Khamis, 13 Ogos 2009

Rihlah: Tanjung Malim II


Bertemu lagi dalam siri rihlah ambo yang kesekian kalinya. Kali ini sekali lagi ambo ke Tanjung Malim. Pengembaraan kali ini adalah bagi meraikan majlis konvokesyen adik ambo yang telah tamat pengajian Mei lalu. Terharu juga melihat adik ambo yang akhirnya berjaya mendapatkan segulung ijazah walaupun sepanjang pengajian empat tahun di sini, pelbagai cabaran dihadapi memandangkan kesihatannya yang sering terganggu. Kesakitan yang dia alami sejak dari sekolah rendah hingga kini masih ditanggungnya walaupun sudah berbotol-botol ubat diambil dari hospital dan berpuluh-puluh bomoh ditemui. Tidak diketahui apakah hikmah disebalik penyakitnya itu memandangkan pelbagai usaha dilakukan namun Allah masih tidak mengizinkan ianya sembuh. Semoga dia terus bersabar atas ujian yang diberikan Allah.

Bercerita sedikit mengenai kisah penyakitnya, pelbagai ujian dan eksperimen dilakukan sehingga ada seorang doktor mencadangkan diambil air tulang belakang untuk dianalisis bagi mengenal pasti jenis penyakit yang dihadapinya, namun keluarga tidak bersetuju memandangkan pendapat beberapa individu yang mengatakan perkara tersebut agak membahayakan. Bermalam di hospital sudah menjadi perkara biasa. Ibu ambolah menjadi teman setianya setiap kali ditahan di wad.

Hampir seluruh Kelantan menjelajah apabila ada individu yang mengesyorkan untuk berjumpa bomoh yang dikatakan boleh menyembuh penyakit yang seakan-akannya. Pernah suatu hari arwah ayah ambo membawanya bertemu seorang bomoh yang hanya boleh berurusan pada waktu malam kerana menjelang fajar, ia akan ke suatu tempat dan ghaib, namun tiada apa-apa perubahan berlaku. Ada seorang bomoh lagi yang hanya boleh ditemui pada hari-hari tertentu kerana hari lain pergi bertapa di kaki bukit. Pelbagai jenis akar kayu, air tawar, minyak urut, makanan tambahan (MLM), bekam dan lain-lain dicuba, namun setakat ini masih belum menampakkan kesan.

Dia mengambil peperiksaan STPM secara persendirian di sekolah swasta kerana tidak layak memasuki sekolah kerajaan memandangkan keputusan peperiksaan SPM yang dimilikinya hanyalah sekadar cukup syarat untuk mendapatkan sijil sahaja. Berbekalkan keputusan SPTM yang sederhana, dia berjaya mendapat tawaran Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sekolah Rendah) secara rayuan setelah gagal dalam kemasukan melalui panggilan pertama. Seminggu selepas menghantar seorang lagi adik ambo yang juga mendapat tawaran di UPSI (akan konvo bulan 3 tahun depan kerana tangguh pengajian), sekali lagi ambo ke UPSI bagi menguruskan pendaftarannya di sana.

Ketika sesi pengajian, dia hampir-hampir tidak dapat menghadiri peperiksaan kerana demam yang agak kuat dan pernah bercadang untuk menangguh pengajian, namun atas dorongan dan semangat yang diberikan keluarga, semuanya itu berjaya dihadapi. Dia pernah ditahan di wad Hospital Slim River kerana kesakitannya yang dihadapi menyebabkan dia mengalami demam yang agak kuat sehingga memaksa ibu ambo ke sana menemaninya.

Inilah sedikit kisah keluarga ambo yang tak pernah ambo kongsi dengan orang lain. Cerita ini hanyalah sebagai selingan dalam blog ini selain untuk memberikan semangat kepada sesiapa jua yang menghadapi hidup yang penuh dugaan dan lebih hebat dari dugaan yang dihadapi adik ambo.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dia terpilih sebagai hamba yang diuji dgn kesakitan selama bertahun-tahun.dia selama yg saya kenali sgt sabar dan tidak pernah merungut krn sakitnya.semoga dia terus tabah.

tice berkata...

assalamualaikum

Tahniah aunty ucapkan kat adik ustaz tu...Bertuah nya ustaz mempunyai adik setabah itu..

Semoga ALLAH senantiasa menlindungi dan memeliharanya serta merahmati segala usaha-usahanya..Insya-Allah..

Pesanan aunty kepadanya Jagalah Kesihatan dan semoga bertambah-tambah sihat setelah memulakan career..