Rasa-rasanya ini adalah mesyuarat terakhir yang ambo hadiri bersama-sama counterparts Tracer Study BPGA. Kali ini mesyuarat diadakan di Hotel Oriental Crystal, Kajang bermula Selasa hingga esok. Mesyuarat ini tidak seperti mesyuarat yang biasa dihadiri kerana hanya tajuk surat sahaja yang tertulis perkataan mesyuarat, namun isinya adalah sebuah bengkel yang berkait rapat dengan hasil kerja dalam BPGA.
Mesyuarat kali ini turut dihadiri hampir semua counterparts dari Kolej Komuniti seluruh Malaysia. Kesemuanya hampir 60 orang. Sebelum ini hanya berjumpa dengan rakan-rakan dari politeknik, tapi apabila BPGA ditubuhkan, bilangan counterparts menjadi lebih besar kerana Kolej Komuniti seluruh Malaysia ada sebanyak 37 buah.
Sesi kali ini memfokuskan kepada bengkel untuk menyediakan sebuah penyelidikan yang lebih tersusun serta mengikut kaedah disiplin yang diguna pakai dalam sebuah penyelidikan. Sebelum ini kebanyakan counterparts hanya hentam keromo sahaja mengikut kaedah yang serasi dengan jiwa masing-masing. Mungkin disebabkan tidak ada kursus atau bengkel yang mengkhusus kepada kaedah penyelidikan yang sebenar, pihak BPGA menyusun bengkel-bengkel yang ada beberapa siri lagi agar gerak kerja selepas ini lebih baik daripada sebelumnya. Walau bagaimanapun, siri-siri seterusnya akan ambo hadiri jika berkesempatan.
Awal sesi dimulakan dengan pembentangan oleh Cik S yang mendedahkan beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh counterparts semasa menyediakan data kepada pihak KPTM. Katanya yang menguruskan lebih kurang 147 buah IPT seluruh Malaysia, jika nak melihat data secara teliti bagi setiap IPT, mungkin 'juling biji mata', jadi dia berkongsi cara bagaimana ingin melihat data sama ada betul atau salah menggunakan Microsoft Excel dan SPSS. Dia berharap agar selepas ini data yang diterimanya tidak banyak yang perlu diperbetulkan.
Sesi seterusnya ialah sesi bengkel kaedah penyelidikan dan asas SPSS yang disampaikan oleh Dr. R yang dijemput dari Fakulti Ekonomi, UM. Beliau dah beberapa kali hadir bersama-sama counterpart dalam mesyuarat sebelum ini. Beliau banyak terlibat dalam menjalankan kajian bersama KPT semasa Datuk M menjadi Menteri Pengajian Tinggi. Tugas tersebut masih dipegangnya walaupun Menteri Pengajian Tinggi sudah beralih kepada Datuk Seri MK. Banyak contoh yang beliau berikan terutama yang melibatkan kajiannya yang pernah dibuat yang tidak didedahkan dalam mana-mana penerbitan atau akhbar. Ambo akan cuba buat ulasan ringkas apa yang beliau sampaikan jika ada kesempatan masa dalam bahagian yang lain.
Berkenaan dengan software SPSS, ia adalah sebuah perisian yang digunakan untuk menjalankan penyelidikan yang melibatkan data yang besar dan untuk menghasilkan analisis yang mendalam terhadap sesuatu kajian. Walaupun dah beberapa kali mengikuti kursus seperti ini, penggunaan perisian ini yang amat jarang menyebabkan banyak langkah-langkah yang terlupa terutama apabila nak buat T-Test, Anova Test, Chi Square dan macam-macam lagi istilah dalam SPSS ini.
Walau bagaimanapun, penglibatan dengan dunia penyelidikan ini sedikit sebanyak mendedahkan ambo kepada ruang lingkup yang lebih besar apabila melihat sesuatu isu terutama yang melibatkan Kajian Pengesanan Graduan IPT. Tapi bagi mereka yang tiada minat, mungkin hal ini merupakan suatu yang boleh menyebabkan seseorang menghadapi 'migrain' kerana data yang dianalisis adalah melibatkan hampir semua graduan politeknik yang jumlahnya melebihi 20,000 orang.
Pn SJ selaku Pengarah BPGA yang turut hadir dalam bengkel ini banyak menyarankan agar semua counterparts menjadikan tugas sebagai pegawai pengesanan graduan sebagai batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang penyelidikan ini. Beliau mengharapkan satu hari nanti budaya penyelidikan ini menjadi kerja rutin setiap warga politeknik dan kolej komuniti selain mengajar dan menjalankan beberapa kerja sampingan yang lain.
Selamat maju jaya.
1 ulasan:
sedih la demo dah tak lagi join tracer...
anyway... nice blog... congrat
Catat Ulasan