Lulusan politeknik ke universiti
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
utusanjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 24 Okt. - Lulusan politeknik berpeluang melanjutkan pengajian di empat buah universiti di bawah Program Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program MTUN dianggotai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Menurut beliau, empat universiti tersebut menawarkan slot pengajian sebanyak 20 peratus untuk lulusan politeknik.
"Di bawah program tersebut, proses pemindahan kredit lulusan politeknik akan dipermudahkan sekali gus membantu pelajar-pelajar berkenaan memilih kursus yang mereka inginkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Karnival Kecemerlangan Politeknik 2009 dan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Politeknik dengan institusi MTUN di Plaza Angsana di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, Jabatan Politeknik akan bekerjasama dengan keempat-empat universiti berkenaan menerusi program tersebut bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Menurut beliau, kementeriannya juga akan menghantar kertas cadangan kepada Kabinet selewat-lewatnya dua minggu lagi bagi menaik taraf sistem pengajian politeknik.
"Antara yang terkandung dalam kertas cadangan itu termasuklah fokus dalam melahirkan lulusan yang menepati pasaran kerja semasa dalam pelbagai industri berdasarkan kelulusan masing-masing," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah memberi peruntukan sebanyak RM13 bilion bagi Bajet 2010.
Katanya, peruntukan berkenaan akan digunakan untuk membangunkan infrastruktur intelektual berbanding infrastruktur fizikal.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur intelektual lebih menjana kredibiliti pelajar yang lebih berkualiti sekali gus membantu meningkatkan sosioekonomi.
"Selain itu, keputusan kerajaan menukarkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pemegang ijazah kelas pertama juga dilihat akan mendorong pelajar supaya cemerlang dalam pengajian," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan