaitu Tok Bilal Pok Ya, tapi setelah beliau meninggal, tinggallah Pok Leh seorang yang ambo nampak masih laju mengayuh basikal ke masjid.

Sewaktu ambo kecil-kecil dahulu, bila terseliuh sendi atau urat akibat bermain bola, Pok Yoklah antara tempat ambo pergi berurut selain Pok Kar. Tapi kini, nak bersalam dengan ambopun beliau tak dapat buat. Begitulah kitaran hidup yang akan berlaku kepada setiap manusia, sewaktu sihat macam-macam kita boleh buat. Bila dah uzur, segala-galanya terbatas. Masa muda macam-macam boleh makan, tapi bila dah tua dan uzur, hanya boleh makan benda-benda lembut sahaja. Isteri Pok Yok menceritakan, beliau hanya boleh makan nasi air, itu pun disuap secara perlahan-perlahan. Minum air pun kena suap seteguk-seteguk, tak boleh minum dalam gelas ataupun pakai straw.

Ketika ambo menziarahi Pok Yok petang semalam, beliau tidak boleh bercakap atau bergerak, hanya diam dan berbaring di atas katil. Sebenarnya beliau baru sahaja mendapat rawatan dari hospital dan setelah keadaannya agak baik, beliau dibenarkan pulang oleh doktor.

Sebelum ini ada beberapa orang yang ambo tak sempat nak ziarah. Antaranya arwah Tok Wan Deris, Pak Chu Kob, Tok Haji Junoh, Pok Soh Lori, Tok Bilal Pok Ya, Pakcik Hamat Pisah, Pakcik Daud Tukang Cat dan beberapa orang lagi. Hanya beberapa orang yang sempat ambo ziarah seperti arwah Cikgu Chekwen, Pak Do Ali dan Tok Imam Hj. Ibrahim. Semoga roh mereka berada bersama-sama para solihin. Buat Pok Yok, ambo doakan agar beliau cepat sembuh dan dapat menunaikan ibadat seperti biasa.

Sabtu, 22 November 2008

Semoga mendapat haji mabrur



Musim haji tiba lagi. Sudah lama tidak menghantar sanak saudara yang nak berangkat ke Mekah. Kali terakhir sewaktu nenek ambo ke Tanah Suci kira-kira berbelas-belas tahun yang lalu (sudah lupa berapa tahun). Kali ini ambo sekali lagi ke lapangan terbang Pengkalan Chepa kerana menghantar kedua-dua mertua ambo yang akan menunaikan fardhu haji tahun ini. Ambo harap diberikan rezeki yang melimpah agar ambo pun dapat sama-sama untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Buat semua jemaah haji tahun ini dan juga kedua-dua mertua ambo, semoga mendapat haji yang mabrur.

Rabu, 19 November 2008

Konvokesyen j-QAF


Tahniah kepada semua lulusan Kursus Perguruan Lepasan Siswazah KPLI j-QAF ambilan tahun 2007 yang telah dan sedang meraikannya dalam majlis konvokesyen yang sedang berlangsung dari 17 hingga 20 November 2008 di Putrajaya.

Buat isteri ambo yang berkursus di IPPM, Melaka, syabas dan tahniah kerana berjaya mendapat anugerah cemerlang kokurikulum dan cemerlang keseluruhan dalam kursus ini. Semoga khidmatmu kelak sebagai pendidik terhadap anak-anak bangsa akan sentiasa bersinar demi menggalas harapan masyarakat.

Juga buat adik ambo dari IPSM, Besut, Terengganu, tahniah kerana mendapat anugerah cemerlang akademik. Semoga dapat melahirkan pelajar yang cemerlang hasil dari keringat guru yang gemilang.

Jumaat, 31 Oktober 2008

Sukatan PTK

Setelah hampir setahun bertukar dari gred DG ke gred DH, akhirnya telah dikeluarkan sukatan terkini PTK untuk tindakan semua pemilih skim DH di JPPKK. Sukatan ini ada di laman web KPT menerusi alamat berikut: http://www.mohe.gov.my/webkpt_v2/ptk.php?lang=

Sebagai simpanan dan rujukan untuk ambo, ada baiknya disalin segala butir-butirnya sebagai panduan untuk masa depan.

SUKATAN PEPERIKSAAN PENILAIAN TAHAP KECEKAPAN (PTK) BAGI SKIM PERKHIDMATAN PEGAWAI PENDIDIKAN TINGGI (PPPT)

~ KUMPULAN PENGURUSAN DAN PROFESIONAL

Sukatan Peperiksaan dan Tahap Kecekapan (TK)

Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH41 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK1
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH41 (Pengurusan dan Pentadbiran) TK1
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH41/ DH42/ DH43 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK2
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH41/ DH42/ DH43 (Pengurusan dan Pentadbiran) TK2
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH43/ DH44/ DH47 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK3
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH43/ DH44/ DH47 (Pengurusan dan Pentadbiran) TK3
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH47/ DH48/ DH51 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK4
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH47/ DH48/ DH51 (Pengurusan dan Pentadbiran) TK4
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH51 /DH52 /DH53 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK5
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH51 /DH52 /DH53 (Pengurusan dan Pentadbiran) TK5
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH53 / DH54 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK6
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH53 / DH54 (Pengurusan dan Pentadbiran) TK6

~ KUMPULAN SOKONGAN

Sukatan Peperiksaan dan Tahap Kecekapan (TK)

Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH29 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK1
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH29/ DH31 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK2
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH31/ DH32/ DH33 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK3
Sukatan PTK Bagi PPPT Gred DH33/ DH34 (Pengajaran dan Pembelajaran) TK4

Rabu, 29 Oktober 2008

Minggu Ulangkaji

Minggu ini adalah minggu ulangkaji. Namun setakat ini masih banyak lagi sukatan untuk diulang dan untuk dikaji sedalam-dalamnya. Namun semoga apa yang diulang dan dikaji ini tidak hilang begitu sahaja apabila tamat peperiksaan nanti. Alangkah ruginya kalau ilmu hanya untuk waktu peperiksaan sahaja sedangkan jika bukan waktu peperiksaan, tiada usaha pengulangan dan pengkajian ilmu dijalankan. Semoga ambo tidak termasuk dalam golongan tersebut.

Selasa, 21 Oktober 2008

Tragedi Oktober di APUIM

Gambar dari Siasah Daily

Apabila ambo sampai APIUM pagi semalam, kelihatan kenderaan diletak di hampir setiap kaki lima jalan. Nak kata ada seminar atau apa-apa program rasmi, tak nampak pula kain rentang atau banting. Kemudian terlihat beberapa papan tanda yang menyatakan bahawa satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di sini. Bahagian belakang blok D yang dibina agak hampir dengan bukit telah mengalami kerosakan akibat ditimpa tanah yang runtuh. (Berita lanjut di Siasah Daily).

Kejadian tanah runtuh ini turut merosakkan sebahagian bangunan perpustakaan dan satu maklumat menyatakan bahawa hampir 90% buku-buku yang ada di dalam perpustakaan rosak atau tenggelam bersama-sama tanah yang runtuh tersebut.

Walaupun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku, namun kehilangan banyak kitab turath dan lain-lain amat memberi kesan kepada penuntut di sini. Antaranya ruang untuk mengulang kaji tidak dapat digunakan sedangkan peperiksaan sudah begitu hampir iaitu awal November nanti.

Kehilangan kitab-kitab turath terutama edisi Arab amat dirasai memandangkan kitab-kitab tersebut amat susah untuk diperolehi serta harganya yang agak mahal di negara ini. Mungkin ada banyak hikmah disebalik kejadian yang berlaku ini. Ia mengajar ambo agar mengunakan kitab-kitab turath sebagai rujukan utama dalam apa jua pengajian yang berunsurkan pengajian Islam. Jika kitab-kitab tersebut hanya terpamer kat rak-rak sahaja, maka jangan menyesal apabila ia 'ditarik balik' atau 'dihilangkan'.

Sama-sama kita fikirkan...

Jumaat, 10 Oktober 2008

Syawal

Dah hampir ke pertengahan syawal. Namun kemeriahan berhari raya masih bergema terutama di media-media utama. Lagu raya masih kedengaran dan terus diputar di hampir semua radio dan televisyen. Hari-hari minggu penuh dengan program kunjung mengunjung dan rumah terbuka. Kunjung mengunjung itu bagus, namun alangkah baiknya jika ianya diteruskan ke bulan-bulan selain Syawal. Rumah terbuka itu juga bagus, namun alangkah baiknya kalau bulan-bulan lain juga dibuat jamuan-jamuan kecil (kalau ada bajet).

Semoga hari raya seterusnya dapat disambut mengikut syariat yang Islam ajar agar ianya menjadi ibadat, bukan sekadar memenuhi adat semata-mata. Bagaimana pula sambutan untuk hari raya korban nanti? Sudahkah dicari lembu-lembu untuk dijadikan haiwan korban? Atau ayam itik untuk disembelih? Sama-sama pakat cari la ye...

Isnin, 29 September 2008

Dah nak berakhir

Ramadhan tinggal sehari lagi. Tidak seperti sewaktu zaman remaja dahulu, 10 malam terakhir banyak dihabiskan di Masjid al-Taqwa bersama-sama teman sekampung. Namun sudah lama kisah tersebut tidak diulangi sejak memasuki alam dewasa. Alangkah baiknya jika dapat istiqamah seperti waktu awal-awal remaja dahulu.

Semoga pembaca blog sekelian dapat bertemu laylat al-qadr. Selamat meneruskan puasa yang masih berbaki dan Salam 'Eid al-Fitri. Mohon maaf sama ada yang tersurat atau tersirat walaupun belum pernah bersua muka.

Kullu 'am wa antum bi khair.

Daripada ambo sekeluarga,

Wan Mohd Tarmizi, Suraiya dan Wan Umar Baihaqi
Kelantan Dar al-Na'im.

Isnin, 1 September 2008

Ramadhan Karim


Bulan Ramadhan datang lagi. Semoga ambo dapat menaik taraf segala amalan ambo mengikut standard yang Islam tetapkan. Amin.

Kepada seluruh warga blog, diucapkan selamat menjalani ibadat puasa pada tahun ini. Semoga satu bulan ini dapat mendidik jiwa dan nafsu untuk menghadapi 11 bulan akan datang sebelum tibanya Ramadhan seterusnya.

Ahad, 24 Ogos 2008

Promosi

IKLAN DAN BORANG PERMOHONAN PEMANGKUAN / KENAIKAN PANGKAT JAWATAN PEGAWAI PENDIDIKAN PENGAJIAN TINGGI (PPPT) KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

Iklan dan Borang Permohonan Pemangkuan / Kenaikan Pangkat Jawatan Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT) Kementerian Pengajian Tinggi Bagi:

Gred DH51/52 ke Gred DH54
Gred DH47/48 ke Gred DH52
Gred DH43/44 ke Gred DH48
Gred DH41/42 ke Gred DH44

(Untuk muat turun iklan dan borang sila klik pada Gred yang berkenaan)

PERHATIAN : TARIKH TUTUP PERMOHONAN 5 SEPTEMBER 2008

Sumber: http://www.mohe.gov.my/webkpt_v2/kenaikan_pangkat.php

Khamis, 21 Ogos 2008

Seminggu

Seminggu lamanya ambo habiskan cuti kali ini di kampung halaman. Walaupun harga minyak masih mahal, namun ambo tetap meneruskan perjalanan. Tugasan masih banyak yang belum siap, namun itu semua di letak kat tepi dahulu. Nampaknya bila dah balik nanti, ambo perlu berhempas pulas menyiapkan tugasan yang terbengkalai itu.

Jumaat, 8 Ogos 2008

Nombor 8

8, satu angka yang menjadi kegemaran masyarakat berbangsa Cina terutama yang menganut agama Budha. Golongan ini berpendapat angka ini mempunyai 'ong' atau tuah sehinggakan sanggup membayar berpuluh-puluh ribu semata-mata untuk menempah angka ini bagi nombor pendaftaran kenderaan.

Begitu juga dengan tarikh 080808 yang turut menjadi tarikh perasmian sukan Olimpik yang berlangsung di China. Malah ramai yang melangsungkan pelbagai acara seperti perkahwinan sempena dengan tarikh yang berangka 8 ini. Biarlah mereka dengan kepercayaan mereka kerana itulah ajaran yang terkandung dalam ajaran agama mereka.

Namun sebagai penganut agama Islam yang berakidahkan hanya kepada Tuhan yang satu, iaitu Allah s.w.t, semoga perkara ini terhindar daripada kepercayaan dan amalan kita. Jika tidak, dibimbangi ianya merosakkan iman kita kepadaNya.

Jumaat, 1 Ogos 2008

Bekas Pelajar PKM


Terbaca berita dalam Utusan Online yang bertajuk "Pemungut sampah jadi pemilik hotel" bertarikh hari ini agak membanggakan juga. Manakan tidak apabila tokeinya adalah merupakan bekas pelajar tempat ambo mencari rezeki. Ambo masih dalam keadaan yang sama sewaktu Saudara Sahar (tokei Hotel) menjadi pelajar di sana sehinggalah beliau menjadi bos ketika ini. Beliau kini sudah memiliki sesuatu yang agak mustahil untuk ambo miliki. Namun ambo anggap ini adalah rezeki masing-masing. Walaupun beliau sebelum hanyalah seorang pelajar peringkat sijil dan waktu itu ambo sudah memiliki ijazah, namun segala-galanya bergantung kepada usaha. Benarlah kata pepatah arab "Man jadda wajada", iaitu sesiapa yang berusaha maka dia akan beroleh sesuatu. Maka ambo kena kuatkan usaha demi perjuangan ambo di jalan Allah ini.

Ahad, 29 Jun 2008

Tanpa saksi...

Maksudnya:

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

(Surah An-Nur, ayat 4)

Untuk tafsiran dan huraian lengkap, rujuklah mana-mana kitab tafsir yang muktabar atau kitab fekah dalam tajuk Qazaf... Ambo hanya menyalin ayat berserta maksudnya sahaja. Semoga sistem pemerintahan di Malaysia yang mengamalkan Islam Hadhari dalam semua aspek turut 'Hadhari' dalam mempraktikkan segala panduan di dalam al-Quran dan al-Hadis terutama dalam aspek sistem perundangannya.

Sabtu, 28 Jun 2008

Pengajian Tinggi

Setelah 6 tahun keluar dari sebuah menara yang diibarat seperti gading gajah kerana betapa mahalnya untuk berada di sini, semalam ambo sekali lagi menjejakkan tayar kereta ke lembah ilmu ini. Kalau dahulu ambo berada di sini sebagai penuntut ilmu secara formal, kali ini juga masih berstatus demikian. Cuma kemasukan ambo kali ini adalah untuk mendapatkan sijil ditahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya.

Harapan ambo, bukan setakat sijil sahaja yang berstatus tinggi, ilmu pun demikian. Cuma ambo khuatir adakah ambo dapat selesaikan proses untuk mendapatkan sijil berkenaan mengikut tempoh yang ditetapkan memandangkan pengajian ambo kali ini adalah sepenuhnya dengan bantuan subsidi. Nampaknya ia sesuatu yang agak berat.

Namun langkah sudah dimulakan. Maka ambo akan terus melangkah walaupun harga minyak akan terus naik. Mengambil semangat minyak yang terus naik walaupun ada masa ianya turun, semangat ambo akan turut demikian walaupun mungkin kekadang ianya turun macam air hujan.

Rabu, 25 Jun 2008

Menundukkan Pandangan

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

(Surah An-Nur, ayat 30)

Satu artikel yang agak ringkas dalam Mingguan Wanita (Bil. 1283 bertarikh 20 Jun 08), menulis bahawa ada satu kajian yang dijalankan (sumber tidak dinyatakan) menunjukkan bahawa seorang lelaki boleh terbunuh apabila melihat wanita seksi. Alasannya apabila melihat wanita seksi, seorang lelaki itu perlu berusaha keras untuk menahan ghairah tanpa mampu melempiaskan hasratnya tersebut. Keadaan tersebut yang berterusan berlaku boleh menimbulkan pelbagai penyakit kepada lelaki termasuklah stres dan kanser prostat.

Artikel ini juga menyatakan bahawa pengkaji di Amerika Syarikat telah melakukan kajian selama 30 tahun. Hasilnya mereka mendapati bahawa 80 peratus lelaki berumur di atas 60 tahun meninggal kerana kanser prostat dan penyakit lainnya termasuklah kerana hasrat yang tidak dapat disalurkan. Selain itu didapati juga lelaki yang berusia 30 tahun memiliki gangguan impotens kerana tidak mencapai kepuasan seksual secara berterusan.

Inilah antara rahsia yang terkandung dalam sesuatu ayat al-Quran yang hanya akan terbongkar apabila kajian demi kajian dibuat keatas segala tindak tanduk manusia dan kejadian yang berlaku di sekelilingnya.

Isnin, 23 Jun 2008

Cuti dan Sidang Parlimen


Minggu ini ambo masih berada dalam mod bercuti. Semua staf yang terlibat dengan kerja pengajaran dan pembelajaran di politeknik menghabiskan nikmat bercuti ini dengan pelbagai aktiviti sebelum ianya berubah kepada bentuk cuti yang lain. Nikmat ini mula diperolehi sejak minggu lepas lagi dan akan berakhir pada 6 Julai 2008. Sesi seterusnya akan bermula 7 Julai 2008 dan pendaftaran pelajar baru ialah pada 6 Julai 2008. Jadi sambil menikmati cuti pada kali ini, ambo mengambil peluang untuk menonton siaran langsung Sidang Parlimen Mesyuarat Dewan Rakyat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke 12 yang bermula hari ini sehingga 15 Julai 2008. Oleh kerana RTM hanya menyiarkan siaran secara langsung ini hanya satu jam sahaja iaitu pada pukul 10 pagi hingga pukul 11 pagi sahaja, maka ambo terpaksa mencari alternatif lain untuk terus menonton siaran parlimen ini iaitu di internet yang beralamat di http://mppas.blogspot.com/.

Namun siaran di internet pada kali ini tidak selancar seperti sidang sebelum ini. Ianya beberapa kali terganggu. Apabila terbaca makluman yang dinyatakan oleh admin dalam laman tersebut iaitu kerana masalah 'bandwitch' yang menyebabkan pihak mereka terpaksa menghadkan jumlah pengguna kepada 300 sahaja, maka ambo mengikut nasihat yang dicadangkan dalam laman tersebut iaitu beralih ke saluran P2P (hanya melalui IE) untuk membolehkan ambo terus menonton siaran langsung ini. Tapi saluran tersebut juga kadang kala tersekat-sekat, namun lebih baik dari yang sebelumnya.

Pada pandangan ambo, jumlah penonton yang lebih ramai untuk sesi kali ini mungkin bertitik tolak daripada isu yang ingin dibangkitkan oleh sebuah parti dari Sabah iaitu untuk membawa usul undi tidak percaya kepada PM selain usul tentang penstrukturan semula subsidi minyak. Apa-apapun, pihak RTM seharusnya membuat satu siaran khas untuk sidang parlimen ini memandangkan pihak pembangkang iaitu PAS melalui laman web seperti yang nyatakan diatas boleh mengadakan siaran langsung walaupun kosnya dikatakan mahal oleh pihak kerajaan sebelum ini. Jika PAS iaitu sebuah parti pembangkang yang tidak mempunyai peruntukan yang besar boleh membuat siaran langsung ini, maka sudah tentulah pihak kerajaan yang mempunyai peruntukan melalui kutipan cukai dan pelbagai lagi hasil kerajaan boleh mewujudkan siaran langsung ini agar rakyat dapat menontonnya serta dapat menilai apa jua isu yang dibincangkan di parlimen.

Mungkin ada yang berpandangan peruntukan untuk siaran langsung ini memerlukan perbelanjaan besar selain isu subsidi yang banyak terpaksa ditanggung kerajaan pada waktu ini. Jika pihak RTM tidak mampu menyediakan siaran langsung ini dengan peruntukan sedia ada, pihak RTM boleh menjemput penaja daripada syarikat-syarikat besar dalam negara untuk bekerjasama dan seterusnya memberikan potongan cukai yang tinggi kepada syarikat tersebut berbanding jika mereka menaja program-program berbentuk hiburan atau sukan. Selain itu, siaran langsung ini juga perlu direbut oleh pihak ASTRO selain menyediakan siaran langsung EURO 2008, Sukan Olimpik dan lain-lain agar lebih ramai yang akan melanggan ASTRO.

Langkah lain yang boleh dilaksanakan ialah siaran langsung ini boleh juga disiarkan di laman web RTM. Ini sekaligus dapat menarik rakyat agar melawat lawan web RTM yang dimiliki kerajaan yang memerintah hari ini iaitu Barisan Nasional daripada melawat laman web pembangkang yang dimiliki Pakatan Rakyat. Tapi jika pihak kerajaan ingin rakyat memperolehi maklumat daripada laman web dan blog selain saluran rasmi kerajaan, maka cadangan ini tidak perlu diikut. Mungkin sudah cukup dengan rancangan yang sedia ada seperti Bersemuka Dengan Media, 60 Minit Bersama Menteri dan lain-lain.

Apa-apapun, selamat bercuti kepada rakan-rakan politeknik seluruh Malaysia. Yang terlibat dengan kerja-kerja di Unit Peperiksaan atau yang kena hadir KDC, selamat bertugas dan selamat belajar...

Ahad, 15 Jun 2008

Hari Keluarga


Amat beruntung dapat bekerja di sebuah institusi yang mempunyai kakitangan yang ramai serta berada di bawah satu pengurusan yang teratur lebih-lebih lagi dalam sektor kerajaan. Semalam ambo telah hadir satu program yang menjadi acara tahunan iaitu hari keluarga yang diadakan di Pantai Blue Lagoon, Port Dickson, inisiatif oleh Kelab Kebajikan PKM. Kalaulah ambo ini seorang penjual etok, mungkin suasana begini tidak akan ambo alami apatah lagi untuk menikmati pelbagai elaun dan kemudahan yang diberikan kepada semua kakitangan perkhidmatan awam.

Walaupun tidak semua yang hadir, namun usaha ini patut diteruskan memandangkan ianya adalah salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dikalangan keluarga staf. Cara ini juga dapat memberikan staf satu motivasi baru apabila semua yang hadir mendapat cabutan bertuah serta dapat melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama-sama.

Tanpa mengira apa jua aktiviti yang dilakukan, matlamatnya sama iaitu untuk memupuk semangat kekitaan di kalangan warga PKM tanpa mengira apa jua pangkat atau jawatan yang disandang. Pada hari inilah Pengarah, Timbalan, Ketua Jabatan dan semua kakitangan serta keluarga masing-masing bertemu, bermain dan berbincang apa jua isu termasuk soal harga minyak semasa.

Namun disebalik kemeriahan pelbagai acara yang dilakukan, masih ada staf yang tidak pernah hadir apa jua acara yang dianjurkan. Mungkin mereka mempunyai rancangan sendiri, namun pihak pentadbir perlu meneliti perkara ini agar setiap program yang dirancang dapat disertai oleh semua peringkat, agar matlamatnya dapat dinikmati oleh organisasi itu sendiri iaitu mempunyai kakitangan yang amanah dan berdedikasi serta dapat menyumbang kepada kemajuan negara. Ini bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan kakitangan kerajaan yang berintegriti dan berwawasan.

Semoga manfaat acara ini akan terus berpanjangan sehinggalah tiba hari keluarga seterusnya atau apa jua program yang melibatkan perhimpunan keluarga PKM.

Isnin, 9 Jun 2008

Akademi Nasyid

Agak ramai juga yang ingin menjadi penghibur kat negara ini. Mungkin telah ramai penghibur mendapat anugerah sehingga bergelar 'Datuk', maka berduyun-duyun anak-anak muda membanjiri apa jua program yang seumpama itu. Keadaan ini dapat dilihat semasa ambo menghadiri satu program yang dikendalikan oleh TV 9 iaitu Akademi Nasyid. Ambo ke tempat program berlansung (di Hotel Mahkota) sebagai memberi sokongan moral kepada beberapa orang pelajar yang menyertai audition untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Namun tiada seorangpun yang terpilih kerana saingan agak sengit, tambahan pula hanya 5 tempat kosong diperlukan berbanding peserta yang berpuluh-puluh orang yang hadir sama ada solo atau berkumpulan.

Jika nak dibandingkan dengan Akademi Fantasia, rasanya bilangan peserta yang ingin menyertai Akademi Nasyid tidaklah seramai program tersebut. Mungkin idea untuk mengadakan program ini lebih mirip kepada Akademi Fantasia. Namun oleh kerana arus dunia orang-orang muda hari lebih menjurus kearah hiburan (orang dulu pun sama gak), keadaan ini nak tak nak terpaksa diterima. Jika nak ditolak secara mendadak, mungkin mereka akan alami kejutan. Namun dalam keasyikan berhibur, panduan dan tatacara berhibur mengikut agama perlulah diberi perhatian agar perkara yang harus ini kekal harus tanpa membawa kepada unsur-unsur yang haram.

Apa-apapun, usaha TV 9 ini patut diteruskan kepada semua stesen radio dan televisyen seluruh Malaysia agar negara Malaysia yang dikatakan mengamalkan Islam yang bercorak Hadhari iaitu Islam yang maju dalam semua aspek turut hadhari dalam hiburan iaitu tidak mencampuradukkan unsur-unsur hiburan yang melaghakan serta dapat mendekatkan golongan muda terutamanya (golongan tua pun sama) agar takut kepada Rabbul Jalil. Umara’ dan ulama’ perlu berganding bahu dalam usaha ini bagi memastikan industri hiburan yang diamalkan perlu selari dengan konsep hadhari yang menjadi teras pegangan Islam pemimpin masa kini. Jangan hanya pandai menggunakan Islam kemudian meletakkan hadhari untuk tujuan tertentu sahaja. Biarlah Islam yang ingin ditegakkan bukan hadhari dalam aspek politik sahaja, malah hadhari dalam semua aspek termasuk hiburan.

Mungkin sebuah siaran televisyen di bawah RTM yang seakan radio IKIM patut diwujudkan bagi memberikan lebih banyak alternatif selain daripada TV 9. Lagipun TV 9 tidaklah memaparkan 100% rancangan yang bercorak Islam. Hanya beberapa rancangan yang barangkali lebih mirip rancangan stesyen TV ASTRO dan TV 3 seperti Akademi al-Quran, Akademi Nasyid, Halaqah dan lain-lain (kurang arif rancangan ASTRO kerana tidak melanggannya) agar rancangan ini dapat dinikmati secara percuma seperti Radio IKIM yang bersiaran secara percuma.

Jika pihak yang ada kuasa sudah menyediakan alternatif dan pilihan yang banyak program dan rancangan yang berunsurkan Islam, namun masih ramai yang terjerumus, mungkin kesalahan ini tidak patut diletakkan kepada mereka. Tapi jika kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi kegawatan sosial yang melanda umat hari ini, maka itu tentulah menjadi tanggungjawab mereka juga.

Khamis, 5 Jun 2008

Minyak naik

"Naik lagi". Itulah antara kata-kata dan luahan hampir setiap orang yang ditemui pagi ini. Mana tidaknya, kalau naik RM 0.30 sen pun dah terasa, inikan pula sehingga RM 0.78 sen. Seluruh Malaysia mengalami fenomena setiap kali pengumuman kenaikan harga minyak apabila kenderaan mula beratur di setiap stesyen minyak untuk mendapatkan harga yang murah sebelum jam 12 malam. Ada yang memaklumkan pukul 11.55 malam tadi, harga pada pam minyak sudah bertukar daripada RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter.

Hendak mengata atau mengutuk, mustahil harga minyak akan turun. Hendak mencemuh, pun sama keadaannya, pengumuman sudah dibuat. Tiada apa dapat dibuat untuk menurunkan harga minyak. Takkan nak telefon Presiden USA, George W. Bush suruh dia turunkan harga minyak di sana. Nak hantar sms kat dia pun, kosnya mungkin boleh isi separuh tangki motosikal ataupun lebih.

