Ahad, 15 Jun 2008

Hari Keluarga


Amat beruntung dapat bekerja di sebuah institusi yang mempunyai kakitangan yang ramai serta berada di bawah satu pengurusan yang teratur lebih-lebih lagi dalam sektor kerajaan. Semalam ambo telah hadir satu program yang menjadi acara tahunan iaitu hari keluarga yang diadakan di Pantai Blue Lagoon, Port Dickson, inisiatif oleh Kelab Kebajikan PKM. Kalaulah ambo ini seorang penjual etok, mungkin suasana begini tidak akan ambo alami apatah lagi untuk menikmati pelbagai elaun dan kemudahan yang diberikan kepada semua kakitangan perkhidmatan awam.

Walaupun tidak semua yang hadir, namun usaha ini patut diteruskan memandangkan ianya adalah salah satu cara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dikalangan keluarga staf. Cara ini juga dapat memberikan staf satu motivasi baru apabila semua yang hadir mendapat cabutan bertuah serta dapat melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama-sama.

Tanpa mengira apa jua aktiviti yang dilakukan, matlamatnya sama iaitu untuk memupuk semangat kekitaan di kalangan warga PKM tanpa mengira apa jua pangkat atau jawatan yang disandang. Pada hari inilah Pengarah, Timbalan, Ketua Jabatan dan semua kakitangan serta keluarga masing-masing bertemu, bermain dan berbincang apa jua isu termasuk soal harga minyak semasa.

Namun disebalik kemeriahan pelbagai acara yang dilakukan, masih ada staf yang tidak pernah hadir apa jua acara yang dianjurkan. Mungkin mereka mempunyai rancangan sendiri, namun pihak pentadbir perlu meneliti perkara ini agar setiap program yang dirancang dapat disertai oleh semua peringkat, agar matlamatnya dapat dinikmati oleh organisasi itu sendiri iaitu mempunyai kakitangan yang amanah dan berdedikasi serta dapat menyumbang kepada kemajuan negara. Ini bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk menghasilkan kakitangan kerajaan yang berintegriti dan berwawasan.

Semoga manfaat acara ini akan terus berpanjangan sehinggalah tiba hari keluarga seterusnya atau apa jua program yang melibatkan perhimpunan keluarga PKM.

Tiada ulasan: