Isnin, 9 Mac 2009

Wahdah Pemangkin Khaira Ummah


Setiap tahun temanya berbeza. Tahun ini “Wahdah Pemangkin Khaira Ummah” dipilih sebagai tema sambutan Maulid al-Rasul 1430H. Melihat kepada situasi dalam negara hari ini, ia bagaikan satu cabaran untuk dilaksanakan. Moga-moga tema ini dapat dicapai sekurang-kurangnya untuk peringkat keluarga. Namun adalah lebih baik lagi jika ia dapat dicapai di peringkat nasional apatah lagi di peringkat antarabangsa. Ini kerana kesatuan adalah syarat penting untuk umat Islam mencapai kejayaan seperti yang telah berlaku pada zaman Baginda s.a.w dan para sahabatnya. Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin pada waktu itu memainkan peranannya dalam memimpin kesatuan umat Islam agar bersatu sehingga berjaya menjadikan Yathrib sebagai sebuah “bandar yang bercahaya” dengan cahaya Islam.

Ia diteruskan lagi oleh para khalifah seterusnya sebagai pengganti Baginda s.a.w dalam usaha untuk mewujudkan projek “Kesatuan Islam” di bawah pimpinan seorang khalifah dan meluaskan ajaran Islam ke seluruh dunia. Namun usaha ini tergendala apabila sistem khalifah dimusnahkan setelah jatuhnya Kerajaan Islam Uthmaniyyah pada tahun 1924M. Perpecahan demi perpecahan berlaku di kalangan umat Islam selepas itu sehingga ke hari ini. Ia terus berlaku di mana-mana negara umat Islam termasuk negara kita. Kolonialisme Barat berjaya menyekat kemaraan Islam.

Jadi, projek “Kesatuan Islam” mesti ditegak dan diteruskan semula serta berusaha untuk mengembalikan sistem khalifah agar Islam bangkit meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w yang ditinggalkan kepada umatnya. Sama-sama kita berusaha ke arah itu.


Tiada ulasan: