Khamis, 5 Jun 2008

Minyak naik

"Naik lagi". Itulah antara kata-kata dan luahan hampir setiap orang yang ditemui pagi ini. Mana tidaknya, kalau naik RM 0.30 sen pun dah terasa, inikan pula sehingga RM 0.78 sen. Seluruh Malaysia mengalami fenomena setiap kali pengumuman kenaikan harga minyak apabila kenderaan mula beratur di setiap stesyen minyak untuk mendapatkan harga yang murah sebelum jam 12 malam. Ada yang memaklumkan pukul 11.55 malam tadi, harga pada pam minyak sudah bertukar daripada RM 1.92 seliter kepada RM 2.70 seliter.

Hendak mengata atau mengutuk, mustahil harga minyak akan turun. Hendak mencemuh, pun sama keadaannya, pengumuman sudah dibuat. Tiada apa dapat dibuat untuk menurunkan harga minyak. Takkan nak telefon Presiden USA, George W. Bush suruh dia turunkan harga minyak di sana. Nak hantar sms kat dia pun, kosnya mungkin boleh isi separuh tangki motosikal ataupun lebih.

Mungkin bagi mereka yang berpendapatan dengan angka yang agak besar, tidak begitu terasa dengan kenaikan ini. Namun berapa ramai rakyat Malaysia yang memperolehi pendapatan melebihi RM 3000 sebulan. Rata-ratanya memperolehi pendapatan antara RM 1000 hingga RM 2500. Itu belum kira perbelanjaan harian dengan kos beras, minyak, tepung dan pelbagai keperluan harian yang sudah lama naik.

Sekadar memberi pendapat, mana tau ada yang terbaca dan sampaikan pada penggubal dasar agar boleh dipertimbangkan. Antaranya:

  1. Kurangkan atau hapuskan bayaran tol. Kalau harga minyak adalah berlandaskan kepada harga bahan api itu di pasaran dunia terutama di US, adakah kadar tol juga berdasarkan kadar tol di sana? Kerajaan perlu meneliti kembali perjanjian berkenaan konsesi dengan syarikat yang mengendalikan tol-tol di beberapa lebuhraya demi kepentingan rakyat. Begitu juga dengan tarif elektrik dan air, demi menjaga kepentingan semua terutama peniaga-peniaga yang terpaksa menaikkan harga barangan mereka untuk menampung kos modal yang meningkat. Demi memastikan harga roti canai dan nasi lemak tidak naik walaupun kos petrol naik, patut diturunkan harga atau kos beberapa perkara lain yang boleh mengurangkan beban kenaikan harga minyak.
  1. Menurunkan harga kenderaan. Apabila harga kenderaan diturunkan, bayaran bulanan semakin berkurang dan ini dapat mengimbangi harga bahan api yang semakin meningkat. Mungkin ada yang berpandangan, kalau harga kereta turun, maka ramailah yang akan membeli kenderaan. Tapi walaupun harga kereta agak mahal di negara kita, namun orang masih tetap membelinya. Buktinya kenderaan semakin banyak di jalan raya dan hasil kutipan tol semakin meningkat dari setahun ke setahun. Tiada bezanya kereta murah atau mahal, orang tetap beli sebab ia adalah keperluan. Jadi jika kerajaan dapat kurangkan beberapa cukai berkaitan dengan dengan kenderaan import seperti cukai eksais dan macam-macam, mungkin harga kenderaan nasional juga dapat dikurangkan bagi menyaingi harga kereta import. Proton dan Produa perlu berkorban demi rakyat, jangan hanya fikirkan keuntungan untuk poket syarikat sahaja, ingat orang-orang kat kampung juga, banyak pahala tu...
  1. Kurangkan aktiviti dan pengajuran sukan yang besar. Mungkin cadangan ini agak keterlaluan terutama bagi peminat sukan. Tapi demi kepentingan rakyat jelata, beberapa penganjuran sukan seperti SUKMA, Olimpik, F1 dan lain-lain boleh difikirkan semula agar peruntukan untuk program tersebut dapat disalurkan untuk semua rakyat. Jika kita menyertai aktiviti sukan luar negara atau penganjurannya dibuat di Malaysia, adakah ianya membawa keuntungan kepada semua rakyat Malaysia, atau hanya untuk satu golongan sahaja? Satu persoalan lagi, adakah dengan penganjuran sukan di negara ini, ia boleh membawa lebih ramai pelancong datang ke Malaysia? Adakah apabila Malaysia memenangi pingat emas di Olimpik, maka lebih ramai rakyat Zimbabwe atau orang-orang Eskimo akan datang melawat Melaka atau Kelantan? Stadium atau litar sedia ada boleh dibuka kepada semua untuk aktiviti riadah petang-petang.
  1. Kurangkan aktiviti-aktiviti mega yang menggunakan duit rakyat. Perhimpunan besar-besaran yang melibatkan belanja yang besar seperti kos menyewa dewan, makanan (walaupun terpaksa mengurangkan keuntungan pemilik syarikat catering), menyiapkan pentas, membuat gimik (satu gimik seperti tekan butang dan keluar asap dan dekat RM 2000) dan lain-lain boleh dianjurkan secara sederhana. Tidak perlu buat besar-besaran. Kalau ada apa-apa nak cakap, para pemimpin tak perlu buat program besar-besaran yang membazir, hanya panggil wartawan datang rumah atau pejabat dan minta sebarkan kat RTM, TV3 atau PAS TV je dan esoknya paparkan kat Utusan, Berita Harian atau Harakah. Dengan itu, segala perbelanjaan yang dapat dijimatkan dapat diagihkan kepada semua rakyat melalui subsidi kos minyak.
  1. Para pemimpin juga perlu dikurangkan gaji dan elaun mereka demi rakyat. Kalau betullah seorang pemimpin berkhidmat untuk rakyat, apa salahnya dikurangkan sedikit pendapatan bulanan untuk ditukar kepada subsidi minyak agar berkhidmat untuk rakyat benar-benar dapat diterjemahkan. Kalau nak suruh pemimpin pakai kereta kancil, mungkin tak munasabah bagi seorang pemimpin khususnya bagi seorang Menteri, tapi apa salahnya kalau itu dapat membantu rakyat.
  1. Menggunakan duit kerajaan hasil penjimatan daripada bebanan menanggung kos subsidi yang tinggi di semua tempat, bukan hanya di bandar-bandar besar sahaja. Biar manfaatnya diperolehi oleh semua rakyat termasuk mereka yang tinggal di luar bandar. Walaupun di luar bandar, aktivitinya tidak serancak di bandar, namun mereka di luar bandar tetap membayar harga minyak yang sama seperti di bandar. Jalan raya perlu dinaik taraf terutama jalan bagi motosikal yang menjadi angka tertinggi yang terlibat dalam kemalangan. Begitu juga pembinaan kemudahan awam seperti taman permainan, tandas awam, wakaf, surau dan lain-lain perlu menyeluruh di setiap tempat, bukan hanya di taman-taman perumahan sahaja. Surau-surau lama dinaik taraf semula tanpa perlu penduduk kampung meminta sumbangan mana-mana pihak, tetapi menggunakan duit hasil penjimatan kerajaan ini. Ini dapat sedikit sebanyak dapat menyejukkan hati terutama orang-orang Melayu walaupun hari ini mereka panas akibat kenaikan melampau harga minyak.
  1. Berjimat cermat. Islam sentiasa menyuruh umatnya berjimat cermat. Jadi, sama-samalah kita hidup dalam kesederhanaan tanpa mengira harga minyak naik atau turun.