Mungkin bagi mereka yang berpendapatan dengan angka yang agak besar, tidak begitu terasa dengan kenaikan ini. Namun berapa ramai rakyat Malaysia yang memperolehi pendapatan melebihi RM 3000 sebulan. Rata-ratanya memperolehi pendapatan antara RM 1000 hingga RM 2500. Itu belum kira perbelanjaan harian dengan kos beras, minyak, tepung dan pelbagai keperluan harian yang sudah lama naik.

Sekadar memberi pendapat, mana tau ada yang terbaca dan sampaikan pada penggubal dasar agar boleh dipertimbangkan. Antaranya:

  1. Kurangkan atau hapuskan bayaran tol. Kalau harga minyak adalah berlandaskan kepada harga bahan api itu di pasaran dunia terutama di US, adakah kadar tol juga berdasarkan kadar tol di sana? Kerajaan perlu meneliti kembali perjanjian berkenaan konsesi dengan syarikat yang mengendalikan tol-tol di beberapa lebuhraya demi kepentingan rakyat. Begitu juga dengan tarif elektrik dan air, demi menjaga kepentingan semua terutama peniaga-peniaga yang terpaksa menaikkan harga barangan mereka untuk menampung kos modal yang meningkat. Demi memastikan harga roti canai dan nasi lemak tidak naik walaupun kos petrol naik, patut diturunkan harga atau kos beberapa perkara lain yang boleh mengurangkan beban kenaikan harga minyak.
  1. Menurunkan harga kenderaan. Apabila harga kenderaan diturunkan, bayaran bulanan semakin berkurang dan ini dapat mengimbangi harga bahan api yang semakin meningkat. Mungkin ada yang berpandangan, kalau harga kereta turun, maka ramailah yang akan membeli kenderaan. Tapi walaupun harga kereta agak mahal di negara kita, namun orang masih tetap membelinya. Buktinya kenderaan semakin banyak di jalan raya dan hasil kutipan tol semakin meningkat dari setahun ke setahun. Tiada bezanya kereta murah atau mahal, orang tetap beli sebab ia adalah keperluan. Jadi jika kerajaan dapat kurangkan beberapa cukai berkaitan dengan dengan kenderaan import seperti cukai eksais dan macam-macam, mungkin harga kenderaan nasional juga dapat dikurangkan bagi menyaingi harga kereta import. Proton dan Produa perlu berkorban demi rakyat, jangan hanya fikirkan keuntungan untuk poket syarikat sahaja, ingat orang-orang kat kampung juga, banyak pahala tu...
  1. Kurangkan aktiviti dan pengajuran sukan yang besar. Mungkin cadangan ini agak keterlaluan terutama bagi peminat sukan. Tapi demi kepentingan rakyat jelata, beberapa penganjuran sukan seperti SUKMA, Olimpik, F1 dan lain-lain boleh difikirkan semula agar peruntukan untuk program tersebut dapat disalurkan untuk semua rakyat. Jika kita menyertai aktiviti sukan luar negara atau penganjurannya dibuat di Malaysia, adakah ianya membawa keuntungan kepada semua rakyat Malaysia, atau hanya untuk satu golongan sahaja? Satu persoalan lagi, adakah dengan penganjuran sukan di negara ini, ia boleh membawa lebih ramai pelancong datang ke Malaysia? Adakah apabila Malaysia memenangi pingat emas di Olimpik, maka lebih ramai rakyat Zimbabwe atau orang-orang Eskimo akan datang melawat Melaka atau Kelantan? Stadium atau litar sedia ada boleh dibuka kepada semua untuk aktiviti riadah petang-petang.
  1. Kurangkan aktiviti-aktiviti mega yang menggunakan duit rakyat. Perhimpunan besar-besaran yang melibatkan belanja yang besar seperti kos menyewa dewan, makanan (walaupun terpaksa mengurangkan keuntungan pemilik syarikat catering), menyiapkan pentas, membuat gimik (satu gimik seperti tekan butang dan keluar asap dan dekat RM 2000) dan lain-lain boleh dianjurkan secara sederhana. Tidak perlu buat besar-besaran. Kalau ada apa-apa nak cakap, para pemimpin tak perlu buat program besar-besaran yang membazir, hanya panggil wartawan datang rumah atau pejabat dan minta sebarkan kat RTM, TV3 atau PAS TV je dan esoknya paparkan kat Utusan, Berita Harian atau Harakah. Dengan itu, segala perbelanjaan yang dapat dijimatkan dapat diagihkan kepada semua rakyat melalui subsidi kos minyak.
  1. Para pemimpin juga perlu dikurangkan gaji dan elaun mereka demi rakyat. Kalau betullah seorang pemimpin berkhidmat untuk rakyat, apa salahnya dikurangkan sedikit pendapatan bulanan untuk ditukar kepada subsidi minyak agar berkhidmat untuk rakyat benar-benar dapat diterjemahkan. Kalau nak suruh pemimpin pakai kereta kancil, mungkin tak munasabah bagi seorang pemimpin khususnya bagi seorang Menteri, tapi apa salahnya kalau itu dapat membantu rakyat.
  1. Menggunakan duit kerajaan hasil penjimatan daripada bebanan menanggung kos subsidi yang tinggi di semua tempat, bukan hanya di bandar-bandar besar sahaja. Biar manfaatnya diperolehi oleh semua rakyat termasuk mereka yang tinggal di luar bandar. Walaupun di luar bandar, aktivitinya tidak serancak di bandar, namun mereka di luar bandar tetap membayar harga minyak yang sama seperti di bandar. Jalan raya perlu dinaik taraf terutama jalan bagi motosikal yang menjadi angka tertinggi yang terlibat dalam kemalangan. Begitu juga pembinaan kemudahan awam seperti taman permainan, tandas awam, wakaf, surau dan lain-lain perlu menyeluruh di setiap tempat, bukan hanya di taman-taman perumahan sahaja. Surau-surau lama dinaik taraf semula tanpa perlu penduduk kampung meminta sumbangan mana-mana pihak, tetapi menggunakan duit hasil penjimatan kerajaan ini. Ini dapat sedikit sebanyak dapat menyejukkan hati terutama orang-orang Melayu walaupun hari ini mereka panas akibat kenaikan melampau harga minyak.
  1. Berjimat cermat. Islam sentiasa menyuruh umatnya berjimat cermat. Jadi, sama-samalah kita hidup dalam kesederhanaan tanpa mengira harga minyak naik atau turun.

Dan macam-macam lagi pendapat. Mungkin andapun ada pendapat, sama-sama kita utarakan dari rakyat untuk rakyat.


Ahad, 1 Jun 2008

Kahwin


Akhirnya kesemua bekas rakan serumah ambo masa bujang dulu dah ada teman hidup yang sah disisi syariat. Yang terakhir ialah En. A (asal Pengkalan Chepa) yang menamatkan zaman bujangnya semalam dengan seorang gadis pilihannya, Puan SS dari Pontian yang juga satu tempat kerja dengannya. Rombongan ambo yang menaiki bas politeknik bertolak dari Melaka sekitar jam 10 pagi dan tiba di Pontian (kira-kira 12km sebelum sampai Tanjung Piai) sekitar pukul 2.30 petang. Ketibaan rombongan kami ke majlis tersebut serentak dengan rombongan pengantin lelaki yang berarak diiringi paluan kompang. Alhamdulillah, walimatul urus yang ambo hadir kali ini tiada sebarang unsur-unsur jahiliah seperti nyayian, karaoke atau joget lambak.

Pelbagai perumpamaan dibuat berkenaan perkahwinan. Di sini ambo sekadar berkongsi salah satu perumpamaan untuk ditelaah bersama. Satu tunas yang diambil daripada baka yang baik dilekatkan pada pokok induk untuk menghasilkan buah yang bermutu. Apabila tunas tadi berada pada pokok induk, ia akan mengharapkan segala-galanya daripada pokok induk. Lama-kelamaan, ia akan melekat pada pokok induk dan menjadi seolah-olah satu dahan yang terhasil daripada pokok induk, walhal ia adalah tunas yang diambil daripada baka yang lain. Contoh pokok yang biasa dibuat proses pertunasan seperti pokok rambutan, langsat, duku, jambu dan lain-lain.

Apabila sudah berbuah nanti, pemilik pokok boleh melihat kualiti buah yang dihasilkan sama ada elok atau tidak. Namun jika tunas yang dipilih adalah daripada baka yang baik, tidak mustahil buah yang terhasil juga mahal harganya dan enak untuk dinikmati. Inilah ibarat dalam sebuah perkahwinan, pokok induk tadi umpama seorang suami manakala tunas umpama seorang isteri. Apabila dikahwinkan, pokok induk akan bertanggungjawab terhadap segala kehidupan tunas memandangkan tunas tadi sudah dipisahkan daripada bakanya. Ia tidak lagi mengharapkan apa-apa daripada bakanya kerana ia sudah terpisah, hanya mengharapkan sang induk untuk memberikannya satu kehidupan yang baru seterusnya menghasilkan buah atau anak-anak bagi sebuah pasangan yang berkahwin.

Perkahwinan ibarat menerima tanggungjawab. Jika sebelum ini tanggungjawab terhadap seorang perempuan adalah dipikul oleh walinya, maka apabila seorang lelaki yang tiada apa-apa ikatan menerima 'aqad daripada wali perempuan tersebut, maka tugas untuk menunaikan segala tanggungjawab sudah beralih kepada lelaki yang kini bergelar suami. Perkahwinan bukan sekadar memenuhi tuntutan batin atau untuk mengembangkan institusi keluarga, malah di sebalik perkahwinan itu mempunyai pelbagai hikmah dan rahsia sehinggakan banyak dalil yang menyeru seorang agar berkahwin apabila sudah bertemu pasangan. Malah kesempurnaan agama seseorang juga ada pada perkahwinan.

Kepada En. A, selamat pengantin baru. Mabruk ‘alaik…

Jumaat, 30 Mei 2008

Hari Ilmuan Islam

Aktiviti untuk bulan Mei bertambah lagi. Semalam kerajaan mengistiharkan 29 Mei setiap tahun sebagai hari Seniman. Untung juga jadi seniman, dapat penghargaan daripada kerajaan. Semoga hari Ilmuan terutama untuk Ilmuan Islam dapat diwujudkan juga bagi mengiktiraf penglibatan ulama' dalam masyarakat. Bukan tidak mengakui peranan seniman dalam dunia dakwah, namun mereka yang lebih ahli dalam berpesan-berpesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran hanyalah golongan yang beriman dan beramal soleh, tidak lain tidak bukan iaitu mereka yang hanya takut kepada Allah iaitu ulama'.

Selasa, 27 Mei 2008

Masuk Islam


Semalam sewaktu nak ambil wuduk untuk solat asar, terpandang seorang perempuan sedang membaca akhbar dibilik bacaan. Ingatkan staf baru lapor diri, sebab tak pernah nampak sebelum ini. Selesai sahaja buka stokin, seorang rakan sepejabat memanggil dan bertanyakan satu perkara berkaitan hukum agama. Sejak dua menjak ni, ada sahaja soalan-soalan pelik yang ditanya dikalangan rakan-rakan, pantang bertemu tak kira tengah jalan, tepi jalan, bawah jalan mesti nak tanya soalan pasal hukum hakam. Ada yang tanya arah kiblat surau, padahal tiap-tiap hari sembahyang kat situ, ada yang tanya pasal ubat habbatus sauda' (ingat ambo ni pengedar), ada yang tanya pasal maksud disebalik nama dan macam-macam soalan.

Berbalik kepada cerita rakan ambo tadi, soalan yang ditanyanya adalah berkaitan dengan tatacara yang perlu dilakukan oleh seseorang yang baru memeluk Islam. Agak berat nak jawab, maklumlah ilmu hanya kat buku, bukan kat dada. Ambo cuba jawab berdasarkan apa yang ambo tahu lebih kurang kerana kes-kes macam ni jarang dialami. Kali terakhir melihat sendiri non-muslim memeluk Islam adalah semasa ditahun 2 pengajian apabila seorang rakan dari Fakulti Sastera yang berasal dari Sabah memeluk Islam dihadapan ambo dan rakan-rakan selepas solat Isyak. Lafaz syahadah dilafazkan dihadapan seorang rakan ambo dan dia kemudiannya dibawa ke Perkim untuk urusan pendaftaran.

Ambo kemudian bertanya kenapa beria sangat bertanyakan soalan demikian. Katanya, adik angkatnya yang datang dari KL baru sahaja memeluk Islam sebentar tadi di pejabat agama bersaksikan seorang rakan dan dia sebagai kakak angkat. Kemudian dia menunjukkan kepada seorang wanita yang sedang membaca akhbar yang ambo lihat tadi. Itulah orangnya, katanya. Agak terkejut juga. Ingatkan saje-saje nak tanya, rupa-rupanya memang ada depan mata. Memang besar cabaran memegang 'title' ustaz terutama dikalangan orang awam. Kalau semasa berada sekolompok rakan-rakan sekuliah dulu, tak ambil kisah sangat sebab ramai yang lebih ustaz dari ambo.

Dia bercerita secara ringkas biodata adik angkatnya itu, tapi tak sempat nak tulis resume, hanya secara lisan. Katanya adik angkatnya berasal dari Sarawak dan sekarang tinggal di KL. Dia pernah memohon untuk memeluk Islam di KL, tapi prosedurnya yang agak rumit, jadi dia datang ke Melaka untuk memudahkan lagi urusannya. Tambahnya lagi, adik angkatnya kini sedang berbadan dua walaupun belum mendirikan rumah tangga. Dia pun tengah pening macam mana nak jaga dan menguruskan hal-hal seterusnya memandang adik angkatnya tiada saudara mara di Semenanjung. Ambo suruh dia kahwinkan dengan lelaki yang bertanggungjawab menduakan badan adik angkatnya itu, tapi lelaki tersebut masih belum matang lagi untuk menerima tanggungjawab sebagai suami. Ambo agak hairan, dalam bab menduakan badan orang, dia matang pula.

Kemudian ambo balik belek beberapa buah buku yang tak berapa banyak di perpustakaan mini rumah ambo. Tak banyak yang menyebut tentang hal ehwal dan perihal orang yang masuk Islam. Dalam Fiqh Sunnah, penerangannya berkisar kepada kewajipan mandi apabila memeluk Islam. Sebuah buku bertajuk "Fiqh Ibadah" dalam bahasa Indonesia ada menulis sedikit tentang hal ini. Dalam laman web pun tak jumpa banyak sangat. Rujuk laman web JAKIM atau PERKIM, tak jumpa apa-apa. Ada satu laman web dalam bahasa Indonesia yang menulis tentang hal ini. Sila klik di:http://mediabilhikmah.multiply.com/journal/item/41/. Laman web berbahasa Arab tak rujuk sebab tak nak tukar keyboard arabic. Ambo ke perpustakaan, agak lama mencari, baru terjumpa sebuah buku bertajuk "Membahas Kemusykilan Agama" oleh Prof. Dr. Hamka.

Dalam topik Syarat Orang Masuk Islam dan Ajaran Islam, dihuraikan satu pertanyaan berkenaan apakah yang wajib bagi seorang yang memeluk Islam lakukan. Untuk perkongsian bersama, buku ini menerangkan bahawa mualaf yang telah memeluk Islam tidak perlu dimandikan seperti yang dilakukan orang Kristian kerana dianggap seolah-olah meniru orang Kristian yang membaptiskan orang yang baru masuk Kristian. Maksudnya biarlah dia mandi sendiri. Dalam satu hadis riwayat Abu Daud dan Nasai, Rasulullah pernah menyuruh Qais bin ’Ashim yang datang kepada Rasulullah untuk memeluk Islam. Lalu Rasulullah menyuruhnya mandi dengan air yang dicampur dengan daun yang berbau harum. Dalam hal ini, ulamak berselisih pendapat, satu golongan mewajibkan mandi tanpa mengira mualaf tersebut dalam keadaan berjunub atau tidak dan satu lagi hanya mewajibkan mandi jika dalam keadaan berjunub, jika tidak hanya sunat untuk mandi.

Satu lagi ialah persoalan tentang berkhitan. Dalam sebuah hadis riwayat Khalal, berkhitan bagi lelaki adalah Sunah manakala bagi perempuan adalah satu kemuliaan. Jadi terpulang sama ada nak dikhitankan atau tidak. Namun perkara ini janganlah ditekankan sangat kerana para mualaf masih lagi mentah untuk menerima ajaran Islam secara sekaligus. Biarlah dia menerima perintah-perintah al-Quran dan Hadis satu persatu agar dia faham apa yang dibuatnya terutamanya bagi mereka yang kosong pengetahuannya tentang Islam sebelum ini. Jika sebelum peluk Islam mereka dah hafal Quran, itu lain pulak ceritanya. Bagi golongan ini, tak mustahil mereka akan lebih Islam daripada orang Islam apabila memeluk Islam.

Apa-apapun, cabaran dakwah amat besar. Belum lagi masuk hutan jumpa orang asli. Orang kat bandar pun macam-macam ragam...

Isnin, 26 Mei 2008

Tunggu surat


Alhamdulillah, setelah beberapa kali menyemak di laman web, pagi ini baru ambo rasa lega. Permohonan ambo untuk kemasukan Sesi Julai tahun ini sudah diterima. Sekarang hanya menunggu surat rasmi. Banyak lagi urusan belum selesai. Lepas ni kena buat pemeriksaan perubatan, hantar bermacam-macam borang ke bahagian biasiswa, urusan cuti dan lain-lain. Semoga dipermudahkan oleh Allah Taala.

Ahad, 25 Mei 2008

Naik rumah kawan

Semalam ambo ke Nilai memenuhi jemputan seorang kawan yang mengadakan majlis kesyukuran sempena menetap di rumah yang baru dibelinya berdekatan dengan tempat kerjanya. Dulu dia bekerja satu pejabat dengan ambo. Oleh kerana rezekinya agak baik, dia ditawarkan menjawat jawatan pensyarah di USIM (dulu KUIM) bersama-sama suaminya yang telahpun berkhidmat sebagai pensyarah di sana.

Agak besar rumahnya. Sebuah rumah teres 2 tingkat di lot yang paling hujung. Harga semasa dibeli ialah RM250,000. Itu belum ditambah dengan kos pengubahsuaian yang pada pengamatan ambo, rasanya dekat-dekat RM50,000.

