Alhamdulillah, dapat kembali meneruskan penulisan di blog ini setelah hampir setahun tiada sebarang tajuk yang tertulis. Hari ini adalah 29 Februari 2016. Tarikh pada hari ini hanya ada sekali untuk tempoh setiap 4 tahun. Istilahnya ialah tahun lompat. Bagi yang menyambut hari jadi pada 29 Februari, mereka hanya menyambutnya sekali sahaja untuk tempoh 4 tahun. Nak sambut hari jadi seterusnya tunggulah 4 tahun akan datang.
Jika dilihat kepada taqwim tahun Hijrah, tiada istilah tahun lompat. Tahun lompat hanyalah wujud dalam taqwim tahun Masihi. Mengikut taqwim ini satu tahun mengandungi 365 hari bagi tahun biasa dan 366 hari bagi
tahun lompat. Taqwim ini berdasarkan kepada pergerakan Bumi mengelilingi Matahari.
Tempoh satu peredaran lengkap Bumi mengelilingi Matahari adalah hampir 365.25 hari. Ia juga dinamakan satu tahun Suria. Dalam masa 4 tahun iaitu 4 kali peredaran lengkap Bumi mengelilingi Matahari, lebihan 0.25 hari akan menjadi 1 hari pada tahun ke 4 dan hari tersebut dimasukkan ke dalam bulan Februari dan menjadikan bulan Februari pada tahun lompat menjadi 29 hari.
Walaupun seseorang yang lahir pada 29 Februari dapat menyambut hari jadinya hanya sekali untuk tempoh 4 tahun, tapi dalam takwim tahun Hijrah, dia masih boleh menyambutnya setiap tahun. Maka eloklah sekiranya kita beralih menyambut hari jadi atau bagi yang tidak ingin menyambut hari jadi, tapi sekadar untuk mengira pertambahan umur dari satu angka ke satu angka menggunakan tahun Hijrah sesuai dengan tuntutan Islam untuk menggunakan tahun Hijrah dalam setiap urusan kita, Sedangkan Maulid Rasulullah s.a.w (bagi yang berpandangan mengharuskan menyambut maulid) kita sambut berdasarkan tahun hijrah, jadi tiada salahnya kita menyambut hari jadi kita dengan tahun Hijrah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan