Isnin, 23 Jun 2008

Cuti dan Sidang Parlimen


Minggu ini ambo masih berada dalam mod bercuti. Semua staf yang terlibat dengan kerja pengajaran dan pembelajaran di politeknik menghabiskan nikmat bercuti ini dengan pelbagai aktiviti sebelum ianya berubah kepada bentuk cuti yang lain. Nikmat ini mula diperolehi sejak minggu lepas lagi dan akan berakhir pada 6 Julai 2008. Sesi seterusnya akan bermula 7 Julai 2008 dan pendaftaran pelajar baru ialah pada 6 Julai 2008. Jadi sambil menikmati cuti pada kali ini, ambo mengambil peluang untuk menonton siaran langsung Sidang Parlimen Mesyuarat Dewan Rakyat Kedua, Penggal Pertama Parlimen ke 12 yang bermula hari ini sehingga 15 Julai 2008. Oleh kerana RTM hanya menyiarkan siaran secara langsung ini hanya satu jam sahaja iaitu pada pukul 10 pagi hingga pukul 11 pagi sahaja, maka ambo terpaksa mencari alternatif lain untuk terus menonton siaran parlimen ini iaitu di internet yang beralamat di http://mppas.blogspot.com/.

Namun siaran di internet pada kali ini tidak selancar seperti sidang sebelum ini. Ianya beberapa kali terganggu. Apabila terbaca makluman yang dinyatakan oleh admin dalam laman tersebut iaitu kerana masalah 'bandwitch' yang menyebabkan pihak mereka terpaksa menghadkan jumlah pengguna kepada 300 sahaja, maka ambo mengikut nasihat yang dicadangkan dalam laman tersebut iaitu beralih ke saluran P2P (hanya melalui IE) untuk membolehkan ambo terus menonton siaran langsung ini. Tapi saluran tersebut juga kadang kala tersekat-sekat, namun lebih baik dari yang sebelumnya.

Pada pandangan ambo, jumlah penonton yang lebih ramai untuk sesi kali ini mungkin bertitik tolak daripada isu yang ingin dibangkitkan oleh sebuah parti dari Sabah iaitu untuk membawa usul undi tidak percaya kepada PM selain usul tentang penstrukturan semula subsidi minyak. Apa-apapun, pihak RTM seharusnya membuat satu siaran khas untuk sidang parlimen ini memandangkan pihak pembangkang iaitu PAS melalui laman web seperti yang nyatakan diatas boleh mengadakan siaran langsung walaupun kosnya dikatakan mahal oleh pihak kerajaan sebelum ini. Jika PAS iaitu sebuah parti pembangkang yang tidak mempunyai peruntukan yang besar boleh membuat siaran langsung ini, maka sudah tentulah pihak kerajaan yang mempunyai peruntukan melalui kutipan cukai dan pelbagai lagi hasil kerajaan boleh mewujudkan siaran langsung ini agar rakyat dapat menontonnya serta dapat menilai apa jua isu yang dibincangkan di parlimen.

Mungkin ada yang berpandangan peruntukan untuk siaran langsung ini memerlukan perbelanjaan besar selain isu subsidi yang banyak terpaksa ditanggung kerajaan pada waktu ini. Jika pihak RTM tidak mampu menyediakan siaran langsung ini dengan peruntukan sedia ada, pihak RTM boleh menjemput penaja daripada syarikat-syarikat besar dalam negara untuk bekerjasama dan seterusnya memberikan potongan cukai yang tinggi kepada syarikat tersebut berbanding jika mereka menaja program-program berbentuk hiburan atau sukan. Selain itu, siaran langsung ini juga perlu direbut oleh pihak ASTRO selain menyediakan siaran langsung EURO 2008, Sukan Olimpik dan lain-lain agar lebih ramai yang akan melanggan ASTRO.

Langkah lain yang boleh dilaksanakan ialah siaran langsung ini boleh juga disiarkan di laman web RTM. Ini sekaligus dapat menarik rakyat agar melawat lawan web RTM yang dimiliki kerajaan yang memerintah hari ini iaitu Barisan Nasional daripada melawat laman web pembangkang yang dimiliki Pakatan Rakyat. Tapi jika pihak kerajaan ingin rakyat memperolehi maklumat daripada laman web dan blog selain saluran rasmi kerajaan, maka cadangan ini tidak perlu diikut. Mungkin sudah cukup dengan rancangan yang sedia ada seperti Bersemuka Dengan Media, 60 Minit Bersama Menteri dan lain-lain.

Apa-apapun, selamat bercuti kepada rakan-rakan politeknik seluruh Malaysia. Yang terlibat dengan kerja-kerja di Unit Peperiksaan atau yang kena hadir KDC, selamat bertugas dan selamat belajar...

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Askum,
panjang cuti,Banyak masa terluang yg boleh diisi,misalnya pada 28hbni di hotel melaka ada kelas perubatan percuma oleh tn hj,ismail pengarah hpa, pada 22hb baruni kawe g di kl intern.hotel. buke gapo kelas percuma boleh tambah ilmu perubatan ttg khasiat produk hpa, terbaru dah ada radix fried chicken.
boleh lawat laman hpa.com.my
walaupn ada dlm web tv, tapi hok jelas gi dengar sendiri. dari ilias

Ibnu 'Uthman berkata...

Ooo... Ada maklumat detail ko? Hotel mano? Kalu kawe free time tu bulih la jengok2...