Melihat kawan-kawan yang dah memiliki rumah sendiri, rasa teringin untuk turut membelinya. Namun oleh kerana rezeki ambo masih kat perantauan, niat untuk memiliki rumah idaman sendiri mungkin hanya akan dapat dipenuhi apabila usia dah hampir pencen. Itupun kalau dipanjangkan umur dan dapat balik berkhidmat di kampung sendiri atau sekurang-kurangnya di negeri sendiri. Buat masa ini, hanya berteduh di sebuah rumah sewa.

Khamis, 22 Mei 2008

Mesyuarat Tracer Study



Rasa-rasanya ini adalah mesyuarat terakhir yang ambo hadiri bersama-sama counterparts Tracer Study BPGA. Kali ini mesyuarat diadakan di Hotel Oriental Crystal, Kajang bermula Selasa hingga esok. Mesyuarat ini tidak seperti mesyuarat yang biasa dihadiri kerana hanya tajuk surat sahaja yang tertulis perkataan mesyuarat, namun isinya adalah sebuah bengkel yang berkait rapat dengan hasil kerja dalam BPGA.

Mesyuarat kali ini turut dihadiri hampir semua counterparts dari Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Kesemuanya hampir 60 orang. Sebelum ini hanya berjumpa dengan rakan-rakan dari politeknik, tapi apabila BPGA ditubuhkan, bilangan counterparts menjadi lebih besar kerana Kolej Komuniti seluruh Malaysia ada sebanyak 37 buah.

Sesi kali ini memfokuskan kepada bengkel untuk menyediakan sebuah penyelidikan yang lebih tersusun serta mengikut kaedah disiplin yang diguna pakai dalam sebuah penyelidikan. Sebelum ini kebanyakan counterparts hanya hentam keromo sahaja mengikut kaedah yang serasi dengan jiwa masing-masing. Mungkin disebabkan tidak ada kursus atau bengkel yang mengkhusus kepada kaedah penyelidikan yang sebenar, pihak BPGA menyusun bengkel-bengkel yang ada beberapa siri lagi agar gerak kerja selepas ini lebih baik daripada sebelumnya. Walau bagaimanapun, siri-siri seterusnya akan ambo hadiri jika berkesempatan.

Awal sesi dimulakan dengan pembentangan oleh Cik S yang mendedahkan beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh counterparts semasa menyediakan data kepada pihak KPTM. Katanya yang menguruskan lebih kurang 147 buah IPT seluruh Malaysia, jika nak melihat data secara teliti bagi setiap IPT, mungkin 'juling biji mata', jadi dia berkongsi cara bagaimana ingin melihat data sama ada betul atau salah menggunakan Microsoft Excel dan SPSS. Dia berharap agar selepas ini data yang diterimanya tidak banyak yang perlu diperbetulkan.

Sesi seterusnya ialah sesi bengkel kaedah penyelidikan dan asas SPSS yang disampaikan oleh Dr. R yang dijemput dari Fakulti Ekonomi, UM. Beliau dah beberapa kali hadir bersama-sama counterpart dalam mesyuarat sebelum ini. Beliau banyak terlibat dalam menjalankan kajian bersama KPT semasa Datuk M menjadi Menteri Pengajian Tinggi. Tugas tersebut masih dipegangnya walaupun Menteri Pengajian Tinggi sudah beralih kepada Datuk Seri MK. Banyak contoh yang beliau berikan terutama yang melibatkan kajiannya yang pernah dibuat yang tidak didedahkan dalam mana-mana penerbitan atau akhbar. Ambo akan cuba buat ulasan ringkas apa yang beliau sampaikan jika ada kesempatan masa dalam bahagian yang lain.

Berkenaan dengan software SPSS, ia adalah sebuah perisian yang digunakan untuk menjalankan penyelidikan yang melibatkan data yang besar dan untuk menghasilkan analisis yang mendalam terhadap sesuatu kajian. Walaupun dah beberapa kali mengikuti kursus seperti ini, penggunaan perisian ini yang amat jarang menyebabkan banyak langkah-langkah yang terlupa terutama apabila nak buat T-Test, Anova Test, Chi Square dan macam-macam lagi istilah dalam SPSS ini.

Walau bagaimanapun, penglibatan dengan dunia penyelidikan ini sedikit sebanyak mendedahkan ambo kepada ruang lingkup yang lebih besar apabila melihat sesuatu isu terutama yang melibatkan Kajian Pengesanan Graduan IPT. Tapi bagi mereka yang tiada minat, mungkin hal ini merupakan suatu yang boleh menyebabkan seseorang menghadapi 'migrain' kerana data yang dianalisis adalah melibatkan hampir semua graduan politeknik yang jumlahnya melebihi 20,000 orang.

Pn SJ selaku Pengarah BPGA yang turut hadir dalam bengkel ini banyak menyarankan agar semua counterparts menjadikan tugas sebagai pegawai pengesanan graduan sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang penyelidikan ini. Beliau mengharapkan satu hari nanti budaya penyelidikan ini menjadi kerja rutin setiap warga politeknik dan kolej komuniti selain mengajar dan menjalankan beberapa kerja sampingan yang lain.

Selamat maju jaya.

Selasa, 20 Mei 2008

Balik kampung

Alhamdulillah, perjalanan pergi dan balik dari Melaka-Kelate-Melaka dipermudahkan Allah Taala. Sepanjang 576km yang memakan masa lebih kurang 10 jam melalui lebuhraya PLUS-KL-Gua Musang, perjalanan agak memenatkan juga. Tapi kalau ikut Gemencih-Muadzam Shah-Bukit Besi rasanya lagi jauh. Mengikut perhitungan ambo jaraknya lebih kurang 612km. Namun dengan bantuan 'co-pilot' yang tersayang, sendi-sendi dapat direhatkan seketika. Sebelum itu, ambo singgah di UKM menjemput adik kepada 'co-pilot' yang ingin bersama-sama menyambut hari ibunya yang juga merupakan ibu mertua ambo.

Keadaan kampung sama seperti waktu ambo sebelum ini. Kali terakhir ambo balik adalah sewaktu PRU12 bulan Mac yang lalu. Ambo sempat menziarahi Tuan Imam kampung yang mengidap penyakit paru-paru berair kat hospital. Berduyun-duyun anak mukim datang melawat Tuan Imam yang mesra rakyat ini. Maklumlah, apa jua program terutama tentang nikah kahwin, kematian dan kenduri kendara, Tuan Imamlah tempat rujukan. Nasib baik kat kampung ambo tu ramai pelapis, tak de masalah nak cari pengganti untuk baca khutbah hari Jumaat. Hafiz al-Quran ada 4 orang, lulusan al-Azhar semuanya. Boleh gilir-gilir jadi imam dan baca khutbah. Semoga Pak Imam cepat sembuh.

Dalam masa yang sama, ambo menerima berita yang agak menyayat hati apabila seorang kawan sekelas semasa tadika meninggal dunia akibat penyakit yang ditakuti ramai. Dia terlibat dengan gejala yang tak mengenal siapa termasuk golongan profesional, artis, pelajar, penganggur dan orang biasa. Mula-mula cuba ' try test' ubat batuk, lama-lama dah menjadi 'pegawai perubatan tidak bertauliah' yang akhirnya membawa ke 'tiang dua'. Semoga penyakit yang diterimanya menjadi kaffarah segala dosa-dosanya semasa hidup.

Jumaat, 16 Mei 2008

Untungnya jadi cikgu

Macam-macam insentif untuk guru diumumkan PM sempena hari guru tahun ini. Nasib ambo sebagai PPPT bergred DH41 belum tau lagi. Kalau kat sekolah, mungkin berbungkus-bungkus hadiah diterima daripada pelajar, tapi kat politeknik hanya sms diterima. Tak pe lah, asalkan semua pelajar mengamalkan segala ajaran yang sahih serta dipanjangkan pula kepada orang lain, itu juga adalah hadiah buat ambo, bukan setakat masa hidup sahaja dapat hadiah, dah tak de kat dunia pun hadiah ini tetap diterima. Harap-harap beribu-ribu anak didik ambo tetap amal apa-apa yang baik.

Selasa, 13 Mei 2008

13 Mei

Kalau mengikut tarikh hijrah, dah lama berlalu, tapi kalau mengikut tarikh masihi, hari ini baru tiba waktunya. Semua insan mengharapkan dalam doa mereka agar diberikan kesihatan serta dipanjangkan umur untuk mempertingkatkan lagi kualiti amalan serta koleksi pahala untuk bekal akhirat nanti. Selain itu, ada juga yang memohon agar dikurniakan rezeki yang melimpah ruah oleh Allah S.W.T.

Walaupun demikian, dalam pertambahan usia ini, suatu perkara yang tidak harus dilupakan ialah kematian juga semakin hampir hari demi hari. Cuma waktu dan ketika yang sebenar dirahsiakan Allah untuk menguji siapakah antara hambanya yang benar-benar taat dan patuh serta istiqamah dalam menjalankan kewajipan sebagai seorang hamba dan khalifah.

Ahad, 11 Mei 2008

Ibu Bapa


Bab Berbuat Baik Terhadap Kedua Orang Tua:

1) Al-Quran
Maksudnya:

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.
(Surah al-Isra', ayat 24)

2) Al-Hadis

حدثنا ‏ ‏قتيبة بن سعيد بن جميل بن طريف الثقفي ‏ ‏وزهير بن حرب ‏ ‏قالا حدثنا ‏ ‏جرير ‏ ‏عن ‏ ‏عمارة بن القعقاع ‏ ‏عن ‏ ‏أبي زرعة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏قال ‏
‏جاء ‏ ‏رجل ‏ ‏إلى رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فقال من أحق الناس بحسن صحابتي قال ‏ ‏أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أمك قال ثم من قال ثم أبوك.

‏وفي حديث ‏ ‏قتيبة ‏ ‏من أحق بحسن صحابتي ولم يذكر الناس

Maksudnya:

Hadis ABu Hurairah r.a katanya:

Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W. lalu bertanya: Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik mungkin? Rasulullah S.A.W. bersabda: Ibumu. Beliau bertanya lagi: Kemudian siapa? Rasulullah S.A.W. bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya lagi. Kemudian siapa? Rasulullah S.A.W. bersabda: Kemudian ibumu. Beliau terus bertanya lagi. Kemudian siapa? Rasulullah S.A.W. bersabda: Kemudian ayahmu.

Hadis dalam Sahih Muslim, nombor 4621.

______________________________________

“Ya Allah, ampunilah dosa ambo, dan dosa kedua ibu bapa ambo, dan kasihanilah mereka berdua sepertimana mereka telah mengasuh ambo sejak kecil lagi”

Sabtu, 10 Mei 2008

Hari Falak/Astronomi Negeri Melaka 2008


Kalau tengok pada tentatif program, pukul 9.30 pagi ada ceramah oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, tapi beliau tak dapat hadir dan diganti dengan Kapten Dr. Faiz Khaleed dan sesi ini ditunda pada pukul 2 petang. Sampai je, masuk dewan untuk sesi perasmian oleh Ketua Menteri Melaka.

Masa tengok surat dan pamplet yang diterima, nampak macam hebat. Tapi bila dah sampai, hanya ada beberapa pemamer sahaja. Bahan pameran pun tidaklah secanggih mana. Kalau nak banding dengan Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam yang pernah ambo hadiri kat KLCC tahun lalu, amat jauh sekali bezanya. Apapun, satu usaha yang baik dilakukan oleh Jabatan Mufti Negeri Melaka dalam mendekatkan masyarakat kepada ilmu falak yang menjadi rujukan terutama dalam bab penentuan beberapa ibadah dalam Islam.

Dalam majlis perasmian, KM Melaka memaklumkan bahawa di Melaka akan dibina satu lagi kompleks seumpama Kompleks Falak al-Khawarizmi yang bertempat di Ayer Keroh. Selain itu juga, beliau mengalu-alukan kepada sesiapa yang mempunyai kepakaran dalam membuat animasi untuk menghasilkan sama ada filem atau dokumentari di pusat animasi yang dibuka secara percuma berdekatan MITC, Ayer Keroh.

Ambo balik sebelum sempat mendengar dan berjumpa dengan angkasawan negara. Semoga lain kali peluang ini tiba lagi.


Jumaat, 9 Mei 2008

Hari-hari di bulan Mei

Bulan Mei dah masuk beberapa hari. Sudah banyak aktiviti dan majlis yang telah dilaksanakan. Antara tarikh-tarikh yang menjadi sambutan tahunan pada bulan Mei tahun 2008:

01 Mei - Hari Pekerja (Cuti umum)
03 Mei - Hari Kebebasan Akhbar
04 Mei - Hari Bomba
08 Mei - Hari Bulan Sabit Merah
09 Mei - Hari Belia Negara
11 Mei - Hari Ibu (Hari Ahad ke dua Bulan Mei Tahun 2008)
11 Mei - Hari Ibu ambo dilahirkan
12 Mei - Hari Jururawat
13 Mei - Hari Ibu ambo melahirkan ambo
16 Mei - Hari Guru
15 Mei - Hari Keluarga Kebangsaan
16 Mei - Hari Guru
17 Mei - Hari Telekom
19 Mei - Hari Wesak (Cuti umum lagi)
22 Mei - Hari Bio-Diversity
29 Mei - Hari Seniman
31 Mei - Hari Tanpa Tembakau Sedunia

Dan beberapa lagi peristiwa yang tak termasuk dalam senarai di atas. Selain itu, bulan Mei juga menjadi Bulan Perpaduan yang akan disambut pada 25 Mei 2008 nanti.


Rabu, 7 Mei 2008

Konvokesyen


Hari ini, 7 Mei 2008 Konvokesyen ke tujuh Politeknik Kota Melaka. Pagi-pagi lagi semua staf berkumpul di MITC, masing-masing menjalankan tugas yang diamanahkan. Ambo tidak terkecuali daripada kerja-kerja tersebut. Cumanya kali ini tugas ambo agak ringan berbanding tahun-tahun lepas.

Kajian Pengesanan Graduan 2008 juga semakin meningkatkan peratusnya berbanding semalam. Sehingga hari ini, sebanyak 73% graduan yang menyertai kajian ini. Meningkat 2 peratus daripada tahun lepas. Walaupun tidak banyak, kira ok la tu. Sahabat-sahabat ambo di tempat lain ada yang sampai 91%. Entah ilmu apa yang dipakai sehingga boleh mencapai ke angka itu. Kena banyak belajar lagi ni...

Ahad, 4 Mei 2008

Tak ke mana-mana

Alhamdulillah, minggu ni ambo dapat merehatkan diri daripada terkejar sana sini setelah minggu-minggu sebelumnya agak sibuk sedikit. Walaupun minggu ni tak ke mana-mana, tugasan dan kuiz masih banyak yang belum bertanda dengan dakwat merah.

Soalan ujian akhir pun belum siap-siap lagi. Minggu depan agak sibuk juga. Majlis konvokesyen yang ke tujuh dah nak tiba. Tinggal 2 hari saja lagi. Persiapan bahagian ambo masih belum sepenuhnya disempurnakan. Harap-harap semuanya berjalan lancar.

Setakat ini, Kajian Pengesanan Graduan baru menunjukkan 59% penyertaan daripada graduan yang menjawab soal selidik tersebut. Walhal dah diumpan dengan cabutan bertuah namun peratusnya masih rendah.

Sekadar inilah dulu, lebih-lebih pun bukannya kerja semakin berkurang, malah banyak yang tertangguh gara-gara nak 'update' blog.

Ahad, 27 April 2008

Minggu Saham Amanah Malaysia


Setelah seminggu berlangsung, baru semalam ambo sempat menghadiri Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang diadakan di MITC, Ayer Keroh pada tahun ini. Dari Kompleks Belia dan Sukan, ambo singgah sekejap untuk melihat sambil meninjau apa yang menarik di sana.

Pengunjung agak ramai juga, tapi sesi pendaftaran tidak perlu beratur terlalu lama. Setiap pengunjung perlu mendaftar jika ingin mendapatkan cenderamata dan mengambil bahagian dalam e-Peraduan yang menawarkan hadiah yang agak menarik. Pengunjung perlu menjawab beberapa soalan dan jawapannya hanya ada di tapak pameran sahaja.

Kunjungan ambo kali ini amat bertuah, bukan kerana menang dalam e-Peraduan, tetapi berpeluang melihat anugerah yang ada pada adik Adi Putra di pentas utama. Sebelum ini ambo hanya membaca dan mendengar kisah Adi Putra di media semasa. Namun kali ini dapat melihat sendiri kehebatannya menghafal 31 angka dalam masa lebih kurang 2 hingga 3 minit. Ambo sempat menyalin nombor yang dihafal oleh Adi Putra. Jika sesiapa dapat mengingatinya, mungkin anda juga seorang yang memiliki bakat anugerah Ilahi seperti yang dimiliki Adi Putra. Ini nombornya: 2 5 3 8 7 2 1 0 9 5 6 4 3 1 6 1 0 8 9 7 6 3 1 8 5 8 2 7 8 1 5.

Sebelum itu, ayahnya memberi peluang kepada hadirin jika mampu mengingat nombor-nombor tersebut dalam masa 3 minit dengan hadiah sebanyak RM200. Tiada siapa berani mencuba termasuk ambo. Kemudian Adi Putra memperlihatkan bakatnya dengan menyebut nombor-nombor tersebut satu persatu tanpa ada sebarang kesalahan. Kemudian Adi Putra diminta untuk menyebutnya dari belakang pula. Seperti dijangkakan, Adi Putra dapat mengingatinya walaupun terdapat 2 kesalahan. Sebelum itu, Adi Putra meminta hadirin menegurnya dengan menyebut perkataan salah jika dia tersalah menyebut angka yang tertulis pada papan putih.

Sesi ini banyak dikendalikan oleh ayah Adi Putra. Cuma sekali sekala Adi Putra mencelah bila diminta ayahnya untuk mengulas. Adi Putra ada memberikan beberapa tips, antaranya cuba elakkan menggunakan mesin kira (kalkulator) kerana ianya boleh merosakkan urat pada otak (akibat kurang berfikir) dan elakkan daripada menaip sms kerana ianya boleh merosakkan bahasa.

Dalam sesi ini Adi Putra turut memberikan beberapa formula matematik ciptaannya. Ia berkenaan penggunaan sepuluh angka menggunakan otak kanan dan otak kiri serta kaedah penolakan angka. Hanya 2 formula yang diberikan untuk sesi yang terhad ini.

Pada ambo, pihak berwajib seharusnya menggunakan aset negara (seperti yang dinyatakan ayahnya) semanfaat mungkin kerana ianya adalah anugerah Ilahi untuk negara ini. Ambo khuatir kerana jika Allah nak tarik nikmat ini, sekejap sahaja Dia mampu berbuat demikian. Menurut ayah Adi Putra, banyak pihak memandang Adi Putra sebagai aset untuk mendapatkan keuntungan, sebagai contoh ada pihak ingin membukukan formula Adi Putra, tapi hanya sedikit sahaja yang ikhlas, jadi Adi Putra tidak mahu bekerjasama dengan mereka yang hanya nakkan keuntungan dunia untuk kepentingan diri sendiri. Adi Putra ingin kongsikan anugerah yang dimilikinya untuk seluruh ummah.

Pernah ayah Adi Putra meminta wartawan salah sebuah akhbar utama negara untuk diadakankan satu ruangan dalam mana-mana bahagian akhbar sekurang-kurangnya sekali seminggu, namun wartawan tersebut menyatakan tugasnya hanya menulis kisah Adi Putra. Untuk mewujudkan permintaan Adi Putra tersebut, wartawan itu meminta bertemu dengan bosnya. Bila jumpa bosnya, mestilah bosnya berbincang daripada aspek keuntungan. Lalu Adi Putra menolaknya.

Sama-samalah kita mengharapkan agar suatu hari nanti anak-anak indigo (Istilah yang digunakan oleh Faisal Tehrani dalam novel Detektif Indigo) diberi perhatian agar kemunculannya di Malaysia dapat dimanfaatkan untuk orang-orang Islam seluruh dunia.

Hari Politeknik

Semalam, 26 April 2008 ambo menghadiri sambutan Hari Politeknik peringkat Politeknik Kota, Melaka yang disambut di Dataran Sejarah Ayer Keroh. Sambutan ini dibuat setiap tahun bersempena tarikh perletakan batu asas penubuhan politeknik pertama iaitu Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak.

Seperti biasa, Pengarah dijemput untuk merasmikan sambutan kali ini. Pengarah turut membacakan teks perutusan Timbalan Ketua Pengarah SPP yang menjadi amalan setiap tahun. Agak panjang juga teks yang dibaca. Seperti biasa, isinya adalah berkaitan dengan visi dan misi serta perancangan dan harapan JPPKK kepada politeknik dalam melahirkan modal insan untuk kerancakan pembangunan dan kemajuan negara.

Namun sedikit kekesalan timbul kerana perhatian para pendengar tidak ke arah teks yang dibaca. Pelajar dan hadirin bercakap sesama sendiri dan ada yang membelek-belek telefon, mungkin membaca sms yang baru diterima dari rakan bertanyakan khabar di penghujung minggu.

Mungkin pendekatan lain perlu difikirkan agar apa jua sambutan dan program yang dilaksanakan tidak membazirkan wang dan masa serta dapat memberikan impak positif selaras dengan penggunaaan begitu banyak wang rakyat terutama oleh agensi-agensi kerajaan yang bermodalkan cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat dan pendapatan hasil bumi dalam negara.

Selesai upacara perasmian, program diteruskan dengan acara sukan di Komleks Belia dan Sukan yang berada tidak jauh dari Dataran Sejarah. Ambo sempat menghabiskan 2 perlawanan bola tamparmewakili staf PKM melawan pelajar. Sakit segala urat saraf kerana sudah lama tidak aktif bersukan. Hari ini semakin terasa ketegangan urat saraf kerana tak buat apa-apa aktiviti regangan otot sebelum atau selepas bermain.

Khamis, 24 April 2008

Kursus Persediaan


Bertempat di Hotel Summit, Subang, ambo telah menghadiri Kursus Persediaan Bagi Tenaga Pengajar Politeknik dan Kolej Komuniti yang akan menyambung pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah tahun 2008 bermula 21 April dan berakhir hari ini.

Kursus ini merangkumi perkara-perkara seperti persediaan untuk mengikuti kursus, taklimat biasiswa, kaedah penyelidikan, taklimat memohon tempat, forum berkenaan pengalaman mereka yang pernah menambung pengajian dan amanat Dato' KP.

Dato' KP dalam amanatnya mengharapkan agar bila tamat nanti, semua penerima HLP akan terus menyumbang kepada pembangunan dan masa depan JPPKK agar satu hari ini JPPKK berada tinggi rendah sama dengan IPT yang ada di negara ini. Jangan pula nak lari dan menumpahkan sumbangan di universiti tanpa membalas jasa kepada JPPKK.

Bila beliau mengatakan bahawa duit biasiswa yang diberikan adalah duit yang kerajaan terima daripada rakyat, terasa beratnya tanggungjawab yang perlu digalas terutama selepas tamat belajar nanti. Mungkin seronok dapat biasiswa ni, gaji penuh, dapat elaun lagi dan tak perlu fikir soal nak masuk kelas atau nak buat kerja-kerja pengurusan, tapi bila ingat ianya adalah duit rakyat, baik buat pakai duit sendiri. Tapi kalau nak pakai duit sendiri, entah bila boleh buat ditambah dengan tugas-tugas sampingan yang tidak habis-habis (selagi belum pencen).

Sendiri mau ingat la...

Ahad, 20 April 2008

Program Bersama JKA


Semalam dan hari ini ambo ke Pantai Padang Kamunting, Pengkalan Balak daerah Masjid Tanah bersama dengan JKA untuk program motivasi dan Hari Keluarga JKA. Kuliah Maghrib berjalan dengan selamat, namun kuliah subuh terpaksa di'cut' kerana angin yang kuat dan hujan renyai-renyai membasahi ambo dan para jamaah lain.

Beberapa buah khemah turut diterbangkan oleh angin, namun tiada sebarang musibah yang agak membahayakan. Seronok juga sekali sekala berjamaah menghadap laut yang seluas mata memandang. Betapa kerdilnya diri bila melihat luasnya laut ciptaanNya dan betapa banyaknya ilmuNya bila melihat air laut yang tak pernah-pernah surut.

Sabtu, 19 April 2008

Bersama YADIM


Malam tadi ambo dengan seorang kawan telah ke Lakeview Training Center, Rawang, tak jauh dari Universiti Industri Selangor kat Batang Berjuntai mengiringi pelajar yang menyertai kem kepimpinan anjuran YADIM. Bertolak dari Melaka jam 5.30 petang dan tiba semula di Melaka jam 2.00 pagi (pergi sekejap je, hari ni ada program lagi).

Perjalanan ke kem memakan masa hampir 4 jam kerana pekena 'buah langsat' dan sedikit 'roti disapu jem strawberry'. Program ini adalah tawaran pihak YADIM kepada para pelajar dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh YADIM kecuali pengangkutan. Hasil perbincangan dengan beberapa sukarelawan al-Falah, program ini akan diteruskan lagi dengan penubuhan sahabat sukarelawan al-Falah di tempat pengajian masing-masing.

Pelbagai pendapat berkenaan YADIM diutarakan oleh sesetengah pihak, namun bagi ambo, asalkan pelajar-pelajar yang tamat program ini dapat penuhkan lima waktu solat setiap hari adalah satu yang amat bermakna memandangkan pelajar-pelajar tempat ambo ni amat liat terutama bab-bab solat apatah lagi solat jamaah..

Selasa, 15 April 2008

Melaka Kini

15 April, negeri Melaka cuti umum sempena Hari Pengistiharan Melaka Bandaraya Bersejarah. Tahun ini sudah masuk ulang tahun yang kelima. Sudah hampir enam tahun ambo tinggal kat Melaka ni. Entah bila ambo dapat balik negeri sendiri. Mungkin orang lain tak kisah tinggal lama-lama kat negeri orang, tapi ambo kalau boleh hari ini juga nak balik ke kampung halaman atau sekurang-kurangnya ada dalam negeri sendiri.

Bukannya apa, semua tahu bila ada kat tempat orang, ianya tidak sama dengan tempat kita. Hebat macam mana sekalipun tempat itu, tempat asal juga menjadi pujaan. Itu pendapat ambo, pendapat orang lain mungkin tidak sedemikian.

Walau apa pun, pengalaman tinggal di Melaka ini suatu yang berharga kerana jika nak dibeli, memang tak ada orang jual.

Ahad, 13 April 2008

Pesta Buku Antarabangsa KL 2008


Semalam ambo sempat melalui beberapa buah gerai di Pesta Buku Antarabangsa KL. Namun sesi kali ini tidak dapat disempurnakan sepenuhnya kerana hanya sempat membeli beberapa buah buku sahaja. Membawa bersama sikecil adalah untuk mendidik budaya cintakan tempat-tempat demikian. Tapi kerana dia masih belum faham apa-apa, asyik nak berlari sana sini, sekejap nak didukung, kemudian nak sambung berlari lagi dan macam-macam lagi. Pengunjung pula sesak sehingga terpaksa beratur panjang untuk membayar hanya sebuah majalah.

Tahun depan kena buat strategi lain pula. Tahun depan kena tambah lagi kuantiti buku. Tahun depan lambat lagi. Ada 12 bulan lagi untuk jualan murah buku musim 2009.

Jumaat, 11 April 2008

Dutch Lady


Anak ambo minum susu Dutch Lady. Ambo nak tukar kepada susu lain secara serta merta, nanti perut sikecil meragam. Perut sikecil bukan macam perut ayahnya, bukan boleh minum susu sebarangan. Jadi ambo tak dapat nak boikot barang-barang keluaran Belanda terutama susu Dutch Lady 123. Namun demikian, pada ambo, umat Islam sendiri perlu kuat pegangannya kerana yahudi akan sentiasa buat hal kat Islam selagi Islam tak tunduk kepada mereka. Entah apa lagi mereka nak buat lepas ni...