Ahad, 28 Disember 2008

Tahun Baru Hijrah

Setiap tahun kita menyambut ketibaan tahun baru hijrah. Dari angka satu sehingga sekarang sudah menjangkau kepada angka 1430. Kebanyakan daripada kita apabila berbicara tentang tahun baru, masing-masing menyatakan azam yang tersemat dalam diri. Walau apa jua azam yang kita tetapkan, semestinya ianya adalah untuk menambah baik azam yang sedia ada. Tahun baru ini juga mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah yang telah berlaku kepada Rasulullah s.a.w suatu ketika dahulu. Hijrah dari Mekah ke Madinah yang penuh cabaran berakhir dengan kejayaan apabila Islam terus berkembang sehingga ke hari ini.

Walaupun peristiwa hijrah sudah menjadi lipatan sejarah, namun maksud tersirat daripada peristiwa tersebut perlu menjadi pegangan setiap umat Islam. Jika tidak, tiada guna mengira perubahan angka yang berlaku setiap tahun. Hari ini, hijrah lebih diertikan kepada perubahan daripada yang tidak baik kepada yang baik. Di samping itu, hijrah hari ini juga adalah untuk mengubah daripada yang sudah baik kepada yang lebih baik dan lebih cemerlang. Antara yang boleh menjadi agenda hijrah ialah berusaha untuk menjadikan iman kita agar sentiasa meningkat kerana iman yang ada pada kita tidak tetap, iaitu boleh bertambah dan berkurang. Alangkah untungnya jika iman kita bertambah tahun demi tahun dan begitu juga sebaliknya, amatlah rugi jika iman kita semakin lama, semakin berkurang.

Disamping itu, tahun baru masihi juga akan disambut tidak lama lagi. Ramai para pemikir dan penganalisis terutama dalam perkara berkaitan ekonomi menjangkakan bahawa tahun hadapan situasi ekonomi akan mengalami kegawatan ekoran keadaan global yang tidak menentu. Namun sebagai orang Islam, kita tidak boleh lupa bahawa kita ada Allah yang Maha Kuasa. Jangan pula apabila ekonomi Barat mengalami kelumpuhan, maka kita turut menjadikan alasan bahawa kehidupan kita akan turut lumpuh. Jika kita beranggapan demikian, seolah-olah kita menjadikan Barat sebagai kuasa yang boleh menentukan segala-galanya keatas kita. Kita harus ingat bahawa Allah yang memberikan rezeki dan berkuasa ke atas segala-galanya. Jika kebergantungan kita sudah berubah kepada kuasa selain Allah, maka ianya dikhuatari akan menjejaskan syahadah yang menjadi pegangan umat Islam sekian lama. Semoga kita terhindar daripada berada dalam kelompok demikian.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1430.

2 ulasan:

afiq manaf berkata...

salam bang, saya masih sekolah lagi...nama afiq. Saya link ke blog abang untuk menambah ilmu pengetahuan. Saya yang dk beri makan burung..

FarEastNajmi berkata...

Selamat Tahun Baru...lama tak jumpa dengan Ustaz Tarmidzi nie...moga sejahtera selalu....