Rabu, 17 November 2010

Raya Haji


Ambo ingin mengucapkan Salam Idul Adha kepada semua umat Islam. Maaf zahir dan batin. Tahun ini ambo menyambut hari raya Haji di Melaka buat kali kedua setelah menyambutnya pada kali pertama kira-kira 7 tahun yang lalu. Tahun-tahun selain itu dapat menyambutnya di negeri sendiri. 

Walau di mana ia disambut, hari raya Haji tetap meriah kerana ia adalah salah satu hari kebesaran di dalam Islam, malah lebih besar dari hari raya Fitrah yang disambut selama sebulan oleh segelintir masyarakat. Semoga kita dapat melihat erti pengorbanan dalam hari raya Haji ini dengan lebih bermakna terutama pengorbanan yang telah kita lakukan untuk menegakkan agama Allah di mana jua kita berada.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahilhamd...

Sabtu, 10 Julai 2010

Himpunan plastik sampah terpanjang


MELAKA 9 Julai - Suasana di Politeknik Merlimau Melaka hari ini tidak sama seperti hari-hari lain apabila 5,200 warga pelajarnya berpusu-pusu ke padang ragbi kampus berkenaan. Namun ia bukan bagi meraikan hari sukan atau bersorak menyaksikan pertandingan Piala Dunia pada skrin layar. Sebaliknya mereka mempunyai aktiviti lebih besar dan bermakna kepada negara, iaitu misi untuk menyelamatkan dunia daripada ancaman ribuan bungkusan plastik yang mampu merosakkan bumi.

Hampir sebahagian rumput hijau di padang ragbi itu hari ini dilitupi ribuan bungkusan plastik berwarna warni sama ada yang digunakan sebagai bungkusan di pasar malam sehinggalah yang digunakan pasar raya besar, semuanya dikumpul di sini. Bagi mereka yang tidak tahu, pasti tertanya-tanya apakah yang sedang dilakukan warga institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tersebut terhadap himpunan plastik terpakai itu. Kelihatan ada kalangan mereka begitu bersungguh-sungguh mengikat dan menyambung plastik-plastik tersebut. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan merakam detik manis itu di telefon bimbit masing-masing sebagai kenang-kenangan.

Usaha tersebut merupakan sebahagian acara kempen kesedaran menyelamatkan bumi dikenali Politeknik Go Green-Cabaran Beg Plastik dengan mengumpulkan himpunan plastik sampah terbanyak oleh warga IPTA tersebut. Ketua Program Cabaran Beg Plastik, Armam Md. Said berkata, cabaran itu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu penghasilan sampah yang semakin banyak tetapi pada masa sama mempunyai pusat pelupusan yang terhad. Katanya, isu penggunaan plastik yang berlebihan dalam pembungkusan bukanlah perkara baru kerana sebelum ini pun, sudah terlalu banyak kempen kesedaran dilaksanakan oleh kerajaan, pihak swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO). "Namun begitu masih ada antara kita yang menggunakan plastik secara berlebihan untuk membungkus sedangkan mereka sudah tahu plastik merupakan salah satu bahan yang tidak akan reput serta meninggalkan kesan buruk kepada bumi," katanya ketika ditemui pada kempen tersebut di sini hari ini.

Tambahnya, pada kempen tersebut, sebanyak 5,200 pelajar politeknik berkenaan berjaya mengumpulkan plastik bungkusan sepanjang lapan kilometer sekali gus mencatat rekod 'Himpunan Plastik Sampah Terpanjang' dalam Malaysia Book Of Records' (MBR). Menurut Armam, kempen yang dilancarkan sejak 27 April lalu itu telah mengumpulkan sejumlah 500,000 bungkusan plastik terpakai yang akan diserahkan kepada pusat kitar semula bagi tujuan pelupusan. "Paling penting, program sebegini akan memberi kesedaran kepada pelajar dan masyarakat sekeliling tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan menyelamatkan bumi. "Lihatlah saja hari ini, hanya dalam masa dua minggu ratusan bungkusan plastik berjaya dikutip," katanya. 

Tambahnya, cabaran tersebut juga menggalakkan pelajar berfikir dahulu sebelum menggunakan apa-apa bahan dalam kehidupan seharian. "Seperti yang giat dijalankan di pasar raya terkenal sewaktu ini dengan menggunakan beg yang boleh dipakai semula ketika membeli-belah, kami yakin Politeknik Merlimau Melaka juga mampu menjalankan amalan yang sama bagi memelihara bumi yang semakin terancam," katanya. Armam berkata, idea kempen cabaran plastik timbul setelah melihat kejayaan kempen cabaran sifar polisterina yang berlangsung pada 27 April lalu.

Ahad, 27 Jun 2010

Di tempat baharu

Alhamdulillah, setelah 23 bulan dan 28 hari 'bercuti', maka tibalah pula waktu untuk ambo kembali menyarung jersi kemeja dan berseluar slack bagi meneruskan tugas ambo seperti dahulu. Namun tempat ambo bertugas kali ini tidak lagi di tempat dahulu seperti sebelum ambo pergi 'bercuti'. Kalau dahulunya tempat bertugas ambo hanya 4 minit dari kediaman, namun kini angka itu sudah bertambah menjadi 40 minit. Walau apapun, kena redhalah dengan apa yang ambo perolehi.

Semoga dengan penempatan semula selepas tamat 'bercuti' akan dapat membantu mengorak langkah lebih jauh lagi dalam bidang yang ambo ceburi ini. Walaupun agak kurang bersemangat untuk kembali berkhidmat memandangkan 'dicampakkan' di tempat yang ambo tidak harapkan, namun harapannya agar semangat itu muncul kembali secepat mungkin. Semoga hijrah kali ini memberi kerahmatan buat ambo...


Khamis, 13 Mei 2010

13 Mei

Tajuk entri ini bukan berkenaan peristiwa 13 Mei 1969. Ia langsung tiada kaitan dengan peristiwa tersebut. Tajuk 13 Mei ini adalah berkaitan dengan diri ambo. Bukan ada apa-apa pun dengan 13 Mei ini. Hanya sekadar satu tarikh yang sentiasa berulang setiap tahun. Ianya berkenaan tarikh ulang tahun kelahiran ambo ke alam sementara ini yang kesekian kalinya berdasarkan tahun masihi. Ini bermaksud, apabila 13 Mei tiba setiap tahun, maka umur ambo akan bertambah dari satu angka ke satu angka yang lebih besar.

Apabila umur semakin bertambah, maka fizikal juga akan turut berubah. Kalau dulu dalam kategori remaja, sekarang dah masuk kategori dewasa. Kalau dulu tak de anak isteri, hari ini dah ada anak isteri. Kalau dulu tanggungjawab sedikit, hari ini tanggungjawab sudah semakin banyak. Banyak lagilah perubahan di antara dulu dan kini.

Perkara yang patut bertambah juga adalah dalam bab-bab kerohanian. Kalu dulu kurang ilmu, hari ini sepatutnya semakin bertambah ilmu. Kalu dulu kurang buat amal ibadat dan perkara-perkara sunat, hari ini sepatutnya semakin banyak amal ibadat sama ada wajib atau sunat. Kalau dulu banyak main dan tidur, hari ini kena banyak kerja dan kurang tidur. Tapi adakah perkara-perkara yang dahulu agak kurang terutama dalam bab ibadat semakin bertambah selari dengan bertambahnya usia? Masing-masing pakat jawab.

Jadi dengan kedatangan 13 Mei tahun ini, ambo harap bukan sekadar usia sahaja bertambah, malah segala amalan ibadat ambo juga dapat ditambah dan dipertingkatkan lagi. Ambo kena ingat bahawa muda hanya sekali. Bila dah tua, nak buat ibadat macam tenaga orang muda sudah terbatas. Nak ke masjid pun belum tentu larat. Mata semakin rabun, pendengaran semakin kurang jelas, urusan dunia belum tentu habis walaupun dah pencen. Yang paling kena ingat, semakin bertambah usia, rumah semakin jauh dan kubur semakin dekat. Dalam lain perkataan, rumah cakap pergi, kubur cakap mari. Namun jangan lupa bahawa kelapa muda juga ada yang gugur lebih dahulu daripada kelapa tua. Semoga tarikh 13 Mei ini membawa peringatan yang bermakna buat diri ambo...

