Sabtu, 2 Mei 2009

Pantai Kuala Linggi


Ramai yang mengambil peluang sempena cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu untuk berehat di tepi pantai atau hutan lipur. Salah satu tempat yang menjadi tumpuan ialah Pantai Kuala Linggi. Ia terletak di Daerah Alor Gajah. Manakala jaraknya dari Bandar Melaka pula ialah kira-kira 45 km. Pantai ini juga berada tidak jauh dari Akademi Laut Malaysia (ALAM) iaitu sebuah akademi yang melatih para pelatih yang akan berkecimpung dalam dunia maritim.

Pantai Kuala Linggi tidaklah begitu dikenali berbanding Pantai Klebang, Pantai Puteri, Pantai Tanjung Bidara, Pantai Pengkalan Balak (pernah heboh dengan isu kepala **** satu ketika dahulu) atau lain-lain. Namun sebagai alternatif, tempat ini boleh dikunjungi oleh mereka yang tidak suka dengan suasana pengunjung yang terlalu ramai atau berada terlalu hampir dengan jalan raya. Ini kerana, pengunjungnya tidaklah seperti pantai-pantai popular dan kedudukannya pula agak jauh dari jalan utama. Dari jalan utama, pengunjung perlu memasuki jalan kecil kira-kira 1 km jaraknya dari jalan utama tersebut.

Namun, tidak dapat dipastikan adakah suasana ini akan kekal begitu memandangkan Kerajaan Negeri telah memulakan usaha untuk mempromosikan tempat ini sebagai salah satu destinasi pelancongan baru di Melaka. Yang terbaru ialah pembinaan kompleks ikan bakar terapung yang dirasmikan pada bulan April yang lalu dan perancangan untuk membina chalet di kawasan tersebut. Setakat ini, hanya ada beberapa buah chalet yang dibina secara persendirian oleh orang-orang kampung di sebelah rumah mereka yang berdekatan dengan pantai.

Di Pantai Kuala Linggi, pengunjung boleh mandi manda atau berehat sambil berzikir merenung kebesaran Ilahi di atas tikar yang perlu dibawa sendiri. Kebanyakan pengunjung ke pantai ini adalah beragama Islam, jadi tidak perlu runsing tentang terserempak dengan ’buaya putih’ yang bergelimpangan di tepi-tepi pantai. Cuma kadang-kadang ada beberapa orang anak muda yang barangkali bosan merempit di jalan raya datang merempit di tepi pantai. Namun, perkara ini tidak menghalang untuk pengunjung meneruskan aktiviti masing-masing bersama keluarga dan rakan-rakan.

2 ulasan:

tice berkata...

nampak macam menarik jer pantai ni...

Bagaimana pulak dengan PANTAI kat Pulau Besar ustaz? Telah dibangunkan ker?

Ibnu 'Uthman berkata...

Mana2 pantai semuanya menarik, salah satu tanda kebesaran Allah sebagai pencipta alam ini.

Ambo masih belum mengunjungi Pulau Besar. Mengikut cerita rakan2 yang dah ke sana, ia tidaklah sehebat Pulau Pangkor atau pulau2 lain kat Malaysia. Tapi kalau nak ke sana, silalah...