Rabu, 22 Julai 2009

Politeknik bertaraf Apex menjelang 2020

IPOH 21 Julai - Kerajaan merancang untuk melahirkan sekurang-kurangnya sebuah politeknik bertaraf Apex (Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan) menjelang 2020.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Politeknik, Mohlis Jaafar berkata, Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini yang bakal memperkenalkan kursus ijazah pertama dua tahun lagi dijangka menjadi politeknik terawal mencapai status Apex.

Katanya, perkara itu masih di peringkat cadangan di Kementerian Pengajian Tinggi dan akan dilaksanakan tidak lama lagi.

''Kita memang mempunyai hasrat ini selepas sistem Apex ini diperkenalkan di kalangan universiti tempatan dan bagi mencapai matlamat itu, usaha berterusan dibuat bagi menambah baik kualiti akademik, kokurikulum, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta tenaga pengajar di politeknik,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis sambutan ulang tahun ke-40 PUO di sini hari ini.

Menurut Mohlis, pihaknya yakin sasaran tersebut dapat dicapai dengan adanya sokongan kerajaan serta sistem pengurusan dan pendidikan yang berkualiti di politeknik.

''Politeknik memainkan peranan penting melahirkan modal insan kepada negara dan sejak tempoh 40 tahun lalu, ia berjaya mengeluarkan lebih 290,000 graduan berkualiti dalam bidang profesional dan bukan profesional,'' katanya.

Politeknik tertua negara yang ditubuhkan pada 1969 itu mengadakan pelbagai program menarik selama sebulan mulai hari ini hingga 20 Ogos ini bagi meraikan ulang tahunnya.

Antara program yang disediakan ialah sukaneka, pameran lukisan dan foto nostalgia, ceramah perdana, malam kebudayaan, seminar kerjaya dan pertandingan melukis dan deklamasi sajak.

Sumber: Utusan Online

3 ulasan:

mohad berkata...

bagus rancangan buka politeknik tu...

Ibnu 'Uthman berkata...

Masih diperingkat perbincangan. Nampak gaya macam nak direalisasikan... Kita tunggu ajelah...

voltra_90 berkata...

semoga politeknik apex dapat direalisasikan dgn jayanya..