Dan macam-macam lagi pendapat. Mungkin andapun ada pendapat, sama-sama kita utarakan dari rakyat untuk rakyat.


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salams...cetusan pendapat yang bagus n patut diimplementkan..

nak tambah lagi satu..apakata ditambah 'elaun kenderaan' dalam gaji kita macam elaun perumahan or yang macam 10% insentif dari gaji pokok untuk menampung kenaikan 'perbelanjaan minyak' harian...

Mungkin dengan cara ini rakyat tak akan bising-bising or marah-marah lagi...insyaallah

Ibnu 'Uthman berkata...

Satu cadangan yang bagus, tapi apa pula kata pekerja swasta nanti.

Kerajaan patut ikut harga semasa, kalau kat US turun, kat Malaysia pun turun la. Sebelum ini harga minyak mana pernah turun, air hujan je yang turun.

Tanpa Nama berkata...

erm...pekerja swasta yer? Majikan kene berunding ler dengan kerajaan..untuk kurangkan cukai perkhidmatan dll yang dibayar kat kerajaan dan boleh guna duit tu untuk tambah pekerja punya 'vehicle allowance'

Bagi yang kerja sendiri dan berpendpatan rendah,ini lah masa yang amat sesuai untuk menagih janji semasa pilihanraya dulu yakni membantu golongan yang kurang berkemampuan samada dalam bentuk baucer or coupons (macam subsidi) setiap kali mengisi minyak..

Ibnu 'Uthman berkata...

Ya, betul tu.

Lagi satu, antara alasan kerajaan kurangkan subsidi ialah nak elak bukan warganegara membeli minyak kat Malaysia.

Jadi, apa kata perkenalkan kaedah isi minyak menggunakan 'kad pengenalan bermutu tinggi' iaitu Mykad yang kita bangga-banggakan.

Agak2, rakyat Singapura dan Thailand dapat sudsidi tak dari kerajaan mereka.

p/s: Untung kalau dapat jadi warganegara Brunei...