Khamis, 11 Disember 2008

Zoom: Bukit Bakar


Terletak di Jajahan Machang dan tidak jauh dari Bandar Machang iaitu kira-kira 7 km sahaja, kawasan perkelahan Hutan Lipur Bukit Bakar antara salah satu kawasan rekseasi yang boleh dikunjungi oleh pengunjung dalam dan luar negeri Kelantan ini. Hutan lipur ini tidaklah setanding dengan Hutan Lipur Jeram Linang yang terletak di Jajahan Pasir Puteh. Walau bagaimanapun ia sesuai dikunjungi oleh keluarga sebagai tempat beristirehat.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan seperti Taman Kanak-Kanak, pondok rehat, kolam mandi, jambatan gantung, tandas awam di samping sungai yang mengalir, kehijauan hutan hujan tropika serta flora dan fauna. Jadi sebagai memenuhi aktiviti hujung minggu dan sempena cuti sekolah ini, tempat ini sesuai untuk dikunjungi untuk mandi manda serta berehat bersama sanak saudara.


Jika di Jeram Linang, pengunjungnya agak ramai terutama pada cuti hujung minggu, namun di Bukit Bakar ini, pengunjungnya agak kurang sedikit. Tempat ini agak sesuai bagi mereka yang inginkan kedamaian tanpa gangguan pengunjung-pengunjung yang lain. Bagi mereka yang ingin mandi-manda, terdapat banyak kawasan yang disediakan sama ada untuk kanak-kanak, dewasa dan keluarga.



Keadaan dan suanana di Bukit Bakar ini hampir sama dengan mana-mana air terjun yang ada di tempat-tempat lain, cuma yang berbeza hanyalah tiada air terjun yang tinggi seperti yang ada di Jeram Linang, Jeram Pasu, Lata Tembakah dan lain-lain. Bagi yang mempunyai anak-anak kecil, tempat ini agak sesuai untuk membawa mereka bermain-main, tetapi perhatian ibu bapa masih diperlukan agar sebarang kemalangan yang tidak diingini dapat dielakkan.


Namun di sebalik kesunyian kawasan perkelahan ini, ia diambil peluang oleh remaja dan pemuda pemudi harapan bangsa untuk membawa kekasih bermadu asmara di atas pondok-pondok yang disediakan. Pandangan ini mencemarkan suasana di samping sampah sarap yang dibuang sesuka hati oleh mereka yang tidak ada rasa tanggungjawab kepada alam sekitar.

Jadi, selamat berkunjung ke Pusat Perkelahan Bukit Bakar, Machang, Kelantan.

3 ulasan:

Abu Muazz berkata...

baru ni ambo gi Bukir Bakar dah... tapi air takdok...kering.. ore pung takdok...musim hujan ni mesti air dah byk semula gamoknyer... pahtu ambo pun tukar haluan ke Jeram Linang... ramai kakloh ore...jom jupo saing2 raamai2 puye coti nih

Ibnu 'Uthman berkata...

Ambo gi hari tu air agak banyak, mungkin baru lepas musim hujan. Agaknya kalau musim kemarau air takdok langsung...

RanumSetia berkata...

Salam..

ni kampung ambo, tempat ambo dibesarkan..hehehe..