Ahad, 29 Jun 2008

Tanpa saksi...

Maksudnya:

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

(Surah An-Nur, ayat 4)

Untuk tafsiran dan huraian lengkap, rujuklah mana-mana kitab tafsir yang muktabar atau kitab fekah dalam tajuk Qazaf... Ambo hanya menyalin ayat berserta maksudnya sahaja. Semoga sistem pemerintahan di Malaysia yang mengamalkan Islam Hadhari dalam semua aspek turut 'Hadhari' dalam mempraktikkan segala panduan di dalam al-Quran dan al-Hadis terutama dalam aspek sistem perundangannya.

Sabtu, 28 Jun 2008

Pengajian Tinggi

Setelah 6 tahun keluar dari sebuah menara yang diibarat seperti gading gajah kerana betapa mahalnya untuk berada di sini, semalam ambo sekali lagi menjejakkan tayar kereta ke lembah ilmu ini. Kalau dahulu ambo berada di sini sebagai penuntut ilmu secara formal, kali ini juga masih berstatus demikian. Cuma kemasukan ambo kali ini adalah untuk mendapatkan sijil ditahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya.

Harapan ambo, bukan setakat sijil sahaja yang berstatus tinggi, ilmu pun demikian. Cuma ambo khuatir adakah ambo dapat selesaikan proses untuk mendapatkan sijil berkenaan mengikut tempoh yang ditetapkan memandangkan pengajian ambo kali ini adalah sepenuhnya dengan bantuan subsidi. Nampaknya ia sesuatu yang agak berat.

Namun langkah sudah dimulakan. Maka ambo akan terus melangkah walaupun harga minyak akan terus naik. Mengambil semangat minyak yang terus naik walaupun ada masa ianya turun, semangat ambo akan turut demikian walaupun mungkin kekadang ianya turun macam air hujan.

Rabu, 25 Jun 2008

Menundukkan Pandangan

Maksudnya:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

(Surah An-Nur, ayat 30)

Satu artikel yang agak ringkas dalam Mingguan Wanita (Bil. 1283 bertarikh 20 Jun 08), menulis bahawa ada satu kajian yang dijalankan (sumber tidak dinyatakan) menunjukkan bahawa seorang lelaki boleh terbunuh apabila melihat wanita seksi. Alasannya apabila melihat wanita seksi, seorang lelaki itu perlu berusaha keras untuk menahan ghairah tanpa mampu melempiaskan hasratnya tersebut. Keadaan tersebut yang berterusan berlaku boleh menimbulkan pelbagai penyakit kepada lelaki termasuklah stres dan kanser prostat.

Artikel ini juga menyatakan bahawa pengkaji di Amerika Syarikat telah melakukan kajian selama 30 tahun. Hasilnya mereka mendapati bahawa 80 peratus lelaki berumur di atas 60 tahun meninggal kerana kanser prostat dan penyakit lainnya termasuklah kerana hasrat yang tidak dapat disalurkan. Selain itu didapati juga lelaki yang berusia 30 tahun memiliki gangguan impotens kerana tidak mencapai kepuasan seksual secara berterusan.

Inilah antara rahsia yang terkandung dalam sesuatu ayat al-Quran yang hanya akan terbongkar apabila kajian demi kajian dibuat keatas segala tindak tanduk manusia dan kejadian yang berlaku di sekelilingnya.

Isnin, 23 Jun 2008

Cuti dan Sidang Parlimen


Minggu ini ambo masih berada dalam mod bercuti. Semua staf yang terlibat dengan kerja pengajaran dan pembelajaran di politeknik menghabiskan nikmat bercuti ini dengan pelbagai aktiviti sebelum ianya berubah kepada bentuk cuti yang lain. Nikmat ini mula diperolehi sejak minggu lepas lagi dan akan berakhir pada 6 Julai 2008. Sesi seterusnya akan bermula 7 Julai 2008 dan pendaftaran pelajar baru ialah pada 6 Julai 2008. Jadi sambil menikmati cuti pada kali ini, ambo mengambil peluang untuk menonton siaran langsung Sidang Parlimen Mesyuarat Dewan Rakyat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke 12 yang bermula hari ini sehingga 15 Julai 2008. Oleh kerana RTM hanya menyiarkan siaran secara langsung ini hanya satu jam sahaja iaitu pada pukul 10 pagi hingga pukul 11 pagi sahaja, maka ambo terpaksa mencari alternatif lain untuk terus menonton siaran parlimen ini iaitu di internet yang beralamat di http://mppas.blogspot.com/.

Namun siaran di internet pada kali ini tidak selancar seperti sidang sebelum ini. Ianya beberapa kali terganggu. Apabila terbaca makluman yang dinyatakan oleh admin dalam laman tersebut iaitu kerana masalah 'bandwitch' yang menyebabkan pihak mereka terpaksa menghadkan jumlah pengguna kepada 300 sahaja, maka ambo mengikut nasihat yang dicadangkan dalam laman tersebut iaitu beralih ke saluran P2P (hanya melalui IE) untuk membolehkan ambo terus menonton siaran langsung ini. Tapi saluran tersebut juga kadang kala tersekat-sekat, namun lebih baik dari yang sebelumnya.

Pada pandangan ambo, jumlah penonton yang lebih ramai untuk sesi kali ini mungkin bertitik tolak daripada isu yang ingin dibangkitkan oleh sebuah parti dari Sabah iaitu untuk membawa usul undi tidak percaya kepada PM selain usul tentang penstrukturan semula subsidi minyak. Apa-apapun, pihak RTM seharusnya membuat satu siaran khas untuk sidang parlimen ini memandangkan pihak pembangkang iaitu PAS melalui laman web seperti yang nyatakan diatas boleh mengadakan siaran langsung walaupun kosnya dikatakan mahal oleh pihak kerajaan sebelum ini. Jika PAS iaitu sebuah parti pembangkang yang tidak mempunyai peruntukan yang besar boleh membuat siaran langsung ini, maka sudah tentulah pihak kerajaan yang mempunyai peruntukan melalui kutipan cukai dan pelbagai lagi hasil kerajaan boleh mewujudkan siaran langsung ini agar rakyat dapat menontonnya serta dapat menilai apa jua isu yang dibincangkan di parlimen.

Mungkin ada yang berpandangan peruntukan untuk siaran langsung ini memerlukan perbelanjaan besar selain isu subsidi yang banyak terpaksa ditanggung kerajaan pada waktu ini. Jika pihak RTM tidak mampu menyediakan siaran langsung ini dengan peruntukan sedia ada, pihak RTM boleh menjemput penaja daripada syarikat-syarikat besar dalam negara untuk bekerjasama dan seterusnya memberikan potongan cukai yang tinggi kepada syarikat tersebut berbanding jika mereka menaja program-program berbentuk hiburan atau sukan. Selain itu, siaran langsung ini juga perlu direbut oleh pihak ASTRO selain menyediakan siaran langsung EURO 2008, Sukan Olimpik dan lain-lain agar lebih ramai yang akan melanggan ASTRO.

Langkah lain yang boleh dilaksanakan ialah siaran langsung ini boleh juga disiarkan di laman web RTM. Ini sekaligus dapat menarik rakyat agar melawat lawan web RTM yang dimiliki kerajaan yang memerintah hari ini iaitu Barisan Nasional daripada melawat laman web pembangkang yang dimiliki Pakatan Rakyat. Tapi jika pihak kerajaan ingin rakyat memperolehi maklumat daripada laman web dan blog selain saluran rasmi kerajaan, maka cadangan ini tidak perlu diikut. Mungkin sudah cukup dengan rancangan yang sedia ada seperti Bersemuka Dengan Media, 60 Minit Bersama Menteri dan lain-lain.

Apa-apapun, selamat bercuti kepada rakan-rakan politeknik seluruh Malaysia. Yang terlibat dengan kerja-kerja di Unit Peperiksaan atau yang kena hadir KDC, selamat bertugas dan selamat belajar...

Ahad, 15 Jun 2008

Hari Keluarga


Amat beruntung dapat bekerja di sebuah institusi yang mempunyai kakitangan yang ramai serta berada di bawah satu pengurusan yang teratur lebih-lebih lagi dalam sektor kerajaan. Semalam ambo telah hadir satu program yang menjadi acara tahunan iaitu hari keluarga yang diadakan di Pantai Blue Lagoon, Port Dickson, inisiatif oleh Kelab Kebajikan PKM. Kalaulah ambo ini seorang penjual etok, mungkin suasana begini tidak akan ambo alami apatah lagi untuk menikmati pelbagai elaun dan kemudahan yang diberikan kepada semua kakitangan perkhidmatan awam.

Walaupun tidak semua yang hadir, namun usaha ini patut diteruskan memandangkan ianya adalah salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dikalangan keluarga staf. Cara ini juga dapat memberikan staf satu motivasi baru apabila semua yang hadir mendapat cabutan bertuah serta dapat melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama-sama.

Tanpa mengira apa jua aktiviti yang dilakukan, matlamatnya sama iaitu untuk memupuk semangat kekitaan di kalangan warga PKM tanpa mengira apa jua pangkat atau jawatan yang disandang. Pada hari inilah Pengarah, Timbalan, Ketua Jabatan dan semua kakitangan serta keluarga masing-masing bertemu, bermain dan berbincang apa jua isu termasuk soal harga minyak semasa.

Namun disebalik kemeriahan pelbagai acara yang dilakukan, masih ada staf yang tidak pernah hadir apa jua acara yang dianjurkan. Mungkin mereka mempunyai rancangan sendiri, namun pihak pentadbir perlu meneliti perkara ini agar setiap program yang dirancang dapat disertai oleh semua peringkat, agar matlamatnya dapat dinikmati oleh organisasi itu sendiri iaitu mempunyai kakitangan yang amanah dan berdedikasi serta dapat menyumbang kepada kemajuan negara. Ini bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan kakitangan kerajaan yang berintegriti dan berwawasan.

Semoga manfaat acara ini akan terus berpanjangan sehinggalah tiba hari keluarga seterusnya atau apa jua program yang melibatkan perhimpunan keluarga PKM.

Isnin, 9 Jun 2008

Akademi Nasyid

Agak ramai juga yang ingin menjadi penghibur kat negara ini. Mungkin telah ramai penghibur mendapat anugerah sehingga bergelar 'Datuk', maka berduyun-duyun anak-anak muda membanjiri apa jua program yang seumpama itu. Keadaan ini dapat dilihat semasa ambo menghadiri satu program yang dikendalikan oleh TV 9 iaitu Akademi Nasyid. Ambo ke tempat program berlansung (di Hotel Mahkota) sebagai memberi sokongan moral kepada beberapa orang pelajar yang menyertai audition untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya. Namun tiada seorangpun yang terpilih kerana saingan agak sengit, tambahan pula hanya 5 tempat kosong diperlukan berbanding peserta yang berpuluh-puluh orang yang hadir sama ada solo atau berkumpulan.

Jika nak dibandingkan dengan Akademi Fantasia, rasanya bilangan peserta yang ingin menyertai Akademi Nasyid tidaklah seramai program tersebut. Mungkin idea untuk mengadakan program ini lebih mirip kepada Akademi Fantasia. Namun oleh kerana arus dunia orang-orang muda hari lebih menjurus kearah hiburan (orang dulu pun sama gak), keadaan ini nak tak nak terpaksa diterima. Jika nak ditolak secara mendadak, mungkin mereka akan alami kejutan. Namun dalam keasyikan berhibur, panduan dan tatacara berhibur mengikut agama perlulah diberi perhatian agar perkara yang harus ini kekal harus tanpa membawa kepada unsur-unsur yang haram.

Apa-apapun, usaha TV 9 ini patut diteruskan kepada semua stesen radio dan televisyen seluruh Malaysia agar negara Malaysia yang dikatakan mengamalkan Islam yang bercorak Hadhari iaitu Islam yang maju dalam semua aspek turut hadhari dalam hiburan iaitu tidak mencampuradukkan unsur-unsur hiburan yang melaghakan serta dapat mendekatkan golongan muda terutamanya (golongan tua pun sama) agar takut kepada Rabbul Jalil. Umara’ dan ulama’ perlu berganding bahu dalam usaha ini bagi memastikan industri hiburan yang diamalkan perlu selari dengan konsep hadhari yang menjadi teras pegangan Islam pemimpin masa kini. Jangan hanya pandai menggunakan Islam kemudian meletakkan hadhari untuk tujuan tertentu sahaja. Biarlah Islam yang ingin ditegakkan bukan hadhari dalam aspek politik sahaja, malah hadhari dalam semua aspek termasuk hiburan.

Mungkin sebuah siaran televisyen di bawah RTM yang seakan radio IKIM patut diwujudkan bagi memberikan lebih banyak alternatif selain daripada TV 9. Lagipun TV 9 tidaklah memaparkan 100% rancangan yang bercorak Islam. Hanya beberapa rancangan yang barangkali lebih mirip rancangan stesyen TV ASTRO dan TV 3 seperti Akademi al-Quran, Akademi Nasyid, Halaqah dan lain-lain (kurang arif rancangan ASTRO kerana tidak melanggannya) agar rancangan ini dapat dinikmati secara percuma seperti Radio IKIM yang bersiaran secara percuma.

Jika pihak yang ada kuasa sudah menyediakan alternatif dan pilihan yang banyak program dan rancangan yang berunsurkan Islam, namun masih ramai yang terjerumus, mungkin kesalahan ini tidak patut diletakkan kepada mereka. Tapi jika kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi kegawatan sosial yang melanda umat hari ini, maka itu tentulah menjadi tanggungjawab mereka juga.

Khamis, 5 Jun 2008

Minyak naik

"Naik lagi". Itulah antara kata-kata dan luahan hampir setiap orang yang ditemui pagi ini. Mana tidaknya, kalau naik RM 0.30 sen pun dah terasa, inikan pula sehingga RM 0.78 sen. Seluruh Malaysia mengalami fenomena setiap kali pengumuman kenaikan harga minyak apabila kenderaan mula beratur di setiap stesyen minyak untuk mendapatkan harga yang murah sebelum jam 12 malam. Ada yang memaklumkan pukul 11.55 malam tadi, harga pada pam minyak sudah bertukar daripada RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter.

Hendak mengata atau mengutuk, mustahil harga minyak akan turun. Hendak mencemuh, pun sama keadaannya, pengumuman sudah dibuat. Tiada apa dapat dibuat untuk menurunkan harga minyak. Takkan nak telefon Presiden USA, George W. Bush suruh dia turunkan harga minyak di sana. Nak hantar sms kat dia pun, kosnya mungkin boleh isi separuh tangki motosikal ataupun lebih.

Mungkin bagi mereka yang berpendapatan dengan angka yang agak besar, tidak begitu terasa dengan kenaikan ini. Namun berapa ramai rakyat Malaysia yang memperolehi pendapatan melebihi RM 3000 sebulan. Rata-ratanya memperolehi pendapatan antara RM 1000 hingga RM 2500. Itu belum kira perbelanjaan harian dengan kos beras, minyak, tepung dan pelbagai keperluan harian yang sudah lama naik.

Sekadar memberi pendapat, mana tau ada yang terbaca dan sampaikan pada penggubal dasar agar boleh dipertimbangkan. Antaranya:

  1. Kurangkan atau hapuskan bayaran tol. Kalau harga minyak adalah berlandaskan kepada harga bahan api itu di pasaran dunia terutama di US, adakah kadar tol juga berdasarkan kadar tol di sana? Kerajaan perlu meneliti kembali perjanjian berkenaan konsesi dengan syarikat yang mengendalikan tol-tol di beberapa lebuhraya demi kepentingan rakyat. Begitu juga dengan tarif elektrik dan air, demi menjaga kepentingan semua terutama peniaga-peniaga yang terpaksa menaikkan harga barangan mereka untuk menampung kos modal yang meningkat. Demi memastikan harga roti canai dan nasi lemak tidak naik walaupun kos petrol naik, patut diturunkan harga atau kos beberapa perkara lain yang boleh mengurangkan beban kenaikan harga minyak.
  1. Menurunkan harga kenderaan. Apabila harga kenderaan diturunkan, bayaran bulanan semakin berkurang dan ini dapat mengimbangi harga bahan api yang semakin meningkat. Mungkin ada yang berpandangan, kalau harga kereta turun, maka ramailah yang akan membeli kenderaan. Tapi walaupun harga kereta agak mahal di negara kita, namun orang masih tetap membelinya. Buktinya kenderaan semakin banyak di jalan raya dan hasil kutipan tol semakin meningkat dari setahun ke setahun. Tiada bezanya kereta murah atau mahal, orang tetap beli sebab ia adalah keperluan. Jadi jika kerajaan dapat kurangkan beberapa cukai berkaitan dengan dengan kenderaan import seperti cukai eksais dan macam-macam, mungkin harga kenderaan nasional juga dapat dikurangkan bagi menyaingi harga kereta import. Proton dan Produa perlu berkorban demi rakyat, jangan hanya fikirkan keuntungan untuk poket syarikat sahaja, ingat orang-orang kat kampung juga, banyak pahala tu...
  1. Kurangkan aktiviti dan pengajuran sukan yang besar. Mungkin cadangan ini agak keterlaluan terutama bagi peminat sukan. Tapi demi kepentingan rakyat jelata, beberapa penganjuran sukan seperti SUKMA, Olimpik, F1 dan lain-lain boleh difikirkan semula agar peruntukan untuk program tersebut dapat disalurkan untuk semua rakyat. Jika kita menyertai aktiviti sukan luar negara atau penganjurannya dibuat di Malaysia, adakah ianya membawa keuntungan kepada semua rakyat Malaysia, atau hanya untuk satu golongan sahaja? Satu persoalan lagi, adakah dengan penganjuran sukan di negara ini, ia boleh membawa lebih ramai pelancong datang ke Malaysia? Adakah apabila Malaysia memenangi pingat emas di Olimpik, maka lebih ramai rakyat Zimbabwe atau orang-orang Eskimo akan datang melawat Melaka atau Kelantan? Stadium atau litar sedia ada boleh dibuka kepada semua untuk aktiviti riadah petang-petang.
  1. Kurangkan aktiviti-aktiviti mega yang menggunakan duit rakyat. Perhimpunan besar-besaran yang melibatkan belanja yang besar seperti kos menyewa dewan, makanan (walaupun terpaksa mengurangkan keuntungan pemilik syarikat catering), menyiapkan pentas, membuat gimik (satu gimik seperti tekan butang dan keluar asap dan dekat RM 2000) dan lain-lain boleh dianjurkan secara sederhana. Tidak perlu buat besar-besaran. Kalau ada apa-apa nak cakap, para pemimpin tak perlu buat program besar-besaran yang membazir, hanya panggil wartawan datang rumah atau pejabat dan minta sebarkan kat RTM, TV3 atau PAS TV je dan esoknya paparkan kat Utusan, Berita Harian atau Harakah. Dengan itu, segala perbelanjaan yang dapat dijimatkan dapat diagihkan kepada semua rakyat melalui subsidi kos minyak.
  1. Para pemimpin juga perlu dikurangkan gaji dan elaun mereka demi rakyat. Kalau betullah seorang pemimpin berkhidmat untuk rakyat, apa salahnya dikurangkan sedikit pendapatan bulanan untuk ditukar kepada subsidi minyak agar berkhidmat untuk rakyat benar-benar dapat diterjemahkan. Kalau nak suruh pemimpin pakai kereta kancil, mungkin tak munasabah bagi seorang pemimpin khususnya bagi seorang Menteri, tapi apa salahnya kalau itu dapat membantu rakyat.
  1. Menggunakan duit kerajaan hasil penjimatan daripada bebanan menanggung kos subsidi yang tinggi di semua tempat, bukan hanya di bandar-bandar besar sahaja. Biar manfaatnya diperolehi oleh semua rakyat termasuk mereka yang tinggal di luar bandar. Walaupun di luar bandar, aktivitinya tidak serancak di bandar, namun mereka di luar bandar tetap membayar harga minyak yang sama seperti di bandar. Jalan raya perlu dinaik taraf terutama jalan bagi motosikal yang menjadi angka tertinggi yang terlibat dalam kemalangan. Begitu juga pembinaan kemudahan awam seperti taman permainan, tandas awam, wakaf, surau dan lain-lain perlu menyeluruh di setiap tempat, bukan hanya di taman-taman perumahan sahaja. Surau-surau lama dinaik taraf semula tanpa perlu penduduk kampung meminta sumbangan mana-mana pihak, tetapi menggunakan duit hasil penjimatan kerajaan ini. Ini dapat sedikit sebanyak dapat menyejukkan hati terutama orang-orang Melayu walaupun hari ini mereka panas akibat kenaikan melampau harga minyak.
  1. Berjimat cermat. Islam sentiasa menyuruh umatnya berjimat cermat. Jadi, sama-samalah kita hidup dalam kesederhanaan tanpa mengira harga minyak naik atau turun.

Dan macam-macam lagi pendapat. Mungkin andapun ada pendapat, sama-sama kita utarakan dari rakyat untuk rakyat.


Ahad, 1 Jun 2008

Kahwin


Akhirnya kesemua bekas rakan serumah ambo masa bujang dulu dah ada teman hidup yang sah disisi syariat. Yang terakhir ialah En. A (asal Pengkalan Chepa) yang menamatkan zaman bujangnya semalam dengan seorang gadis pilihannya, Puan SS dari Pontian yang juga satu tempat kerja dengannya. Rombongan ambo yang menaiki bas politeknik bertolak dari Melaka sekitar jam 10 pagi dan tiba di Pontian (kira-kira 12km sebelum sampai Tanjung Piai) sekitar pukul 2.30 petang. Ketibaan rombongan kami ke majlis tersebut serentak dengan rombongan pengantin lelaki yang berarak diiringi paluan kompang. Alhamdulillah, walimatul urus yang ambo hadir kali ini tiada sebarang unsur-unsur jahiliah seperti nyayian, karaoke atau joget lambak.

Pelbagai perumpamaan dibuat berkenaan perkahwinan. Di sini ambo sekadar berkongsi salah satu perumpamaan untuk ditelaah bersama. Satu tunas yang diambil daripada baka yang baik dilekatkan pada pokok induk untuk menghasilkan buah yang bermutu. Apabila tunas tadi berada pada pokok induk, ia akan mengharapkan segala-galanya daripada pokok induk. Lama-kelamaan, ia akan melekat pada pokok induk dan menjadi seolah-olah satu dahan yang terhasil daripada pokok induk, walhal ia adalah tunas yang diambil daripada baka yang lain. Contoh pokok yang biasa dibuat proses pertunasan seperti pokok rambutan, langsat, duku, jambu dan lain-lain.

Apabila sudah berbuah nanti, pemilik pokok boleh melihat kualiti buah yang dihasilkan sama ada elok atau tidak. Namun jika tunas yang dipilih adalah daripada baka yang baik, tidak mustahil buah yang terhasil juga mahal harganya dan enak untuk dinikmati. Inilah ibarat dalam sebuah perkahwinan, pokok induk tadi umpama seorang suami manakala tunas umpama seorang isteri. Apabila dikahwinkan, pokok induk akan bertanggungjawab terhadap segala kehidupan tunas memandangkan tunas tadi sudah dipisahkan daripada bakanya. Ia tidak lagi mengharapkan apa-apa daripada bakanya kerana ia sudah terpisah, hanya mengharapkan sang induk untuk memberikannya satu kehidupan yang baru seterusnya menghasilkan buah atau anak-anak bagi sebuah pasangan yang berkahwin.

Perkahwinan ibarat menerima tanggungjawab. Jika sebelum ini tanggungjawab terhadap seorang perempuan adalah dipikul oleh walinya, maka apabila seorang lelaki yang tiada apa-apa ikatan menerima 'aqad daripada wali perempuan tersebut, maka tugas untuk menunaikan segala tanggungjawab sudah beralih kepada lelaki yang kini bergelar suami. Perkahwinan bukan sekadar memenuhi tuntutan batin atau untuk mengembangkan institusi keluarga, malah di sebalik perkahwinan itu mempunyai pelbagai hikmah dan rahsia sehinggakan banyak dalil yang menyeru seorang agar berkahwin apabila sudah bertemu pasangan. Malah kesempurnaan agama seseorang juga ada pada perkahwinan.

Kepada En. A, selamat pengantin baru. Mabruk ‘alaik…