Jumaat, 21 Ogos 2009

Politeknik dinaik taraf pusat pengajian terpilih


PULAU PINANG 20 Ogos - Beberapa politeknik bakal dinaik taraf menjadi pusat pengajian terpilih dalam bidang teknikal selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kualiti institusi pendidikan di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, politeknik berkenaan akan menawarkan program peringkat diploma dan pelajar yang dipilih pula perlu melalui syarat kemasukan yang lebih ketat.

Langkah itu, katanya, bagi memperbetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan politeknik adalah pilihan kedua selepas gagal memasuki universiti.

''Sekolah menengah ada menawarkan jurusan teknikal dan kita mahu pelajar terlibat menyambung pelajaran di politeknik juga, tidak hanya tertumpu pada universiti.

''Kita ada 27 politeknik di seluruh negara. Sudah sampai masanya kita ambil beberapa politeknik menjadi politeknik terpilih yang pelajarnya adalah 100 peratus pelajar terbaik dalam bidang teknikal,'' ujarnya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menyaksikan empat perjanjian kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan empat syarikat dalam mengkomersialkan produk penyelidikan universiti itu di sini hari ini.

Kerjasama dengan syarikat Cool Returns Sdn. Bhd untuk mengkomersialkan Komuniti Bestari Digital Sistem Radio Frequency Identification (RFID) manakala Bioterials Ventures Sdn. Bhd. pula bagi mengkomersialkan tepung pisang sebagai bahan inovatif dalam pengeluaran makanan.

Perjanjian dengan Scientige Sdn. Bhd. pula untuk mengkomersialkan Tatania Nanotube Array iaitu produk mengatasi masalah pencemaran manakala dengan Myaerospace. Com. Sdn. Bhd. dalam bidang pembangunan teknologi.

Menurut Mohamed Khaled, golongan profesional dalam bidang teknikal amat diperlukan negara dan dengan adanya politeknik terpilih, ia diyakini mampu memberi impak yang baik.

''Sebelum ini ada sedikit kecelaruan mengenai cadangan ini yang mengandaikan ia akan dilaksanakan seperti kita memberi USM taraf Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex). Kedua-duanya sebenarnya tidak sama dan berbeza," katanya.

Utusan Online


1 ulasan:

tice berkata...

ALHAMDULILLAH Politeknik dah dinaik tarafkan...Kalau sebelum ini maktab-maktab perguruan dinaik tarafkan,mace IPI..ada program pendidikan di bawah OUM..kini politeknik pulak..

Teringat aunty kepada sejarah politeknik tahun 70an dulu,yang mana hanya pelajar-pelajar yang memperolehi GRADE 3 in M.C.E. jer yang sudi apply masuk polytechnic dan majority dari Sekolah Menengah Vokesional jer yang banyak memohon masuk belajar sana...

Dulu,hanya SIJIL jer dianugerahkan kepada pelajar lepasan politeknik,kini dah berubah...SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH..ALHAMDULILLAH..

Semoga selepas ini politeknik akan bertambah MAJU dan menjadi isntitusi pengajian tinggi yang terunggul di negara ini..Insya-Allah..