Isnin, 29 Jun 2009

Rihlah: Tanjung Malim


Semalam ambo ke Tanjung Malim, memberi sokongan moral kepada salah seorang adik ambo yang mendaftar pengajian di UPSI. UPSI adalah singkatan bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris, namun ada sesetengah pelajarnya mengubah singkatan UPSI kepada Universiti Pentarbiyahan Syuhada' Islam. Alangkah indahnya jika maksud kedua bagi singkatan UPSI menjadi kenyataan.

Rihlah ambo kali ini adalah kali ketiga setelah empat tahun yang lepas ambo telah ke sini dengan tujuan yang sama iaitu menghantar dua orang adik ambo yang melanjutkan pengajian mereka di universiti pertarbiyahan ini. Sekarang, seorang sedang menunggu penempatan dan seorang lagi masih membuat latihan mengajar.

Urusan pendaftaran secara keseluruhannya berjalan lancar. Namun rasa sedikit kecewa dengan pihak pengurusan apabila tempat pendaftaran yang pada asalnya seperti dinyatakan dalam surat tawaran ialah di Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR) ditukarkan ke Kolej Kediaman Za’ba (KZ). Jika jaraknya dekat, rasa kecewa itu mungkin tidak timbul, tapi jarak antara KHAR dengan KZ lebih kurang 6 atau 7 km, jadi ia agak menyusahkan ambo dan keluarga. Nasib baiklah menggunakan kenderaan sendiri, kesusahannya tidaklah terasa sangat. Bayangkan kalau pelajar yang datang dengan kenderaan awam, mungkin lagi menyusahkan.

Sepatutnya pihak berkenaan memaklumkan pertukaran urusan pendaftaran lebih awal, bukannya sekadar menampal nama untuk disemak setelah tiba di sana. Rasanya tidaklah melibatkan kos yang tinggi kalau nak maklumkan tentang pertukaran tersebut. Dikhabarkan lebih kurang 300 orang pelajar baru yang terlibat dalam pertukaran tersebut. Kalau satu sms berharga 15 sen, baru RM45 UPSI perlu keluarkan belanja. Nampaknya pihak berkenaan terlalu berjimat cermat dalam semua urusan sehinggakan surat tawaran pun perlu dicetak sendiri melalui sistem atas talian selain borang-borang berkaitan seperti borang pemeriksaan kesihatan, borang panduan dan lain-lain.

Sepatutnya perkara begini tidak timbul selepas USM 'buat hal' tempoh hari. Nasib baik keluarga ambo belum buat kenduri selepas mengetahui keputusan adik ambo yang diterima memasuki USM sebelum dimaklumkan tentang kesilapan teknikal yang berlaku. Sepatutnya UPSI belajar dari kesilapan USM tersebut. Namun, apa2pun tahniah kepada para petugas dan semua pegawai UPSI kerana telah bertungkus lumus memastikan sesi pendaftaran ini tidak mempunyai kesilapan yang boleh dianggap 'major'. Semoga masalah 'minor' ini tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, ketika di UPSI ambo bertemu beberapa rakan lama yang turut menghantar sanak saudara masing-masing. Antaranya En. Hanafi yang kini bertugas di PERKESO dan Ustaz Nazri yang bertugas sebagai guru di Kepong. Sebelum itu, ambo turut berkunjung ke rumah seorang kenalan isteri di Taman Segar, Tanjung Malim yang kini bertugas sebagai Guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak di UPSI iaitu Cik Naziroh Romli.

Buat adik ambo, selamat menempuh alam kampus. Semoga mendapat kejayaan cemerlang.

Tiada ulasan: