Ahad, 1 Jun 2008

Kahwin


Akhirnya kesemua bekas rakan serumah ambo masa bujang dulu dah ada teman hidup yang sah disisi syariat. Yang terakhir ialah En. A (asal Pengkalan Chepa) yang menamatkan zaman bujangnya semalam dengan seorang gadis pilihannya, Puan SS dari Pontian yang juga satu tempat kerja dengannya. Rombongan ambo yang menaiki bas politeknik bertolak dari Melaka sekitar jam 10 pagi dan tiba di Pontian (kira-kira 12km sebelum sampai Tanjung Piai) sekitar pukul 2.30 petang. Ketibaan rombongan kami ke majlis tersebut serentak dengan rombongan pengantin lelaki yang berarak diiringi paluan kompang. Alhamdulillah, walimatul urus yang ambo hadir kali ini tiada sebarang unsur-unsur jahiliah seperti nyayian, karaoke atau joget lambak.

Pelbagai perumpamaan dibuat berkenaan perkahwinan. Di sini ambo sekadar berkongsi salah satu perumpamaan untuk ditelaah bersama. Satu tunas yang diambil daripada baka yang baik dilekatkan pada pokok induk untuk menghasilkan buah yang bermutu. Apabila tunas tadi berada pada pokok induk, ia akan mengharapkan segala-galanya daripada pokok induk. Lama-kelamaan, ia akan melekat pada pokok induk dan menjadi seolah-olah satu dahan yang terhasil daripada pokok induk, walhal ia adalah tunas yang diambil daripada baka yang lain. Contoh pokok yang biasa dibuat proses pertunasan seperti pokok rambutan, langsat, duku, jambu dan lain-lain.

Apabila sudah berbuah nanti, pemilik pokok boleh melihat kualiti buah yang dihasilkan sama ada elok atau tidak. Namun jika tunas yang dipilih adalah daripada baka yang baik, tidak mustahil buah yang terhasil juga mahal harganya dan enak untuk dinikmati. Inilah ibarat dalam sebuah perkahwinan, pokok induk tadi umpama seorang suami manakala tunas umpama seorang isteri. Apabila dikahwinkan, pokok induk akan bertanggungjawab terhadap segala kehidupan tunas memandangkan tunas tadi sudah dipisahkan daripada bakanya. Ia tidak lagi mengharapkan apa-apa daripada bakanya kerana ia sudah terpisah, hanya mengharapkan sang induk untuk memberikannya satu kehidupan yang baru seterusnya menghasilkan buah atau anak-anak bagi sebuah pasangan yang berkahwin.

Perkahwinan ibarat menerima tanggungjawab. Jika sebelum ini tanggungjawab terhadap seorang perempuan adalah dipikul oleh walinya, maka apabila seorang lelaki yang tiada apa-apa ikatan menerima 'aqad daripada wali perempuan tersebut, maka tugas untuk menunaikan segala tanggungjawab sudah beralih kepada lelaki yang kini bergelar suami. Perkahwinan bukan sekadar memenuhi tuntutan batin atau untuk mengembangkan institusi keluarga, malah di sebalik perkahwinan itu mempunyai pelbagai hikmah dan rahsia sehinggakan banyak dalil yang menyeru seorang agar berkahwin apabila sudah bertemu pasangan. Malah kesempurnaan agama seseorang juga ada pada perkahwinan.

Kepada En. A, selamat pengantin baru. Mabruk ‘alaik…