Khamis, 22 April 2010

Cukai

Seperti tahun-tahun lepas, tahun ini ambo sekali lagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pembayar cukai kepada negara. Tapi oleh kerana jumlah pendapatan ambo banyak yang ditolak, jadi tiada cukai dikenakan. Malah pihak terbabit perlu membayar kepada ambo kerana mereka telahpun memotongnya daripada ambo terlebih dahulu melalui Potongan Cukai Berjadual (PCB).

Walaupun ambo terlepas daripada membayar cukai pendapatan, beberapa cukai lain seperti cukai kenderaan, cukai tanah, cukai pintu dan cukai perkhidmatan telahpun ambo bayar. Semuanya ini dilakukan sebagai tanggungjawab seorang warganegara Malaysia dan ianya merupakan kewajipan setiap warganegara Malaysia tanpa mengira fahaman politik. Maksudnya mereka yang menyokong pembangkang juga membayar cukai kerana mereka adalah rakyat Malaysia, bukannya rakyat negara Brunei.

Jadi oleh kerana setiap warganegara membayar cukai, maka tidak patut bagi sesetengah pihak mendakwa bahawa kemajuan dan pembangunan yang berlaku adalah kerana ianya diperintah oleh sesebuah parti. Bayangkan jika parti yang memerintah tidak mendapat peruntukan melalui kutipan cukai daripada rakyat, sudah tentu sesuatu pembangunan itu terbantut.

Apa-apapun, ambo harap pihak LHDN dapat membayar balik dengan segera cukai terlebih bayar oleh ambo kerana dibimbangi duit tersebut dibelanjakan untuk tempat-tempat tertentu seperti membelanjakannya di Parlimen Hulu Selangor atau di Sibu sahaja walaupun Parlimen Pasir Mas turut memerlukan peruntukan hasil daripada cukai yang dibayar oleh setiap rakyat.

Jumaat, 19 Mac 2010

Radix Fried Chicken

Jika anda berkunjung ke Melaka, jemputlah menjamu selera di restoran makanan segera yang baharu dibuka. Restoran ini diberi nama Radix Fried Chicken (RFC) iaitu salah satu cabang perniagaan yang terdapat dalam HPA. Restoran ini adalah yang kelima seumpamanya di Malaysia. Selain dapat menjamu selera tanpa rasa was-was, kita juga dapat menikmati ayam herba organik keluaran HPA.


Jika kita tidak menyokong perniagaan usahawan Islam, siapa lagi kita nak harapkan? Walaupun tidak menjadi ahli HPA, sekurang-kurangnya kita sama-sama menjadi pendokong produk keluaran orang Islam. Tapi jika nak jadi ahli, lagi bagus. Boleh hubungi ambo untuk keterangan lanjut... (Iklan ini tidak ditaja oleh sesiapa)

Khamis, 18 Mac 2010

Rihlah: Tanjung Malim III

Ambo ke Tanjung Malim sekali lagi bagi meraikan Majlis Konvokesyen salah seorang adik ambo yang telah tamat pengajiannya pada tahun lepas. Beliau yang kini menjawat jawatan guru sandaran di selatan tanah air merupakan graduan Sarjana Muda Sastera Dengan Pendidikan.

Tahniah buat beliau atas kejayaan menamatkan pengajiannya di UPSI walaupun pada asalnya ingin menjadi seorang pegawai polis. Semoga menjadi pendidik yang ikhlas dan berdedikasi.












Jumaat, 26 Februari 2010

12 Rabiul Awwal

Tanggal 12 Rabiul Awwal setiap tahun hijrah, umat Islam menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w di pelbagai arena dan lapangan. Pelbagai acara dilakukan seperti selawat, perarakan, forum, ceramah dan sebagainya.

Namun tidak ramai di kalangan kita yang mengetahui mahupun mengingati bilakah tarikh lahir mereka dalam bulan hijrah. Secara umumnya masyarakat menyambut ulang tahun kelahiran mengikut bulan masihi.

Mungkin sudah tiba masanya kita bertukar daripada sambutan ulang tahun kelahiran mengikut tahun masihi kepada tahun hijrah sebagai mencontohi sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah yang disambut pada 12 Rabiul Awwal (ada yang berpendapat 9 Rabiul Awwal), bukannya pada 20 April setiap tahun.

Agak-agaknya, berapakah umur kita jika dikira berdasarkan tahun hijrah? Adakah ‘cukup umur’ yang dinyatakan dalam beberapa kitab agama adalah berdasarkan umur mengikut tahun masihi atau tahun hijrah? Sama-sama kita renungkan…

Khamis, 25 Februari 2010

Universiti Politeknik Pelengkap Kepada Pendidikan Vokasional Dan Teknik

25 Februari, 2010 14:53 PM

Universiti Politeknik Pelengkap Kepada Pendidikan Vokasional Dan Teknik-Muhyiddin

PUTRAJAYA, 25 Feb (Bernama) -- Penubuhan Universiti Politeknik akan menjadi pelengkap kepada pendidikan vokasional dan teknik di peringkat pengajian tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Universiti Politeknik ini akan membolehkan pelajar mengikuti pendidikan teknik dan vokasional di peringkat pascamenengah dan tinggi di bawah satu sistem politeknik tanpa perlu menyambung pengajian ke institusi lain," katanya semasa melancarkan Pelan Transformasi Politeknik di sini Khamis.

Dengan menawarkan pakej pendidikan di peringkat diploma, diploma lanjutan dan ijazah sarjana muda, sistem politeknik pastinya akan berjaya menarik minat pelajar-pelajar terbaik di negara ini untuk mengikuti pendidikan berteraskan kemahiran tinggi, katanya.

Sehubungan itu tiga Politeknik telah dinaik taraf hari ini kepada Politeknik Premier yang menjadi asas kepada pewujudan Universiti Politeknik menjelang 2015.

Politeknik tersebut adalah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Johor Bahru.

"Potensi mereka boleh digarap dan ditingkatkan lagi untuk menyumbang kepada kemajuan negara," katanya. Muhyiddin turut berharap bidang-bidang baru seperti bioteknologi dan nanoteknologi juga perlu dibangunkan dan dijadikan bidang tujahan politeknik.

"Pusat-pusat kecemerlangan politeknik perlu diwujudkan untuk menggalakkan kolaborasi intensif dengan pihak industri yang relevan bagi memupuk budaya penyelidikan dan menjana inovasi dalam bidang-bidang tujahan ini," katanya.

Selain itu katanya, penawaran kursus-kursus berteraskan perkhidmatan seperti animasi digital, rekabentuk, insurans dan kewangan hendaklah dipergiatkan.

"Ini kerana ekonomi negara sedang berubah ke arah ekonomi yang dipacu oleh sektor perkhidmatan, bidang dan program yang ditawarkan di politeknik juga haruslah selaras dengan perubahan ini, tanpa mengabaikan keperluan yang masih wujud dalam sektor pembuatan dan pembinaan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementeriannya juga sedang melihat semula kokurikulum di sekolah teknikal dan vokasional supaya selari untuk ke peringkat yang lebih tinggi kelak.

Sementara itu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata politeknik menerima 90,000 permohonan setahun bagi peringkat diploma.

Malangnya, beliau berkata politeknik hanya dapat menyediakan kira-kira 25,000 tempat setahun.

"Kita menafikan ramai hak pelajar untuk menyambung ke peringkat diploma di politeknik ketika ini," katanya.

Namun katanya, terdapat usaha bagi peringkat sijil diserahkan kepada Jabatan Kemahiran Malaysia, Institut Kemahiran Belia dan institusi-institusi lain.

Dengan usaha itu beliau berkata, kira-kira 15,000 tempat boleh ditambah di politeknik bagi peringkat diploma.

Ditambah pula beberapa politeknik lagi, 60,000 tempat bakal di sediakan untuk pelajar-pelajar menyambung pelajaran mereka kelak, tambahnya.

"Seramai 60,000 pelajar akan menerima diploma, maknanya kemahiran dan nilai tambah pada mereka itu bertaraf diploma," kata Mohamed Khaled.

Terdapat 27 politeknik ketika ini dengan 82 program termasuk satu diploma lanjutan, 49 diploma, 20 sijil dan 12 program asas.

Politeknik mempunyai 305,888 graduan semenjak ditubuhkan pada tahun 1969 di mana antara bekas graduannya adalah Datuk Muhamad Noor Hamid, ketua pegawai eksekutif, Gas Malaysia Sdn Bhd.

-- BERNAMA